Cantik dipakai nyonya Melaka

Disulam manis bercorak bunga

Siapa pandang pasti tak lupa

Bait-Bait pantun ini menunjukkan betapa kebaya diiktiraf sebagai busana yang cukup indah dan menawan.

Tidak lapuk ditelan zaman, peminatnya bukan sahaja wanita dewasa malah gadis remaja.

Bukan hanya dipakai ke majlis formal, kebaya juga digayakan golongan wanita ke pejabat malah ketika bersantai.

Namun, kebanyakan kebaya yang dijual di pasaran adalah menggunakan fabrik sifon.

Sifat sifon yang tembus cahaya mengehadkan pemakaian kebaya terutama bagi wanita bertudung.

Ia perlu dilapik dengan kain ataupun inner yang menyebabkan ketidakselesaan kepada si pemakai.

Menyedari permasalahan dalam kalangan penggemar busana ini, jenama Byhisdaisy tampil memberikan penyelesaian.

Pemilik jenama tersebut, Syafnita Dessy Syafrizal Syah, 27, berkata, Byhisdaisy mahu mengetengahkan konsep koleksi kebaya yang mampu dan selesa digayakan oleh semua wanita di Malaysia.

Atas sebab itu, Byhisdaisy sangat mementingkan aspek pemilihan material fabrik bagi setiap koleksi kebaya yang dihasilkan.

“Setiap rekaan yang kami tampilkan hanya menggunakan material kapas iaitu jenis Ima Premium dan kapas boleh regang.

“Tekstur ringan dan lembut berbanding kain kapas lain membuatkan kebaya kami sesuai digayakan di negara beriklim panas dan lembab seperti di Malaysia.

“Paling penting, sifat fabrik yang tidak jarang memberi pilihan kepada sesiapa sahaja untuk bergaya manis dengan kebaya,” katanya yang menubuhkan jenama tersebut sejak dua tahun lalu.

Istimewanya, fabrik itu juga tidak mudah kedut menjadikan gadis kelihatan tetap anggun walaupun seharian bergaya dengan kebaya.

Tidak hanya tertumpu kepada material, koleksi kebaya Byhisdaisy turut menampilkan perincian sulaman tebuk bermotifkan flora pada setiap rekaannya.

Kehalusan

Kehalusan seni sulaman dari Indonesia itu menampakkan sisi elegan dan kualiti tersendiri busana tradisional tersebut.

Tambah menarik, setiap jenis sulaman hanya terhad kepada 1,000 helai kebaya bagi memberi lebih nilai eksklusif kepada si pemakai.

Terdapat tiga potongan kebaya yang dihasilkan iaitu kutubaru, sulam pendek dan labuh.

Jelas Syafnita, variasi potongan yang ditawarkan adalah bagi memenuhi kehendak pelanggan yang memiliki pandangan tersendiri dalam menggayakan kebaya.

“Untuk koleksi kutubaru, kami menampilkan potongan klasik warna senada bunga dan dasar agar menghasilkan gaya minimal. Ciri unik kutubaru adalah ia dipotong petak dan sedikit pendek di bahagian hadapan. Gaya ini mendapat sambutan cukup hangat terutama dalam kalangan mereka berusia 20-an.

“Kebaya sulaman pendek pula sesuai untuk mereka yang bercita rasa moden dan aktif. Potongan pendek membuatkan ia anggun digayakan bersama seluar dan kain pario yang memiliki butiran warna hampir dengan kebaya.

“Kebaya labuh pula dihasilkan istimewa untuk mereka yang menggemari gaya polos dan sopan. Kami memastikan ia tidak labuh melebihi lutut wanita dewasa agar ia kelihatan terletak dan kemas di badan si pemakai,” ujarnya.

Variasi warna yang ditawarkan pula terdiri daripada warna terang sehingga pastel.

Selain kebaya, Byhisdaisy turut menawarkan kain pario pelbagai corak dan warna untuk dipadankan bersama kebaya.

Walaupun tampil dengan kain kapas premium dan sulaman tebuk, kebaya Byhisdaisy berharga antara RM99 sehingga RM119 sahaja, manakala pario pula berharga RM69.

Wanita yang bersaiz kecil hinggalah yang berbadan besar juga tidak perlu bimbang kerana variasi saiz yang ditawarkan adalah dari XS sehingga XXL.