Dia yang bekerja di sebuah syarikat telekomunikasi di ibu negara merancang untuk berjumpa semula dengan beberapa orang rakan sekolah yang sudah hampir tujuh tahun tidak ditemui.

Malangnya, apabila melihat wajahnya pada cermin, Ice terkejut mendapati jerawat mulai tumbuh di sekitar dahi dan hidungnya atau popular disebut zon T.

Mengakui sering menerima kunjungan ‘tetamu tidak diundang’ itu pada wajah, Ice cukup kecewa dan tertekan kerana ia muncul pada waktu penting yang memerlukan dia tampil cantik, menarik dan bergaya.

“Hampir setiap kali saya bakal menghadapi sesuatu, jerawat akan timbul dan mulai memerah di sekitar wajah. Paling teruk yang pernah terjadi, apabila saya bergraduasi pada tahun lalu dan ketika menjalani temuduga baru-baru ini.

“Sejujurnya, saya mencuci wajah setiap hari dan mengaplikasi beberapa produk tambahan seperti toner, pelembap, krim malam dan sebagainya untuk menghalang jerawat daripada muncul, namun gagal,” luahnya yang mengambil keputusan untuk tidak ke majlis perjumpaan semula itu.

Tambah Ice, keadaan itu menyebabkan dia merasa kurang keyakinan diri dan kerap kali membatalkan acara sosialnya.

Semula jadi

Namun, situasi tegang tersebut kini berjaya diatasi sepenuhnya apabila Ice mencuba merawat wajah di spa sejak setahun yang lalu.

Secara umumnya, sesi rawatan wajah di spa ialah perkhidmatan wajah pelanggan dibersihkan secara profesional oleh perunding kecantikan.

Perbezaannya ialah ia dijalankan di spa yang kebiasaannya merujuk kepada lokasi rawatan yang memiliki persekitaran bersifat alam semula jadi sama ada dari segi dekorasi, bahan yang digunakan serta teknik rawatan.

Memilih untuk mencuba rawatan pertama kali di Spa Rawatan Muka Herbaline (Herbaline) yang juga pelopor bagi pusat kecantikan wajah berkonsepkan spa di negara ini, Ice jatuh hati sehingga menjadikannya rutin wajib setiap bulan.

“Saya pernah mencuba perkhidmatan rawatan di pusat kecantikan yang menyediakan rawatan terutamanya di pusat beli-belah, namun pengalamannya sedikit berbeza apabila saya berkunjung ke Herbaline.

“Di sini (Herbaline), masalah kulit saya sedikit sebanyak telah berjaya diselesaikan. Suasana dan prosedur rawatan yang ditawarkan berupaya membuatkan kita tenang, gembira dan cukup selesa sekali gus bagaikan terapi luaran dan dalaman yang cukup hebat,” kongsinya ketika ditemui sedang menjalani rawatan di cawangan Herbaline di Desa Seri Hartamas, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Dihiasi landskap indah persis berada di pusat peranginan terkenal, Bali bersama latar pencahayaan lampu berwarna oren yang cukup menenangkan, Spa Rawatan Wajah Herbaline mempunyai prinsipnya sendiri dalam memberikan pengalaman rawatan wajah terbaik kepada pelanggan.

Gaya hidup

Menurut Penolong Pengurus Pemasaran Herbaline, Lim Chee Wah, pihaknya percaya, untuk membantu pelanggan mendapatkan raut wajah yang bebas masalah, perkara utama yang perlu dititikberatkan ialah bermula dari dalam.

“Gaya hidup dan kecantikan mempunyai hubung kait yang cukup rapat. Dunia moden membuatkan ramai orang belajar dan bekerja dalam keadaan tertekan. Apabila tertekan dan tidak gembira, ia sebenarnya menjadi antara faktor wajah anda terlihat kusam, berjerawat serta tidak bermaya.

“Justeru, kami di Herbaline mengatur alatan, persekitaran dan langkah rawatan khusus untuk memberi seribu ketenangan dan keharmonian kepada pengunjung sekali gus merangsang rawatan muka supaya lebih berkesan,” ujarnya mesra.

Herbaline menawarkan lebih sepuluh pakej rawatan wajah bergantung kepada fungsi termasuk rawatan kulit berjeragat, rawatan mengembalikan keremajaan, pemutihan pembuangan sel kulit mati dan menyamarkan parut serta jerawat.

Untuk kesemua pakej dari yang termurah berharga RM65 sehinggalah yang termahal berharga RM169, terdapat perkhidmatan ‘fasa bertenang’ disediakan sebelum rawatan wajah dimulakan.

Polisi pembayaran

Ia terdiri daripada laluan batu kerakal yang bagus untuk aliran darah, diikuti dengan spa kaki menggunakan garam laut, aromaterapi haruman lavender, hidangan minuman teh serai serta refleksologi menggunakan spa ikan yang cukup menyegarkan.

“Setiap komponen dalam rawatan awal sebelum pelanggan masuk ke dalam bilik merawat wajah ini mempunyai peranan masing-masing. Laluan batu kerakal umpamanya sengaja diletakkan bagi memperlahankan langkah sekali gus membuatkan pelanggan merasa tidak terburu-buru mendapatkan rawatan.

“Sementara haruman lavender bersama teh serai yang diminum pula mampu meresap masuk ke dalam fikiran dan badan, mengulit jiwa dan menggembirakan yang pastinya memberi impak baik ke atas pelanggan sebelum memulakan sesi rawatan yang kebiasaannya mengambil masa selama satu jam setengah,” jelasnya.

Bagi memberi ketenangan optimum kepada pelanggan, Herbaline juga tidak mengamalkan sebarang polisi kontrak pembayaran untuk tempoh tertentu, pembelian produk, mahupun kos tersembunyi.

Ia sekali gus membuatkan pelanggan tidak merasa rimas mendengar sebarang promosi barangan mahupun rasa terbeban dengan kos yang tinggi untuk mendapatkan wajah bersih dan mulus.

Sementara itu, Penyelia Kanan Perunding Kecantikan Herbaline, Jenny Sin berkata, pelanggan juga tidak perlu risau mengenai kualiti memandangkan spa dengan 55 cawangan di Malaysia dan Brunei ini menjalankan perkhidmatan rawatan di bawah satu prosedur yang sama.

“Pertama, kami tidak sewenang-wenangnya membiarkan pelanggan menjalani rawatan tanpa konsultasi. Ia meliputi nasihat dan pemeriksaan tentang jenis kulit dan rawatan yang paling sesuai untuk mereka.

“Usah bimbang mengenai kredibiliti pakar kecantikan di sini kerana kesemua mereka diwajibkan menjalani kursus selama sebulan hingga tiga bulan di ibu pejabat kami di Kota Kemuning.

“Ia bagi memastikan mereka mahir kesemua teknik termasuklah cara membersihkan muka, teknik urutan, menggunakan peralatan, fungsi rawatan serta cara terbaik untuk menjalankan rawatan wajah bermasalah seperti jerawat, bintik hitam dan putih serta jeragat dengan meminimumkan rasa sakit,” ungkapnya.

Herbaline juga menggunakan rangkaian produk mereka tersendiri termasuk pencuci, penyegar, pelembap, masker, krim dan sebagainya yang diformulasi khusus menggunakan aloe vera sebagai pelengkap elemen semula jadi persekitaran spa mereka.

Terbaharu, Herbaline tampil mencipta lebih kesegaran kepada pelanggan dengan mengeluarkan empat rangkaian produk bernama Fleurgie.

Fokus sebagai solusi kepada empat masalah utama wajah iaitu siri antipenuaan, pemutihan, keseimbangan tona dan pelembapan kulit, Fleurgie dihasilkan menggunakan 38 jenis bunga dari pelbagai negara.

Sesuai untuk wanita dari umur remaja hingga usia emas, rangkaian Fleurgie bukan sahaja digunakan dalam rawatan spa malah boleh dibeli untuk rejim penjagaan kulit di rumah.

Pelanggan pasti gembira dengan dua lagi kemudahan disediakan Herbaline untuk hampir semua cawangannya termasuk di Desa Sri Hartamas dan di Kota Kemuning, Shah Alam.

Jika lapar, terdapat Kafe Mama Kim untuk mengisi perut anda. Jika mahu mengurut badan, ada Pusat Kesihatan Healthland disediakan untuk pengalaman urutan sihat pakar urut dari Thailand untuk anda.