Pameran bertemakan Fashioning a Reign: 90 Years of Style from The Queen’s Wardrobe itu akan mempamerkan lebih 150 persalinan yang akan diadakan di tiga buah istana tersohor iaitu Istana Holyroodhouse, Edinburgh di Scotland, Istana Buckingham, (Westminster, England) dan Istana Windsor (Berkshire, England).

Koleksi yang dipersembahkan kepada umum itu mewakili peristiwa-peristiwa penting yang berlaku dalam kehidupan Ratu Elizabeth II dan sejarah negara. Ia meliputi koleksi pakaian dan aksesori yang dipakai baginda dari zaman kanak-kanak hingga ke hari ini.

“Ratu Elizabeth II tidak kisah andai pakaiannya menggambarkan fesyen semasa, namun baginda tidak berhasrat untuk menjadi pemacu fesyen,” kata kurator pameran itu, Caroline de Guitaut.

Pameran Fashioning a Reign: 90 Years of Style from The Queen’s Wardrobe siri pertama dibuka kepada umum mulai tarikh lahirnya 21 April 2015 di Istana Holyroodhouse.

Selain itu, tujuan pameran tersebut diadakan adalah untuk menghargai bakat pereka terkenal Britain seperti Norman Hartnell , Ian Thomas dan Hardy Amies yang banyak terlibat secara langsung dalam penciptaan persalinannya.

“Baginda terlibat secara langsung bersama pereka tersohor Britain yang dilantik dalam menghasilkan setiap persalinan yang akan dipakainya. Sekiranya tidak berkenan dengan sesuatu lakaran yang dibuat, baginda akan menolak rekaan itu.

“Sentiasa tampil elegan di khalayak ramai, baginda gemar menyarung persalinan dalam rona cerah, terang dan dipadankan bersama aksesori tambahan seperti topi sepadan. Namun jika diperhatikan, baginda jarang mengenakan pakaian bercorak,” ujar de Guitaut.

Penanda aras

Sorotan utama pameran itu termasuk sepasang gaun tanpa tali bahu dalam rona merah mewah dengan kesan lipatan yang kompleks hasil rekaan Hardy Amies. Rekaan yang dipakai pada tahun 1950-an itu menjadi aras penanda gaya pakaian tanpa tali bahu dalam pasaran semasa termasuk beberapa pakaian daripada pereka busana anggun terkenal Britain, Norman Hartnell yang mula bekerja dengan baginda seawal tahun 1940-an. Selain itu, Ratu Elizabeth II juga seorang yang berani mengekspresikan gaya dan mencipta kelainan dalam penggayaan pakaian.

Gaun labuh


Ratu Elizabeth II menzahirkan fitrah fesyen apabila menggayakan pakaian berwarna terang yang disesuaikan dengan aksesori sepadan.

Pada majlis perkahwinan mendiang adindanya, Puteri Margaret bersama pasangannya, Antony Armstrong-Jones pada 1960, Ratu Elizabeth II telah memakai dres biru labuh rekaan Hartnell yang dipadankan bersama jaket bolero sutera kain tafeta iaitu sejenis kain yang amat jarang digunakan kerana sifatnya yang mudah berkedut.

Dres itu menandakan satu titik perubahan dalam koleksi pakaian baginda kerana ia merupakan kali terakhir keluarga diraja dilihat memakai gaun labuh untuk acara siang.

Corak kekotak, selalunya dalam rona merah dan hijau serta garisan biru, yang dikenali sebagai tartan Royal Stewart dianggap sinonim dengan sentuhan fesyen monarki diraja Britain. Ia dilihat menjadi pelengkap gaya sang ratu saat mengenakan sepasang gaun malam duchess satin bersulam rekaan Hartnell sewaktu menghadiri majlis makan malam Gillies Ball di Istana Balmoral pada 1971.

Diperkenalkan pertama kali oleh Ratu Victoria, Gillies Ball diadakan bagi meraikan jiran terdekat, pekerja istana dan kenalan diraja. Tetamu diwajibkan memakai persalinan menggunakan elemen tartan yang pertama kali digayakan oleh Ratu Victoria pada tahun antara 1835 hingga 1837.

Memilih untuk menonjolkan nilai diplomasi dalam penampilan, antara pakaian yang menterjemahkan ekspresi diplomat ialah dres rekaan Hardy Amies dengan perincian motif pokok popi California.

“Penggayaan busana itu merupakan medan terbaik untuk berkomunikasi dengan tetamu tanpa perlu mengucapkan sepatah kata,” tutur de Guitaut.

Selain dres itu, buah tangan Hartnell berupa gaun malam faille sutera rona biru pucat dipadankan dengan korset bersulam dan skirt labuh yang dipakai pada tahun 1962 sewaktu lawatan diraja negara Norway yang diketuai oleh Raja Olav. Ia menjadi penggayaan diplomasi tipikal yang dipakai sang ratu sewaktu menghadiri perjumpaan wakil negara lain sehinggalah pertengahan 1960-an apabila trend pakaian berubah.

Ratu Elizabeth II merupakan puteri sulung daripada dua adik-beradik kepada pasangan diraja, Duke dan Duchess York, Raja George VI dan Ratu Elizabeth.

Baginda diputerikan dengan nama Elizabeth Alexandra Mary di London pada 21 April 1926. Hasil perkongsian hidup bersama Duke Edinburgh, Putera Philip pada tahun 1947, pasangan diraja ini dikurniakan tiga orang putera dan seorang puteri iaitu Putera Charles, Puteri Anne, Putera Andrew dan Putera Edward.

Pemerintah yang dimahkotakan sejak tahun 1952 itu merupakan ketua kerajaan Britain, Kanada, Australia, New Zealand serta merupakan ketua negara Komanwel.

Baginda juga merupakan Ratu kepada 12 negara lain yang telah dimerdekakan sejak kemahkotaannya iaitu Jamaica, Barbados, Bahamas, Grenada, Papua New Guinea, Kepulauan Solomon, Tuvalu, Saint Lucia, Saint Vincent dan Grenadines, Belize, Antigua dan Barbuda serta Saint Kitts dan Nevis.