Lebih menarik, ia dipadankan dengan kerongsang tradisional yang mendominasikan rekaan fesyen moden dan tradisional buat si cilik anda.

Koleksi tersebut sesuai digayakan sepanjang Syawal selain menghadiri jemputan rumah terbuka pada hujung minggu atau majlis keraian.

Gaun Maksi Renda Hitam AmaniZ didatang­kan dengan empat warna pilihan iaitu kuning mustard, merah jambu, ungu lembayung dan hijau zamrud.

Penggunaan renda bagi busana kanak-kanak mungkin agak minimal memandangkan kehalusan jenis kain itu yang memerlukan penjagaan rapi.

Namun bagi AshrafAmaniZ Couture, pemilihan renda hitam menjadi taruhan syarikat menjual pakaian kanak-kanak dalam talian itu sebagai rekaan eksklusif pertama mereka sempena Aidilfitri lalu.

Pemiliknya, Muhammad Ashraf Atan berkata, pemilihan renda berwarna hitam menjadi satu-satunya warna padanan untuk empat jenis warna jubah maxi yang dikeluarkan oleh jenamanya itu.

Mendapat inspirasi daripada rekaan isterinya untuk puteri sulung tercinta, koleksi Gaun Maksi Renda Hitam AmaniZ semakin mendapat perhatian umum.

Segalanya bermula ketika isterinya sedang mencari tukang jahit untuk membuat baju anak perempuan mereka.

“Ada contoh rekaan yang diberikan tukang jahit tetapi ia tidak menepati cita rasa isteri dan dia sendiri mengeluarkan idea menerusi lukisan dalam telefon pintarnya.

“Pada awalnya, isteri saya risau rekaan itu tidak menepati cita rasa tapi hasilnya sungguh menakjubkan dan ramai rakan-rakan di media sosial memuji rekaan itu sebaik saja dia memuat naik gambar anak sulung kami, Nur Amani Nasuha menggayakan busana berkenaan.

“Daripada situlah tercetusnya idea untuk menghasilkan rekaan koleksi Gaun Maksi Renda Hitam AmaniZ seterusnya menjadi rekaan sulung AshrafAmaniZ Couture yang meniktikberatkan keselesaan kanak-kanak,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Dua pilihan

Busana tersebut didatangkan dalam dua pilihan iaitu lengan berpelapik dan tanpa pelapik.

Muhammad Ashraf yakin jubah maxi itu mampu menambat perhatian ibu dan bapa apabila melihat gaya comel anak masing-masing.

“Pemilihan empat warna dengan lining dan tanpa lining disediakan mengikut keselesaan. Jenis renda yang digunakan adalah berkualiti dan tidak gatal namun terpulang kepada ibu bapa untuk memilih sama ada lengan lining atau tidak.

“Selain itu, pihak kami turut menyediakan perkhidmatan tempahan awal mengikut warna kain satin pilihan masing-masing.

“Hal ini kerana kami memahami setiap keluarga pasti sudah mempunyai warna tema masing-masing, jadi kami juga membuka tempahan untuk ibu yang mahukan rekaan koleksi Gaun Maksi AmaniZ mengikut warna pilihan masing-masing,” katanya.

Selain rekaan renda eksklusif dan padanan warna sesuai untuk si manja anda, potongan kain ‘A’ dipilih kerana melihat keselesaan anak-anak kecil untuk bergerak.

Katanya, potongan kain tersebut tidak mengehadkan pergerakan kanak-kanak selain menggelakkan daripada mereka terjatuh serta bebas bergerak.

Setiap busana boleh didapati pada harga antara RM85 sehingga RM99 untuk rekaan koleksi Gaun Maksi AmaniZ dan setiap pembelian akan menerima kerongsang tradisional.

AshrafAmaniZ Couture juga menyediakan pilihan busana kanak-kanak termasuk pakaian sedondon ibu serta bayi di laman sosial Instagram serta Facebook mereka.

Menariknya lagi, syarikat dalam talian yang diasaskan bersama-sama isterinya, Nas Norziela Nasbah itu turut menyediakan pilihan saiz merangkumi pelbagai usia seawal bayi baru lahir sehingga dewasa.