Sempena musim percutian ini, Swarovski memperkenalkan koleksi baharu iaitu Holiday Collection.

Ia merupakan buah tangan yang ditujukan khas kepada pencinta kilauan permata sambil menyebarkan keriangan dan rasa cinta ke seluruh dunia.

Koleksi itu terdiri daripada barang kemas berkilau indah, aksesori, jam tangan dan hadiah yang cukup mempesonakan untuk menjadikan golongan wanita terus berasakan diri mereka dihargai.

Pengarah Kreatif Swarovski, Nathalie Colin berkata, koleksi itu dizahirkan bagi menyerlahkan keriangan dalam diri wanita lebih-lebih pada musim perayaan.

Elemen moden

“Holiday Collection diangkat menjadi tema ini kerana kami mahu golongan wanita menikmati setiap momen istimewa yang menjadi penyeri pada sesuatu musim.

“Ia sejajar dengan visi pengasas Swarovski, Daniel Swarovski yang mahu memartabatkan taraf wanita daripada generasi ke generasi menerusi kepakaran yang dimiliki dalam pembuatan permata kristal mewah.

“Untuk itu, cetusan elemen moden diselitkan ke dalam Holiday Collection sambil direka dengan teliti demi menghadiahkan rekaan yang berupaya membuat wanita lebih ceria serta kekal cantik,” katanya menerusi satu kenyataan akhbar baru-baru ini.

Varian Lousion merupakan rangkaian barang kemas istimewa dengan rekaan seakan-akan dedaun musim salji.

Walaupun digayakan dengan busana ringkas, ia mampu menyerlahkan gaya tersebut sehingga memukau mata khalayak.

Sementara itu, varian Mayfly diinspirasikan daripada botani yang mengagungkan keindahan alam.

Ia hadir dalam rekaan dedaun musim salji dengan efek kilauan sempurna.

Bagi individu yang mahu tampil menggayakan barang kemas dengan siluet indah, varian Creativity merupakan pilihan tepat dan sesuai dijadikan hadiah.

Kilauan anting-anting candelier itu semestinya menyerlahkan sisi glamor individu.

Ia sesuai digayakan untuk pelbagai majlis keraian sama ada dengan gaya ringkas mahupun eksklusif.

Eternal merupakan jam tangan buatan Switzerland yang dihasilkan khas untuk menceritakan keindahan cahaya.

Jam dengan rekaan kontemporari itu menggabungkan kepakaran pembuatan jam dan barang kemas dengan tatahan kristal Swarovski pada bahagian dial, potongan asimetrikal serta tali.

Holiday Collection itu membawa golongan wanita ke dunia dipenuhi kristal sambil berkongsi keriangan dan sinaran ke seluruh dunia.

Matlamat utama jenama itu hanya satu iaitu memperkasa golongan wanita dari seluruh dunia dengan elemen tatahan kristal.