Nama-nama berkenaan tidak akan lahir tanpa wujudnya Jabatan Fesyen, Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, Selangor.

Jabatan berkenaan yang mula membuat pengambilan pelajar sesi pertamanya pada tahun 1972, membuktikan betapa anak tempatan mampu berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan pereka antarabangsa dalam bidang fesyen.

Sebagai meneruskan legasi alumni mereka, satu pertunjukan fesyen disertai para pelajar tahun akhir universiti berkenaan berlangsung di Kompleks Kraf, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Seramai 38 orang pelajar mempersembahkan koleksi masing-masing pada Degree Fashion Show 2018 yang bertemakan elemen Antarabangsa dan Tempatan.

Setiap pelajar diberi masa selama empat bulan untuk menyiapkan satu koleksi membabitkan kira-kira lima pasang pakaian berdasarkan tema yang dipilih.

Bagi Nursyafiera Syamsul Anuar, 22, yang berasal dari Kuala Lumpur, dia selesa memilih tema Rock Kapak kerana terpengaruh dengan kefanatikan muzik berkenaan oleh ayah dan saudara-maranya.

“Rock Kapak amat popular sekitar tahun 1980-an dan merupakan tahun kemuncak muzik rock tidak sahaja di Malaysia malah seluruh dunia.

“Ayah saya sering memainkan lagu dari kaset kumpulan Aerosmith, Iron Maiden, Metallica, Wings, Search dan Lefthanded.

Jiwai tema

“Saya membesar dengan muzik daripada kumpulan berkenaan, jadi apabila saya melanjutkan pengajian di UiTM dalam bidang rekaan fesyen, saya bertekad untuk menterjemahkan minat saya terhadap elemen muzik berkenaan di pentas fesyen,” jelasnya yang lebih dikenali sebagai Sam.

Ketika melakukan kajian untuk menyiapkan koleksi tersebut, Sam amat berbesar hati dan teruja kerana berpeluang menemu ramah selebriti rock tanah air seperti Datuk Ramli Sarip dan Jojie Aminuddin.

Jelas Sam, temu ramah itu membolehkannya menjiwai tema Rock Kapak dalam helaian yang dihasilkan.

Sementara itu, Aaina Diyana, 22, yang berasal dari Jitra, Kedah, memilih elemen bunga kebangsaan yang menjadi kebanggaan rakyat Malaysia iaitu bunga raya.

Katanya, bunga raya atau nama saintifiknya Hibiscus rosasinensis yang terdiri daripada pelbagai warna seperti merah, putih, kuning dan merah jambu mempunyai keistimewaannya yang tersendiri.

“Saya amat terpesona dengan warna dan tekstur kelopak daun bunga raya namun tidak ramai pereka memilih elemen bunga berkenaan sebagai sumber inspirasi dalam setiap rekaan mereka.

“Rekaan yang saya hasilkan ini sesuai untuk penggemar pakaian kasual.

“Saya menitikberatkan aspek warna dan jenis fabrik bagi kelima-lima rekaan yang saya persembahkan pada pertunjukan fesyen ini,” katanya yang mesra disapa Aaina.

Komersial

Aaina memilih warna merah sebagai warna utama dan percikan sulaman bercorak bunga raya menggunakan benang berwarna kuning yang mewakili warna pada debunga bunga berkenaan.

Perincian tersebut dibuat bagi menyerlahkan lagi inspirasi bunga raya dalam koleksi Aaina.

Menyentuh potensi rekaan berkenaan, Aaina yakin rekaan pakaian yang dihasilkan itu praktikal dan boleh dikomersialkan.

Paling menggembirakan Aaina, apabila dia dapat menonjolkan semangat patriotik dalam rekaan itu sekali gus mempromosikan keistimewaan bunga kebangsaan Malaysia tidak sahaja kepada masyarakat tempatan malah antarabangsa.

Sementara itu, Mardiana Jamaludin, 23, pula tampil dengan kelainan tersendiri apabila memilih tema Tangga Melaka sebagai sumber inspirasi rekaan.

Minat yang mendalam dan kajiannya terhadap keunikan dan nilai seni pada tangga rumah tradisional Melaka itu memberi inspirasi bagi penghasilan koleksi pakaian untuk wanita.

“Selain membuat penyelidikan seperti temu bual dengan pemilik-pemilik rumah tradisional Melaka, saya juga mengumpul data daripada buku-buku sejarah pembinaan rumah berkenaan.

“Saya sungguh bertuah kerana bapa saya yang berasal dari Melaka turut membantu mengumpul maklumat yang diperlukan bagi penghasilan koleksi pada pertunjukan fesyen ini,” jelasnya.

Kongsi Mardiana yang mesra disapa Dian, pembinaan tangga batu pada rumah tradisional Melaka banyak dipengaruhi budaya negara China, Belanda dan Jepun.

Metafora

Bentuk silhouette yang diaplikasi di dalam koleksinya adalah berbentuk A-line, yang mengambil elemen tangga batu rumah Melaka yang bentuknya semakin mengembang dari bawah ke atas.

“Ia merupakan metafora sebagai ucapan selamat datang kepada tetamu dan apabila mereka ingin pulang, keadaan tangga yang semakin mengembang ke bawah membawa maksud selamat tinggal,” jelas Dian.

Dian membuat pembaharuan dalam koleksi rekaan beliau dengan menggunakan teknik sulaman atau quilting embroidary yang menggabungkan beberapa jenis kain yang bercorak kotak-kotak dan bunga yang membentuk segi empat tepat dalam pelbagai saiz.

Teknik itu membolehkan perincian dan potongan setiap lima helaian yang dihasilkan oleh Dian amat rumit untuk dihasilkan, namun dia berjaya menghasilkan rekaan tersebut dengan baik.

Sementara itu, Eleina Azmi, 23, memilih teknik anyaman mengkuang sebagai inspirasi helaian koleksinya.

Tekstur dan komposisi yang terhasil daripada daun mengkuang yang dianyam, melalui satu proses penyatuan anyaman yang sangat kompleks.

“Saya menggunakan bentuk silhouette yang ringkas dengan konsep lebih maskulin.

“Penggunaan dan manipulasi kain yang mempunyai garisan atau belang serta jalinan garisan digunakan bagi menonjolkan elemen jalur yang terdapat dalam anyaman mengkuang.

“Dalam koleksi ini juga, saya menganyam beberapa bahagian baju menggunakan kain kapas sebagai bahan anyaman,” jelasnya yang mesra disapa El.

El memilih warna putih mutiara pada bahagian anyaman untuk setiap helaian koleksi kali itu agar bentuk anyaman dapat diserlahkan dan kelihatan lebih menonjol.

Harapannya cukup besar iaitu mahu mengadakan pertunjukan fesyen atas jenama sendiri dan menembusi pasaran global.