“Model dan pereka-pereka fesyen yang terlibat murah dengan senyuman dan ramah menjawab persoalan yang diajukan mengenai pakaian yang diperagakan.

“Saya paling tertarik dengan baju Melayu dan gembira dapat melihatnya dengan lebih dekat. Uniknya ia dipadankan dengan sehelai kain yang dipanggil songket.

“Hari ini merupakan hari keempat saya berada di Kuala Lumpur dan berhasrat untuk bercuti selama seminggu di Malaysia,” ujar ahli perniagaan dari Kalkota itu ketika ditemui Stailo baru-baru ini.

Program Fashion Ride melibatkan keseluruhan 29 pereka fesyen itu julung-julung kali dianjurkan Persatuan Pereka Bumiputera (BDA) dengan kerjasama syarikat pengendali bas KL HOHO dan Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC). Program tersebut berlangsung dari 1 April sehingga 30 April ini.

Presiden BDA, Bon Zainal Harun menjelaskan, penganjuran program seumpama itu diharap memberi peluang kepada pereka fesyen tempatan menampilkan idea terbaharu mereka sekali gus mendekati masyarakat dan mendapatkan maklum balas mengenai produk yang telah dihasilkan.

Katanya, platform tersebut juga tidak memerlukan peserta mengeluarkan modal secara langsung misalnya melibatkan penyewaan pentas peragaan yang menelan belanja besar.

Batik

Menurutnya, BDA mempunyai kira-kira 40 ahli yang aktif, namun istimewanya, program kali ini turut dibuka kepada pereka fesyen daripada pelbagai latar belakang serta kaum sama ada yang baharu atau telah lama bertapak dalam industri.

“Fesyen dan pelancongan dilihat sebagai kombinasi lengkap yang mampu memperkasakan antara satu sama lain. Menerusi platform ini penumpang berpeluang berswafoto dengan model dan pereka fesyen terlibat serta menghebahkannya di laman sosial mereka.

“Ia meliputi 14 laluan tarikan pelancong yang dilalui bas KL HOHO yang akan singgah ke lokasi tumpuan pelancong misalnya Taman Burung Kuala Lumpur, Menara Kuala Lumpur, Rumah Terbalik Kuala Lumpur dan Istana Negara.

“Pendek kata, ia merupakan langkah promosi berkesan untuk memperkenalkan produk tempatan yang bermutu kepada khalayak sekali gus menggalakkan persaingan sihat,” ujar pereka yang telah 30 tahun bergiat dalam industri fesyen itu.

Sementara itu antara pereka fesyen terlibat yang juga merupakan Pengasas Rasta Creation Sdn. Bhd., Rasta Rashid yang mengeluarkan jenama Batek by Rasta Rashid meluahkan rasa teruja kerana berpeluang memperkenalkan busana rekaannya.

Jenama yang dibangunkan Rasta, 45, sejak tahun 2015 itu pernah muncul di pentas peragaan di Singapura di samping mendapat permintaan pelanggan dari luar negara seperti Amerika Syarikat dan Ireland.

Menurut anak kelahiran Kuantan, Pahang itu, Batek by Rasta Rashid mengetengahkan batik cap hasil tangan komuniti tempatan dari Terengganu dan Kelantan.

Katanya, batik dari Terengganu lebih dikenali dengan motif pucuk rebung sebagai kepala kain manakala batik dari Kelantan pula lebih kepada bunga-bungaan.

“Dalam hal ini saya mengolah batik sarung menjadi sesuatu yang baharu dengan suntikan elemen moden dan trendy terhadap fabrik tradisional tersebut.

“Antara rekaan yang dihasilkan ialah jaket bomber, hoodie selain skirt yang menggunakan warna-warna segar dan sesuai untuk mereka yang gemar bergaya ranggi dan ingin tampak menonjol.

“Kain batik juga boleh direka menjadi pakaian malam yang anggun dengan tona yang sesuai dan penambahan fabrik polos serta aksesori bersesuaian menyerlahkan penampilan si pemakai,” tuturnya.