Levi’s memberi tumpuan utama pada era gaya jalanan dan sniker menerusi koleksi jean baharu sempena musim luruh/dingin.

Dengan penghasilan stail gabungan trend terkini seperti grafik terang, jean berpinggang tinggi dan berlogo besar, ia mengimbas semula gaya ranggi era tahun 80-an dan 90-an.

Ia mengekalkan ciri nostalgia dan asli dan pada masa sama menyesuaikan dengan permintaan trend terkini.

Perkara penting untuk diingati pada koleksi tersebut ialah segalanya membabitkan variasi.

Koleksi itu memperkenalkan seluar jean Hi-Ball Roll dan Jeans Men’s Taper.

Levi’s meluaskan himpunan jean tapered iaitu tirus pada buku lali dan memperkenalkan stail berinspirasikan gaya jalanan.

Koleksi jean itu meraikan budaya sniker dan ia memberi tumpuan kepada kemampuan serta penonjolan sniker yang dipakai secara maksimum.

Timbalan Presiden Kanan Rekaan Global Levi’s, Jonathan Cheung berkata, budaya kasut sinker memberi pengaruh besar kepada penggayaan jejaka hari ini.

“Kebanyakan lelaki akan memilih sniker terlebih dahulu sebelum mengenakan pakaian yang sesuai dengan kasut.

“Jadi, kami reka jean yang saling melengkapi dengan padanan sniker anda.

“Ia tirus sehingga ke buku lali dan terletak elok di atas kasut sniker tanpa menutupinya,” katanya yang turut mengemaskini tab merah serta tampalan pada bahagian belakang jean.

Potongan Hi-Ball Roll yang mendedahkan buku lali menggabungkan populariti terkini padanan tirus bersama jean cropped versatil.

Gaya jalanan

Ia direka untuk menonjolkan penampilan sniker dan menyatukan padanan paha klasik 501 dengan pembukaan kaki tirus atau tapered 512.

Ia turut hadir dengan pralipatan untuk membantu jejaka menzahirkan gaya potongan sempurna.

Bagi terus menghangatkan lagi budaya obsesi logo pada sniker dan gaya jalanan, koleksi tersebut menampilkan versi tab dan tampalan ikonik dempak pada bahagian belakang.

Bagi Jeans Men’s Taper, ia seiring dengan populariti gaya jalanan terkini yang juga merupakan adalah hasil kemas kini terhadap rekaan ikonik jean 501.

Ia ditampilkan secara tirus berbanding padanan lurus, di samping tampalan dan tab merah pada bahagian belakang untuk stail gaya jalanan.

Selain itu, ia hadir bersama logo sisi Levi’s jelmaan penampilan gaya santai atletik yang hangat ketika ini.

Ia nyata tertumpu kepada stail progresif yang kasual dan mudah diakses dalam pelbagai gaya.