Bagaimanapun, situasi itu tidak menghalang Norazera Ahmad Nordin, 34, untuk berjaya dalam karier baharunya selaku seorang usahawan dalam bidang kecantikan.

Wanita kelahiran Pasir Mas, Kelantan itu mengakui, dia mengambil masa hampir setahun sebelum meletakkan jawatan sebagai Pegawai Teknologi Maklumat di Kementerian Kesihatan.

Ini kerana dia bertekad untuk menjadi usahawan dalam bidang yang diminatinya iaitu produk penjagaan diri.

Berbekalkan modal kira-kira RM100,000, dia mengasaskan Glorenze yang merupakan jenama bagi rangkaian produk kecantikan diri wanita yang memasuki pasaran tempatan pada September 2016.

Mengakui persaingan cukup sengit dalam pasaran tempatan, dia enggan berputus asa kerana percaya dengan kualiti produk yang ditawarkan.

Ikuti temu bual Kosmo! bersama wanita itu untuk mengetahui lebih lanjut tentang perkara yang memberinya motivasi, sekali gus terus bersaing dalam pasaran tempatan.

KOSMO!: Bagaimana tercetusnya idea untuk mula berniaga?

NORAZERA: Saya mula mendapat idea untuk mengasaskan Glorenze setelah merasai sendiri kesan menggunakan produk kesihatan yang mempunyai bahan berbahaya.

Pada pendapat saya, lebih baik sekiranya saya menghasilkan produk sendiri yang saya tahu mempunyai khasiat daripada bahan berkualiti tinggi.

Selain itu, saya juga ingin wanita di luar sana untuk turut serta mendapat khasiat daripada barisan produk yang ditawarkan.

Bagaimana dengan reaksi keluarga apabila anda menyatakan hasrat untuk mula berniaga?

Alhamdulillah, mereka memahami niat saya untuk berniaga dan langsung tidak menghalang usaha tersebut.

Bukan itu sahaja, mereka tidak putus-putus memberikan kata-kata semangat dan nasihat sebelum saya memulakan perniagaan.

Sokongan dan dorongan yang diberikan itu menjadikan saya lebih berani untuk mengasaskan Glorenze.

Tidakkah anda bimbang untuk meninggalkan karier di Kementerian Kesihatan?

Saya yakin, semua orang akan berasa bimbang. Begitu juga dengan saya, namun ia tidak menghalang niat yang telah dipasang.

Ini kerana saya yakin pasaran yang ingin ditembusi itu mempunyai potensi kerana produk kecantikan sentiasa mempunyai permintaan.

Tambahan pula, saya sendiri mempunyai pengalaman berniaga produk kecantikan, jadi saya sudah mengetahui tentang pasaran tempatan.

Apakah antara usaha yang anda lakukan untuk memperkenalkan Glorenze kepada pengguna tempatan?

Selain menggunakan khidmat stokis dan ejen, saya pernah menyertai Bazaar Paknil di Kompleks PKNS, Shah Alam, Selangor pada Februari tahun lalu.

Selain itu, saya dan kakitangan Glorenze turut aktif mengiklankan produk kami di media-media sosial seperti Facebook dan Instagram.

Kami percaya, rumusan istimewa Glorenze yang antaranya terdiri daripada sengkuang dan minyak zaitun mampu menarik perhatian orang ramai.

Apa perancangan masa depan anda untuk mengukuhkan jenama Glorenze?

Insya-Allah, Glorenze akan mengeluarkan barisan produk baharu yang menggunakan teknologi nano.

Jika tiada halangan, produk baharu yang terdiri daripada barangan kosmetik dan suplemen kesihatan itu akan mula dijual pada pertengahan tahun ini.

Kami sedang bertungkus-lumus untuk merealisasikan hasrat itu.