Rentetan daripada itu, penampilan serba bergaya tidak mustahil untuk dicapai oleh golongan Muslimah di seluruh dunia.

Baru-baru ini, rangkaian jenama fesyen kasual dari Jepun, Uniqlo mengumumkan pelancaran koleksi Hana Tajima For Uniqlo 2018.

Ia merupakan koleksi fesyen wanita yang dilancarkan di Malaysia, Singapura, Indonesia dan Thailand serta boleh didapati di 15 buah negara lain.

Koleksi itu mengukuhkan lagi gambaran komitmen Uniqlo dalam menghasilkan pakaian berkualiti tinggi, praktikal pada harga berpatutan bagi memenuhi gaya hidup individu.

Perekanya, Hana Tajima berkata, nilai eksklusif koleksi tersebut terletak pada rekaan elegan dan ringkas setiap busana yang diketengahkan.

Versatiliti pakaian itu sesuai digayakan oleh semua wanita tanpa mengira latar belakang umur, kaum, budaya mahupun kepercayaan.

“Pada musim ini, saya mahu menghasilkan koleksi yang meraikan idea kewanitaan yang kuat dan berani dalam diri mereka.

“Adaptasi idea tersebut dizahirkan pada setiap busana yang melitupi tubuh individu walaupun berbeza daripada segi gaya.

Versatil

Bagaimanapun, ia cukup versatil untuk menjalani cabaran hidup bersama anda,” katanya menerusi satu kenyataan akhbar baru-baru ini.

Koleksi itu didatangkan dalam pelbagai warna termasuk oren dan mustard.

Ia menjadikan suai padan bersama item produk Uniqlo lain lebih mudah.

Fabrik yang ditampilkan pada koleksi tersebut diperbuat daripada linen lembut.

Ia menjanjikan keselesaan serta mudah digayakan dalam apa jua acara.

Bagi menawarkan kepelbagaian pilihan kepada pengguna, dres yang diperkenalkan dalam koleksi Hana Tajima For Uniqlo 2018 terdapat dalam dua pilihan kepanjangan.

Hana Tajima merupakan seorang pereka fesyen berdarah Jepun yang dibesarkan dalam gaya liberal Britain.

Setiap rekaannya mendefinisikan nilai elegan dan kontemporari, namun pada masa sama mengutamakan penggayaan serba selesa.

Uniqlo pula merupakan jenama rangkaian pakaian kasual daripada Jepun yang mula diperkenalkan sekitar tahun 1949.

Sehingga kini, Uniqlo memiliki kira-kira 1,900 kedai di pasaran lebih 19 buah negara di seluruh dunia termasuk Belgium, Australia, Jerman, Indonesia dan Malaysia.