Begitupun, kewajipan menutup aurat kini bukan halangan untuk bersukan, kebanyakan Muslimah pastinya masih lagi berdepan dengan masalah pemilihan tudung yang sesuai lebih-lebih lagi di negara beriklim panas seperti di Malaysia.

Tidak selesa

Terik mentari disusuli peluh yang keluar hasil pergerakan pastinya mendatangkan ketidakselesaan pada kepala terutamanya.

Menyedari permasalahan tersebut, sebuah jenama tudung tempatan popular, Tudung People tampil menawarkan koleksi tudung khusus untuk bersukan, Najwa Sports.

Menawarkan dua jenis rekaan di bawah koleksi tersebut iaitu selendang dan tudung segera, Najwa Sports dihasilkan dengan penuh teliti demi hijabista sekalian.

Pengasas Tudung People, Fazrena Aziz berkata, kelainan koleksi itu berbanding jenama lain yang berada di pasaran ialah dari segi paduan penggunaan fabrik dan potongan hijab yang lebih dinamik.

“Bila bercakap tentang keselesaan, sudah pasti perkara utama bagi kami ialah untuk memilih padanan fabrik yang ringan, menyerap peluh, cepat kering dan juga sejuk pada kulit.

“Disebabkan itu, Najwa Sports direka khusus menggunakan inovasi material bersifat sejuk diberi nama fabrik Mesh. Ia seakan kain jersi, namun ia lebih ringan, jalinan benang lebih halus, sekali gus tidak berat di kepala,” katanya ketika dihubungi Kosmo!.

Lebih menarik tentang fabrik itu ialah ia juga bersifat antibakteria, antimikrob, antibau serta hipoalergenik yang pastinya tidak memungkinkan iritasi terhadap kulit terutamanya pada bahagian leher. Sementelah sudut rekaan dinamik yang dimaksudkan juga sangat praktikal untuk kedua-dua rekaan.

Seleksi tudung segera umpamanya mempunyai rekaan lebih pendek pada bahagian belakang demi pengaliran udara yang baik serta kekemasan maksimum apabila tudung dimasukkan ke dalam baju.

Sengkuap

Bahagian hadapan tudung pula disertakan dengan potongan labuh melepasi bahagian dada selain kewujudan sengkuap mini bagi imej lebih kemas.

Tidak hanya itu, si gadis pastinya teruja dengan kehadiran belahan kecil terselindung pada bahagian telinga bagi membolehkan penggunaan fon telinga mahupun cermin mata diselit tanpa perlu bimbang ia bakal terjatuh.

Dijual pada harga RM79 setiap helai dengan lebih 24 seleksi warna, berita baik untuk peminat tudung empat segi ini, Tudung People bakal tampil dengan koleksi sukan bawal dan hijab khusus untuk renang pada Disember depan.