Anak jati kelahiran Segamat, Johor itu pernah berkecimpung dalam perusahaan produk keselamatan dan kesihatan pekerjaan seperti baju kalis api untuk kegunaan anggota bomba yang diimport dari luar negara.

Bagaimanapun, graduan peringkat Ijazah Sarjana Pengurusan Perniagaan, Universiti Utara Malaysia itu mencabar dirinya untuk bertapak dalam medan baharu iaitu dermatologi dan kecantikan berbekalkan pengalaman tersebut.

Pengarah Urusan SFS Global Marketing itu berkata, kejayaan menawan hati pengusaha kosmetik tersohor dari Itali untuk memasarkan produk Dr. Lauranne di Malaysia merupakan satu percaturan yang tepat.

Ikuti temu bual Kosmo! bersama Mohd. Fahmi untuk mendalami personaliti usahawan kecantikan berjiwa besar ini.

Kosmo!: Bagaimana anda mula menceburi industri ini?

Mohd. Fahmi: Segala-galanya bermula dalam satu pertemuan bersama kenalan perniagaan di sekitar ibu kota pada awal tahun lalu.

Ketika itu, muka dia kelihatan bermasalah disebabkan oleh penggunaan produk kecantikan yang salah.

Daripada situ, saya rasa terpanggil untuk membantu memulihkan wajahnya dengan menggunakan produk kecantikan yang diiktiraf pakar dermatologi dan kecantikan.

Mengapa anda tertarik untuk membawa Dr. Lauranne ke Malaysia?

Dr. Lauranne merupakan jenama kosmetik tersohor dari Itali yang terkenal dengan keberkesanannya sebagai rejim kecantikan.

Ia merupakan hasil formula seorang pakar dermatologi dan kecantikan dari Rom, Itali iaitu Dr. Anna Laura Lampa sejak tahun 1971.

Sehingga kini, difahamkan lebih 1,500 formula kecantikan telah dihasilkan dan saya pasti tidak sedikit pun berasa ragu-ragu dengan kemampuan Dr. Lauranne.

Apakah momen paling bahagia ketika menceburi bidang kecantikan ini?

Momen paling tidak dapat dilupakan ialah apabila saya diberi kesempatan untuk berjumpa dengan Dr. Lampa sendiri.

Beliau menyambut baik kedatangan saya yang berkunjung ke Rom pada Oktober lalu bagi menjalani latihan di sana.

Di samping kredibiliti yang dimiliki, sikap ramah dan penerimaannya juga menjadi inspirasi kepada saya untuk membawa produk ini ke Malaysia.

Boleh ceritakan sedikit mengenai produk Dr. Lauranne ini?

Saya bawakan tiga produk serum utamanya iaitu serum siang, bibir dan antipenuaan pada harga dari RM155 hingga RM189.

Serum siang diperkaya dengan asid salisilik yang berkesan mengawal minyak.

Serum bibir diformulasi khas menggunakan lendir siput yang melembapkan bibir secara sihat.

Bagi serum antipenuaan pula, ia diperkaya dengan sel stem anggur dari Perancis.

Boleh kongsikan sedikit perancangan masa depan anda?

Saya sedang merancang untuk membawa Dr. Lampa sendiri ke Malaysia sekitar Jun 2018.

Bagi merealisasikan hasrat itu, saya perlu menambah ejen dan stokis di seluruh Malaysia yang ketika ini seramai 30 orang kepada 300 bagi menyambut kedatangan beliau.

Kepada individu yang berminat, mereka boleh hubungi terus di talian 03-5021 4185.