Rekaan baju malar segar itu membuktikan pengaruhnya yang tidak luput ditelan zaman malah ramai orang cukup teruja untuk menggayakan fesyen tersebut.

Rentetan daripada itu, jenama C’LA Exclusive menampilkan konsep moden dan klasik dalam setiap rekaannya.

Menurut pemilik dan pereka jenama itu, Siti Norhasilah Ahmad Saufian, 33, atau lebih dikenali sebagai Shiela, di samping gaya klasik dan moden, dia turut menekankan elemen gaya lebih berani seperti penggunaan warna terang serta garang.

“Saya ingin membuat kelainan kerana tidak ramai orang berani memakai warna terang dengan rekaan lebih menonjol.

“Pada masa yang sama, saya ingin menggalakkan para wanita agar lebih berkeyakinan untuk bergaya,” katanya yang berasal dari Pengkalan Hulu, Perak.

Bercerita mengenai rekaannya, Sheila memberitahu, dia membuat pakaian khas untuk pergi majlis keraian dan makan malam dengan perincian eksklusif.

Antara koleksi itu ialah Kurung Rafflesia dan Daisy Kurung. Kedua-dua rekaan ini tampil dengan rona garang dan berwarna-warni serta corak bunga-bungaan.

Perincian ropol diletakkan di bahagian depan kain skirt dengan potongan A bagi Daisy Kurung manakala Kurung Rafflesia pula, terdapat ropol di bahagian tangan.

Ujarnya, fabrik-fabrik utama yang digunakan dalam mereka pakaian jenama ini ialah jaquard, tafetta, rayon dan kain kapas.

Pastel

Pun begitu, C’LA Exclusive turut menyediakan baju dengan rona pastel seperti Camelia Doll yang memberikan gaya manis.

Rekaan C’LA Exclusive juga menekankan konsep suai padan apabila setiap baju tersebut boleh dipadankan dengan pelbagai jenis seluar dan skirt untuk gaya santai.

Oleh itu, Shiela mereka Vanila Top dan Evei Top untuk gaya lebih kasual bersama padanan seluar atau skirt.

Vanila top direka dengan kedutan di bahagian tangan dan pinggang. Ia dipadankan bersama kain batik canting buatan tangan.

Evei Top Pula, mempunyai perincian manik di bahagian dada dengan lipatan kecil.

Baju Kebaya Seroja pula seseuai digayakan untuk majlis kenduri atau ke pejabat. Terang Shiela, rekaan baju-bajunya diinspirasi daripada baju Saloma terutama di bahagian tangan yang kembang.

Baju-baju tersebut sesuai dipakai oleh mereka yang berusia 20 hingga 40 tahun.