Patung hidup yang memiliki sepasang mata mempesona itu diberi nama Lulu Hashimoto dan dicipta oleh pereka fesyen Jepun, Hitomi Komaki, 23.

Lulu adalah sut patung satu badan yang terdiri daripada rambut palsu, topeng muka dan stoking unik bercorak sendi.

"Saya sangat sukakan patung kerana ia melambangkan kecomelan.

"Lulu merupakan keinginan saya untuk kelihatan sepertinya," kata Komaki.

Memakai maskot yang dipanggil kigurumi dalam bahasa Jepun merupakan bentuk seni yang popular di negara itu.

Komaki telah mengangkatnya ke satu tahap yang baharu dengan mencipta badan patung hidup dan membolehkannya bergerak seperti manusia.

"Ramai yang memanggil projek ini sebagai sesuatu obsesi atau kegilaan terhadap patung, tetapi bagi saya ia adalah fesyen.

"Ia seperti menggayakan pakaian yang cantik atau memakai bulu mata palsu untuk kelihatan comel," terangnya.

Ujar Komaki, hanya satu sut patung hidup dan dia tidak menolak kemungkinan bahawa Lulu akan dikomersialkan pada masa hadapan.

Ditanya mengenai pemakainya, Komaki enggan mendedahkan identiti si pemakai kostum itu.

Dia memberitahu, antara individu yang memakainya ialah penari, pereka dan model.

Lulu merupakan model patung yang pertama di dunia dan sesiapa sahaja boleh menjadi boneka tersebut dengan memakai kostum istimewa itu

Menjadi patung hidup kebiasaannya menggunakan lapisan solekan yang tebal dan memakai baju sesuai serta bergaya seperti patung ataupun menjalani pembedahan plastik.

Sebelum ini, dunia kecoh dengan kegilaan wanita untuk kelihatan seperti patung Barbie. Salah seorang daripada mereka ialah Valeria Valeryevna Lukyanova yang merupakan model dari Ukraine.

Sesiapa sahaja pasti akan terpukau dengan raut wajahnya seperti patung itu maka, tidak hairanlah dia digelar Manusia Barbie.

Solekan

Bagaimanapun, Valeria menafikan wajahnya persis Berbie itu hasil daripada pembedahan plastik sebaliknya ia adalah kesan solekan.

Sementara itu, bercerita lanjut mengenai penciptaan Lulu, Komaki memberitahu, pada awalnya, dia hanya menjadikan ia sebagai hobi dan mengambil masa selama sembilan bulan untuk menyiapkan sut tersebut.

Dia mendapat idea membuat sut itu apabila melihat pasukan Nukopan yang menghasilkan kepala anak patung hiper realistik. Komaki menghubungi mereka untuk bekerjasama bagi menghasilkan Lulu.

"Saya mengetahui mengenai Nukopan sejak dua tahun lalu ketika pertama kali melihat mereka mengeluarkan kepala anak patung tersebut.

"Mereka telah menambah bentuk seperti yang saya impikan," cerita Komaki.

Walaupun pelbagai model telah memakai sut badan Lulu dan menjadikannya hidup tetapi Komaki memberitahu, patung itu mempunyai identiti sendiri.

Berubah



BAHAGIAN kaki dan tangan Lulu direka seolah-olah sendi boneka yang bersambung.

"Identiti Lulu banyak berfokus kepada kepala patung walaupun tubuh si pemakai ada yang pendek dan tinggi.

"Anda boleh melihat Lulu dalam pelbagai bentuk tetapi jangan persoalkan siapa Lulu.

"Kami ingin memberitahu dunia bahawa Lulu berubah mengikut bentuk dan fesyen," katanya.

Lulu telah membuat debutnya yang pertama sebagai model patung hidup pada bulan Julai tahun lalu sehingga mencetus fenomena dalam kalangan peminat boneka di negara itu.

Kostum boneka itu popular dalam kalangan peminat di Jepun. Lulu kini menduduki tempat ke-134 daripada 4,000 penyertaan bagi pertandingan ratu cantik Miss iD.

Keistimewaan Lulu yang berjaya menjadikan kostum itu daripada fiksyen kepada realiti telah memukau peminat di media sosial.

Akaun Twitter dan Instagram Lulu telah diikuti oleh puluhan ribu orang.

"Saya menjumpai keajaiban patung dan manusia.

"Ia dua hal yang wujud dalam dunia berbeza, tetapi berdiri dalam ruang sama," kata Erika Kato, 24, yang menjumpai Lulu buat kali pertama dalam satu acara baru-baru ini.

Seorang lagi peminatnya, Miu Shimioda, 22, teruja untuk memakai kostum patung tersebut.

Video muzik

"Saya ingin menjadi gadis cantik seperti Lulu sekurang-kurangnya sekali dalam seumur hidup," tuturnya.

Setakat ini, Lulu telah membuat penampilan di sekitar Tokyo, Harajuku dan mempunyai programnya sendiri yang digelar Luluroom.

Komaki ingin bekerjasama dengan syarikat yang mahu menjadikan Lulu sebagai model atau membintangi video muzik.

Buat masa ini, patung hidup itu memberi fokus kepada kerjanya sebagai model fesyen dan kadang-kadang melangkah keluar berjalan-jalan di Tokyo untuk berjumpa dengan orang ramai.

Sementara itu, kaki dan tangan Lulu dicipta oleh pereka fesyen Koh Ueno yang membuatkannya kelihatan seperti sendi-sendi boneka.

"Saya mahu wanita memakai stoking ini dan mengubah cara pemakaian biasa.

"Saya ingin mereka merasai pengalaman luar biasa seperti berada di dunia lain apabila berubah menjadi anak patung," kata Ueno yang berusia 29 tahun.