Menurut Pengarah Pemasaran Minc Market, Maizira setiap kali bercuti di luar negara mereka melihat pelbagai fesyen serta aksesori menarik yang digayakan oleh penduduk tempatan.

“Antara tempat yang kami kunjungi ialah Indonesia, Thailand, Jepun, Korea, Australia dan Amerika Syarikat. Ternyata gaya berfesyen mereka sangat unik terutamanya penggunaan aksesori.

“Dari situ kami membina platform dan mencari pembekal untuk mendapatkan aksesori serta produk-produk lain untuk dijual di Minc Market,” katanya ketika ditemui Kosmo! di ruang pameran Minc Market yang terletak di Seksyen 16, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Tambahnya, Minc Market menawarkan lebih lima jenis aksesori pelbagai seperti gelang, rantai, subang, beg, stoking dan cincin.

Menariknya, aksesori tersebut tidak terhad kepada wanita sahaja tetapi turut disediakan untuk lelaki dan kanak-kanak.

Minc Market berkonsepkan jualan produk di bawah satu bumbung bagi memudahkan pelanggan terutamanya yang berkeluarga untuk mendapatkan pelbagai barangan.

Signatur

Jelas Maizira, kebanyakan aksesori itu diimport dari Amerika Syarikat, India, China, Indonesia dan Thailand.

Walaupun dibekalkan secara siap, tetapi mereka bertiga akan memilih material yang digunakan bagi menghasilkan aksesori itu.

“Warna dan rekaan aksesori Minc Market sangat sesuai dengan iklim tropika negara ini seperti material yang lebih ringan dengan kombinasi aneka warna.

“Kami menyediakan dua kategori aksesori iaitu untuk digayakan secara formal dan santai seperti bersiar-siar di pantai,” katanya aksesori itu boleh digayakan oleh mereka yang berumur antara 20 hingga 40 tahun.

Bagi gaya formal, pihaknya menggunakan material seperti kristal dan mutiara. Menurut anak keempat daripada sembilan beradik itu, aksesori tersebut berkonsepkan segar dan ranggi yang sangat sesuai dipakai ketika bersiar-siar di pantai.

Harga yang ditawarkan untuk aksesori antara RM39 hingga RM249.

Minc Market turut menjual beberapa produk lain seperti baju untuk lelaki, kanak-kanak, wanita, penjagaan kecantikan, kosmetik serta produk hiasan rumah.

Mengulas lanjut mengenai kaftan iaitu salah satu produk yang menjadi signatur Minc Market, Malisa, 34, memberitahu, pada awalnya mereka mendapatkan stok dari Indonesia.

Bagaimanapun, melihat kepada rekaan baju kaftan yang sama di pasaran membuatkan pihaknya terfikir untuk mereka sendiri bagi mencari kelainan.

“Kebanyakan penjual mengambil daripada pembekal yang sama sehingga rekaan serta corak sama di tempat-tempat lain.

Potongan kain

“Kami juga menerima maklum balas daripada pelanggan yang mengusulkan idea sama memandangkan kami tahu memilih material serta rekaan terbaik,” cerita pemegang Ijazah Sarjana Muda Reka Bentuk Produk dari Curtin University, Perth Australia itu.

Akuinya yang bertanggungjawab sebagai pengarah kreatif, ilmu jahitan dan memotong kain merupakan cabaran utama pada peringkat awal kerana masing-masing tidak mempunyai pengetahuan dalam bidang itu.

Mujur ibu mereka, Siti Zaharah Abdul Aziz, 66, sudi membantu kerana dia mempunyai pengetahuan dalam bidang rekaan busana.

Ujar Malisa, kaftan tersebut mendapat sentuhan moden kontemporari tetapi masih mengekalkan elemen tradisional.

Malah, ia juga mempunyai gabungan inspirasi tempatan dan luar negara.

Menariknya, kaftan keluaran Minc Market ini boleh digayakan ke mana-mana majlis ataupun bersiar-siar di resort dengan potongan labuh ataupun pendek di bawah lutut.

Terang anak keenam daripada sembilan beradik itu, keunikan kaftan ini terletak kepada potongan kain yang membuatkan badan kelihatan lebih langsing.

“Kami juga mementingkan perincian di tangan seperti rekaan ropol dan ada juga berlengan panjang untuk kelihatan lebih formal.

“Corak pula banyak menggunakan motif geometri moden, bunga-bungaan dan warna-warna lembut serta terang.

“Kali ini pihaknya menawarkan edisi istimewa pada bulan Ramadan apabila busana tersebut direka bersama padanan tudung,” tuturnya yang mengambil masa satu hingga dua minggu untuk menyiapkan sehelai kaftan.

Wanita kelahiran Kuala Lumpur ini turut memberitahu, pelanggan yang membeli kaftan tersebut kebiasaannya untuk tujuan dipakai ketika bercuti, majlis makan malam dan perkahwinan.

Busana tersebut sangat selesa dan mudah dipakai serta kelihatan elegan dengan gaya ringkas sehingga menjadi pilihan wanita untuk dipakai ketika bercuti di resort-resort.

Apatah lagi, kaftan itu menggunakan fabrik sutera satin dan campuran poliester malah kainnya juga tidak jarang serta panas.

Minc Market kini mempunyai 10 koleksi kaftan sehingga saiz XXL. Ia dijual pada harga antara RM280 hingga RM450.

Sehubungan itu, tidak hairanlah kaftan Minc Market bukan hanya diminati oleh warga tempatan bahkan turut dibeli oleh pelanggan dari Brunei, Singapura dan Amerika Syarikat.

Kesemua produk Minc Market dijual secara online di Instagram dan Facebook manakala penghantaran mengambil masa dua atau tiga hari bekerja.

Penghantaran ekspres turut disediakan khas untuk warga Kuala Lumpur sahaja iaitu sebelum pukul 12 pada hari bekerja.

Kepada mereka yang ingin merasai dan melihat sendiri produk-produk Minc Market boleh terus ke ruang pameran mereka.

Ruang pameran dibuka dari pukul 11 pagi hingga 6 petang pada hari Isnin hingga Jumaat tetapi pelanggan dinasihatkan agar membuat temu janji terlebih dahulu.

Minc Market yang berkonsepkan jualan di bawah satu bumbung menyediakan pelbagai aksesori dari luar negara serta rekaan kaftan istimewa.