Pada awalnya, dia bermula dalam bidang iklan komersial sebelum berjinak-jinak dalam bidang peragaan.

“Ketika kecil saya selalu menemani nenek ke padang kerana dia merupakan pengadil bola sepak.

“Wartawan yang menemu bual nenek sering bertanya mengenai saya kerana berwajah mat saleh dan mencadangkan agar mencuba nasib sebagai pelakon iklan dan model.

“Bertitik tolak dari situ, saya memulakan kerjaya sebagai pelakon iklan dan seterusnya sebagai model,” katanya ketika ditemui di ibu pejabat Kosmo!, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Pada usia tujuh tahun, Mika telah berlakon dalam iklan Sunquick Oren Juice, Nickelodeon for Asian Country dan beberapa iklan lain seperti Coca-Cola Worlds Cup 2014 serta Jacker Potato Crisps and Chips.

Selain itu, dia berlakon dalam filem Split Gravy On Rice dan drama bersiri Planet Kiara untuk episod istimewa.

Pendedahan yang diterima oleh anak bongsu daripada dua beradik itu membuatkan perjalanannya dalam bidang peragaan berkembang sehingga ke luar negara. Bakat Mika dalam bidang ini diwarisi daripada neneknya yang juga pernah terlibat sebagai pelakon dalam iklan komersial.

Pada masa yang sama, abangnya, Aliff Jenewein, 23 tahun turut menceburkan diri dalam bidang peragaan dan model komersial.

Bagi Mika, ibunya, Azra Abdul Rahman, 45, merupakan insan penting yang mendorong remaja itu untuk bergelar seorang model.

“Pada mulanya, saya tidak meminati bidang ini kerana saya seorang yang pemalu tetapi setelah beberapa kali beraksi di atas pentas, rasa suka itu datang lalu membuat keputusan untuk bergelar model sepenuh masa.

“Sehubungan itu, pada usia 16 tahun saya sudah serius mengikuti pelbagai pertunjukan fesyen di dalam dan luar negara,” tuturnya yang juga merupakan wakil negara untuk Kelab Saints Dodgeball yang disertainya sejak tujuh tahun lalu.

Di samping itu, Mika juga menyertai Malaysia Supermodel Search dan Fresh Faces World Finals di Barcelona, Sepanyol yang kedua-duanya dinobatkan sebagai pemenang tempat kedua.

Kejayaan itu telah melonjakkan lagi namanya sehingga dilamar oleh agensi model dari luar negara.

Ia juga merupakan berkat usaha keras ibunya yang tidak jemu memperkenalkan nama Mika kepada agensi-agensi model di luar negara.

Agensi naungan

Kini, Mika bernaung di bawah ADDICTED TO MODELS selaku model agensi yang utama, berpangkalan di Vienna.

Selain itu, dia turut bernaung di bawah Muse Management (New York), NOLOGO Mgmt. (Milan), 16Mens (Paris), AMCK Models (London) dan Nest Model Management (Berlin).

Anak kelahiran Austria itu mempunyai auranya tersendiri sehingga diberi kepercayaan oleh beberapa jenama besar seperti Emengildo Zegna, Jw Anderson, Neil Barret dan GCDS.

Dia juga terlibat untuk ruangan editorial seperti 7th Man Magazine (London), Men’s Moment (Milan), Hunter Fashion Magazine (Milan) dan model untuk klip video penyanyi Beirut yang juga bernama Mika.

Keluarga Mika pada asalnya menetap di Austria tetapi kerana tuntutan tugas bapanya, Markus Jenewien, 50, sebagai jurutera, mereka hidup berpindah-randah ke beberapa negara seperti Malaysia, Brazil dan India.

Pun begitu, Malaysia merupakan rumah keduanya selepas Austria memandangkan keluarga Mika sering pulang setiap tahun ke negara ini.

Selepas sekian lama menetap di luar negara, sejak setahun lalu, keluarganya telah mengambil keputusan untuk menetap di Malaysia.

Walaupun mencipta nama di pentas antarabangsa tetapi Mika turut beraksi di Malaysia dengan menyertai beberapa pertunjukan fesyen seperti Minggu Fesyen Kuala Lumpur dan Minggu Fesyen Johor.

Komitmen

Tugas yang digalasnya tidak semudah yang disangka kerana bergelar model antarabangsa menuntut komitmen, masa dan wang.

“Saya berasa sangat bertuah kerana mempunyai keluarga yang sangat menyokong dan memahami.

“Ibu akan sentiasa di samping saya ketika menyertai pertunjukan fesyen di luar negara.

“Dalam sebulan sekurang-kurangnya empat kali saya dan ibu akan terbang ke luar negara untuk uji bakat dan pertunjukan fesyen,” terangnya yang menggemari rona merah.

Antara tempat tersebut ialah Paris, Milan, New York, Austria dan London.

Jelas Mika, dia mengeluarkan perbelanjaan besar sekitar RM10,000 hingga RM40,000 bergantung kepada negara untuk kos makanan, pengangkutan dan penginapan.

Namun, pelaburan yang begitu besar belum menjanjikan peluang kepada Mika untuk menyertai pertunjukan tersebut kerana dia perlu melepasi uji bakat terlebih dahulu.

“Setiap kali ditawarkan untuk menjadi model bagi acara pertunjukan fesyen, model perlu menjalani rutin uji bakat.

“Sesi ini sangat meletihkan kerana perlu beratur panjang dan menunggu giliran apatah lagi calon yang datang ada yang mencapai 1,000 orang.

“Pernah suatu ketika dahulu saya mengikut sesi uji bakat enam hingga lapan tempat setiap hari,” ujarnya yang menceritakan cabaran bergelar model antarabangsa.

Kesukaran itu tidak melemahkan semangat remaja berketinggian 190 sentimeter ini untuk bergelar model.

“Saya rasa bertuah kerana dari hari pertama menjadi model sentiasa mendapat permintaan istimewa untuk diuji bakat daripada jenama terkenal sehingga kini.

Gemuruh

Ditanya mengenai tip menghilangkan gemuruh di atas pentas, Mika memberitahu, dia tidak memikirkan persepsi orang terhadap dirinya dan berjalan mengikut rentak muzik.

Di sebalik warna-warni perjalanan hidup Mika, terdapat kisah menarik yang tidak ramai orang tahu.

Remaja ini sebenarnya sangat menggemari kicap manis Habhal’s buatan Malaysia sehinggakan sanggup membawa berbotol-botol kicap setiap kali bekerja ke luar negara.

Lebih mencuit hati, dia turut mempelawa rakan-rakan modelnya untuk mencuba kicap tersebut dan mereka turut menyukainya sehingga ada yang makan roti bersama kicap.

Bercerita mengenai rutin hariannya, Mika memberitahu, dia perlu membahagikan tugas sebagai atlet dodgeball dan kerjaya sebagai model.

“Tiga kali dalam seminggu saya akan berlatih sukan dodgeball selama sejam setengah.

“Saya juga akan ke gimnasium setiap hari selama dua jam untuk kecergasan badan,” ujarnya yang gemarkan gaya fesyen jalanan.