Dilahirkan pada 9 Oktober 1996 di Los Angeles, California, Amerika Syarikat, pemilik nama sebenar Isabella Khair Hadid, 22, merupakan seorang gadis yang aktif. Dia pernah menyertai sukan berkuda (ekuestrian) dan bercita-cita mewakili negaranya ke sukan Olimpik Rio 2016 namun hasratnya terpaksa dilupakan berikutan dia disahkan menghidap penyakit lyme yang kronik.

Penyakit lyme adalah disebabkan oleh jangkitan bakteria dan disebarkan kepada manusia melalui kutu tanah. Kutu ini kebiasaannya berada di hutan atau semak dan memakan darah haiwan juga manusia. Penyakit ini boleh diubati sekiranya dikesan dari awal.

Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu. Selepas sembuh daripada penyakitnya, anak kepada pemaju hartanah Mohamed Hadid dan bekas model Yolanda Hadid itu memulakan karier peragaan pada usia 16 tahun menerusi projek komersial pereka fesyen Flynn Skye.

Mewarisi bakat peragaan daripada ibunya, anak kedua daripada tiga beradik itu, turut terlibat dalam beberapa projek fotografi fesyen selain menjadi model koleksi musim luruh/sejuk pereka Hannah Hayes pada tahun 2013.

Tempias populariti

Pengajian Bella Hadid kemudian terhenti separuh jalan apabila kariernya dalam dunia peragaan melonjak tanpa diduga. Sudah tuahnya menjadi keluarga Hadid, dia mula dikenali ramai selepas menjadi pilihan pereka fesyen terkenal untuk menggayakan rekaan mereka.

Sejak itu, gadis yang pernah hangat bercinta dengan penyanyi dari Kanada, The Weeknd atau nama sebenarnya Abel Makkonen Tesfaye merupakan wajah yang tidak asing bagi jenama terkenal. Antaranya termasuklah Diane von Fürstenberg, Tommy Hilfiger, Jeremy Scott, Marc Jacobs, Topshop, Unique and Giles, Philipp Plein, Moschino, Missoni, Bottega Veneta, Barmain, Victoria Secret dan Chanel.

Dia juga menjadi antara model pilihan di pentas peragaan Minggu Fesyen di New York, Paris dan London selain diberi mandat untuk menggalas tanggungjawab duta bagi pelbagai jenama antarabangsa serta penghias wajah majalah-majalah terkemuka.

Tidak lari dipalit kontroversi, populariti Bella Hadid tidak tergugat apabila dia pernah dicalonkan dan memenangi pelbagai anugerah pilihan peminat dalam pelbagai majlis anjuran syarikat penerbitan majalah.

Tidak hanya pada industri peragaan, Bella Hadid turut melebarkan sayapnya ke arena lakon layar menerusi penampilan dalam beberapa filem pendek, rancangan realiti serta muzik video.

Meskipun meraih populariti serta rezeki yang melimpah ruah, Bella Hadid seorang yang merendah diri, ramah, mesra dan tidak lokek dengan senyuman.

Dia yang merancang untuk menjadi jurufoto fesyen selepas meninggalkan dunia peragaan kelak juga menjadikan kejayaan dikecapinya sebagai medium untuk berkongsi ilmu kecantikan dan membantu orang ramai menerusi kerja-kerja kebajikan.