Koleksi Ariani Luminous Lebaran 2018 mempersembahkan hijab dan busana segar dengan paduan warna-warna menarik untuk digayakan.

Sebanyak 60 pilihan hijab baharu diperkenalkan dengan kombinasi warna, material dan cetakan yang lebih unik, moden serta elegan dalam setiap helaian hijab.

Pengarah Pemasaran Ariani Textiles & Manufacturing (M) Sdn. Bhd., Datin Farah Haryani berkata, koleksi Ariani Lebran 2018 merangkumi pilihan hijab seperti selendang dan tudung segera yang polos dengan warna pastel serta cerah yang menarik.

“Selain itu, ia terdapat dalam pilihan corak bercetak yang segar dan cantik.

“Untuk itu, kesemua koleksi Ariani Lebaran 2018 yang dipersembahkan tidak sekadar cantik dipandang, tetapi praktikal digayakan sepanjang lebaran ini,” katanya kepada Kosmo! pada sidang akhbar Ariani Luminous Lebaran 2018.

Katanya lagi, formulasi tudung segera untuk gaya wanita adalah menepati kehendak dan permintaan pelanggan yang inginkan hijab mudah digayakan.

Menariknya, ia diberikan sentuhan eksklusif berupa permata Swarovski dan perincian renda berkualiti tinggi.

Sebanyak 10 koleksi hijab dan lima koleksi edisi terhad merangkumi selendang, tudung segera dan bawal dipersembahkan bersempena kolaborasi drama sutradara pengarah, Michael Ang berjudul Hati Seorang Perempuan.

Ariani juga menghasilkan koleksi edisi terhad drama Pengantin Salju yang menampilkan tudung segera dan selendang seperti Selendang Kaseh Salju, Bawal Sonata Salju dan Instant Hana Salju.

30 lagi koleksi tudung polos dan bercetak terdiri daripada Koleksi Selendang Selena, Selendang Serenity, Selendang Midnight Fall dan banyak lagi turut dipersembahkan.

Hijab premium

Bagi yang menggemari hijab premium, sebanyak 30 koleksi Ariani Luxe juga dipersembahkan seperti selendang, swiss voile, turban dan juga inner eksklusif.

Koleksi pakaian sedia pakai, Ariani RTW yang dipersembahkan pada pertunjukan sama juga tidak kurang hebatnya.

Glam Lebaran by Ariani RTW menampilkan 70 koleksi lebaran merangkumi kurung moden polos, kurung moden bercetak dan jubah.

Koleksi itu mengangkat seni cetakan dalam nuansa pastel dan terang bagi menyerlahkan sisi kewanitaan.

Kemuncak pertunjukan fesyen itu ialah The Premium Series by Ariani RTW bagi yang menggemari rekaan mewah dan sentuhan ekslusif yang dijual dalam kuantiti terhad.

Ia menampilkan pemilihan material brocade, kapas dan juga bertatahkan Swarovski.