Rangkaian sosial pula merujuk kepada cara individu dan kumpulan tertentu berinteraksi dan berkomunikasi secara online.

Laman media sosial terkenal di dunia adalah seperti Facebook, Twitter, LinkedIn, Instagram, Pintrest, Google+ dan Flickr. Weibo pula cukup popular di negara China manakala Line rangkaian sosial terbesar di Jepun.

Sememangnya dengan rangkaian media sosial, seseorang itu mampu mewujudkan profil, berkongsi kandungan, memuat turun status terbaharu, memberi komentar dan mengikuti halaman media sosial sesiapa sahaja.

Ia kini digunakan sebagai strategi pemasaran fesyen secara meluas dengan menawarkan peluang untuk mengetahui pandangan, pilihan, kesukaan dan aspirasi pelanggan tanpa perlu memaksa atau mengganggu.

Efektif

Laman sosial menjadi mekanisme untuk sesuatu perniagaan fesyen mendapatkan informasi serta maklum balas dengan begitu mudah daripada para pelanggan.

Selain itu, ia boleh digunakan untuk membangunkan dan meningkatkan profil perniagaan, reputasi serta menambah jumlah pengikut, peminat, pelanggan dan rakan kongsi perniagaan.

Media sosial juga penting kerana ia adalah cara paling efektif dan terpantas untuk menyebarkan berita terbaharu tentang jenama fesyen kepada khalayak umum.

Ini menunjukkan cara pelanggan menggunakan media sosial untuk mendapatkan informasi tentang sesuatu jenama fesyen atau apa sahaja telah berubah secara dramatik.

Justeru, mereka yang mahu berjaya dalam pemasaran fesyen perlu cukup memahami bagaimana untuk mendekati dan berkomunikasi dengan pelanggan secara online.

Setiap pendekatan kempen terbaharu promosi jenama atau produk fesyen perlu disokong serta selari dengan elemen-elemen media sosial seperti boleh diukur, dikaji dan dijejaki keberkesanannya.

Landskap media sosial sememangnya berkembang pesat. Saya percaya ia akan terus memainkan peranan utama dalam industri fesyen kini dan masa hadapan dengan membawa pelbagai pengaruh, inspirasi, keunikan dan pilihan yang luas untuk pelanggan.

Kita juga boleh mendapat maklum balas segera daripada pelanggan mengenai sesuatu produk sama ada ia memenuhi selera mereka atau tidak menerusi jumlah tempahan online yang dibuat.

Media sosial juga menyediakan kaedah pemasaran fesyen global dengan kos yang berpatutan dan mudah terutamanya bagi jenama serta perniagaan fesyen bersaiz kecil.

Buktinya, kita boleh melihat peningkatan dalam jumlah jenama fesyen yang dilancarkan dipromosikan dengan hanya melalui Instagram.

Sememangnya potensi media sosial dalam mempromosikan fesyen tidak terbatas.

Cita rasa

Kunci kejayaan dalam strategi pemasaran melalui media sosial adalah dengan meletakkan cita rasa dan kehendak pelanggan sebagai elemen paling utama dalam apa jua yang dilakukan dalam perniagaan.

Peniaga juga perlu memastikan aspirasi serta mesej yang disampaikan ke seluruh media sosial sentiasa selari dengan nada dan konsep jenama fesyen yang ingin diketengahkan.

Peniaga turut perlu memahami dan menyelidik bagaimana media sosial global berfungsi supaya mudah untuk memastikan pemasaran produk secara lebih efektif dan cekap.

Pada masa sama, peniaga harus memperhalusi tentang keberkesanan imej, video atau editorial yang dipaparkan di media sosial. Persoalan-persoalan seperti adakah ia berhasil membuatkan pelanggan tertarik untuk membincangkannya, berkongsi pendapat tentang produk tersebut dan seterusnya membuat pembelian perlu dinilai oleh para peniaga.

Perlu diingatkan, strategi pemasaran jenama fesyen melalui media sosial bagaimanapun perlu disertai dengan integriti dan kejujuran kepada pelanggan bagi menjamin keutuhan perniagaan untuk tempoh yang panjang.

Produk-produk yang dihasilkan juga perlu mempunyai nilai dari segi rekaan dan kualiti manakala perkhidmatan yang ditawarkan terjurus kepada pelanggan yang disasarkan secara bertepatan.