Bermula sebagai hobi pada masa lapang dengan mengadakan seminar bersama pertubuhan bukan kerajaan, ibu tunggal dan wanita bekerjaya, ia menjadi titik tolak kepada anak kelahiran Miri, Sarawak itu untuk melibatkan diri secara serius dalam bidang ini.

"Selama lima tahun saya bertugas sebagai eksekutif latihan di sebuah bank dan bertanggungjawab untuk pembangunan imej serta latihan kepada para staf.

"Daripada situ, saya kutip ilmu dan pengalaman untuk dikongsi bersama orang di luar sana pada setiap hujung minggu.

"Ternyata, sambutan yang diterima sangat membanggakan. Lantas, saya mengambil keputusan untuk menjadikan ia sebagai kerjaya sepenuh masa selepas setahun melibatkan diri dalam bidang ini," katanya ketika ditemui Kosmo! di pejabatnya yang terletak di Bandar Baru Ampang, Selangor baru-baru ini.

Tambahnya, perunding imej memainkan peranan yang sangat besar kerana mereka bukan hanya membantu dari sudut penampilan luaran semata-mata tetapi merangkumi tiga aspek utama iaitu fesyen, etika dan komunikasi.

Untuk menjadi perunding imej profesional, pengasas Training Cube International Sdn. Bhd., itu mengikuti kursus Perunding Imej International yang diiktiraf oleh Poise Image International di Singapura.

Dia juga mengikuti beberapa kursus lain seperti Perunding Gaya dan Warna (Tahap Master) yang diiktiraf oleh Body Beautiful Institute, Amerika Syarikat (AS), Perunding Gaya, Fesyen dan Warna (Ferial Training Image Consulting, AS/ Australia), Konsultan Kerjaya Bertauliah Tahap Pakar (Certified Career Coach, CCC, diiktiraf oleh Expert Rating, AS) serta Jurulatih Bertauliah (Certified PSMB Trainer) di bawah Pembangunan Sumber Manusia Berhad dan Kementerian Sumber Manusia.

Menurut ibu kepada dua orang cahaya mata itu, pelanggannya terdiri daripada syarikat korporat, swasta, rangkaian hotel, kerajaan, institusi pendidikan tinggi di dalam dan luar negara.

"Sehingga kini, saya telah memberikan khidmat perundingan imej kepada 500 buah syarikat dan 200 orang secara individu.

"Saya bertanggungjawab membina modul dan menyusunnya mengikut pekerjaan serta industri kerana keperluan mereka berbeza," ujarnya yang menggemari gaya klasik.

Nilai tambah


NADZRUN (kiri) merupakan orang penting di sebalik kejayaan Mary Anni.

Katanya, ramai orang ingin tampil cantik tetapi mereka tidak mengetahui cara untuk bermula.

Justeru, khidmat perunding imej sangat diperlukan untuk memberi nilai tambah dan menyelesaikan masalah yang mereka hadapi.

Mary Anni pernah didatangi seorang wanita yang mengalami tekanan serius kerana berasakan penampilannya tidak bagus sehingga menjejaskan keyakinan diri.

Sebelum memberikan khidmat rundingan, dia akan mengenal pasti beberapa perkara seperti matlamat yang ingin dicapai, pekerjaan, karakter dan acara yang sering dihadiri.

Pelanggan Mary Anni terdiri daripada pelbagai latar belakang seperti pelajar, selebriti, orang kenamaan, isteri-isteri pembesar dan pegawai tinggi kerajaan dengan bayaran kira-kira RM3,500 untuk perundingan premium.

Tutur anak sulung daripada sembilan adik-beradik itu, kebanyakan mereka yang berminat untuk membuat transformasi diri adalah berumur dalam lingkungan 30 hingga 40 tahun kerana sudah stabil dari segi pekerjaan serta kewangan.

Tidak terhenti di situ, pada tahun 2012, dia menubuhkan Akademi Perunding Imej Profesional.

"Ramai orang menunjukkan minat untuk mempelajari bidang perunding imej dan mereka bertanya di mana saya belajar.

"Perkara itu mencetuskan idea untuk menubuhkan akademi sendiri, sekali gus memudahkan mereka kerana tidak perlu pergi jauh sehingga ke luar negara untuk belajar," ceritanya yang berpegang kepada falsafah hidup, tiada siapa mampu mengubah nasib kita kecuali diri sendiri.

Akademi itu melahirkan perunding imej profesional dengan bayaran sebanyak RM6,990.

Sehingga kini, akademi itu berjaya melahirkan 126 orang perunding imej profesional bertauliah.

Mengulas mengenai keseronokan menceburi bidang ini, Mary Anni memberitahu, dia berasa puas dan gembira apabila melihat orang berubah menjadi cantik serta berkeyakinan tinggi.

Dia juga tidak lokek berkongsi tip dan ilmu menerusi akaun Facebook miliknya.

Tidak hairanlah Facebook yang dibuka sejak setahun lalu itu kini telah diikuti oleh 70,000 orang.

Pengorbanan



DI SAMPING memberi rundingan imej secara individu, Mary Anni juga aktif mengadakan seminar serta bengkel.

Kejayaan yang diperoleh pada hari ini adalah hasil kerja kuat dan pengorbanan tanpa mengenal erti putus asa.

Masih segar dalam ingatannya ketika mula menceburi bidang ini, dia sanggup menerima bayaran serendah RM150 bagi satu seminar yang melibatkan 20 orang peserta selama lapan jam.

"Ketika itu, saya dijemput untuk memberi penerangan mengenai penggayaan aksesori di Port Dickson, Negeri Sembilan.

"Walaupun bayarannya kecil tetapi peluang itu sangat bermakna untuk memperkenalkan diri saya sebagai perunding imej kepada umum.

"Sebagai pendatang baharu, agak sukar untuk menjalankan kerjaya ini kerana nama saya tidak dikenali dan orang juga tidak percaya keupayaan kita," jelasnya.

Kini, dia mampu menerima bayaran sekitar RM4,500 untuk satu seminar kecantikan.

Mary Anni akui, kerjaya sepertinya menuntut masa yang banyak kerana perlu pergi ke pelbagai lokasi untuk mengadakan seminar dan latihan.

Dalam masa sebulan, dia hanya bercuti selama dua atau tiga hari.

Namun, dia tidak lupa tanggungjawab sebagai isteri kepada Nadzrun Abdul Wahab, 36, dan percaya kepada kualiti masa bersama.

"Memandangkan masing-masing sibuk, kami wajib meluangkan masa untuk bersarapan bersama-sama pada setiap hari," katanya yang suka membaca buku pada waktu lapang dan akan menghabiskan tujuh buah buku dalam masa sebulan.

Mary Anni bersyukur kerana dikurniakan seorang suami yang sangat memahami kerjayanya.

Nadzrun sanggup berhenti kerja sebagai jurutera teknologi maklumat untuk membantu Mary Anni bersama-sama membangunkan perniagaan tersebut.

"Awalnya, saya hanya menjalankan perniagaan dari rumah dan tidak mempunyai pekerja.

"Pada tahun 2012, kami membangunkan pejabat dan akademi sendiri yang dibantu suami bagi urusan operasi pejabat.

"Perniagaan yang semakin berkembang membuatkan saya tidak mampu menguruskan sendirian, lantas meminta pertolongan suami," katanya yang kini mempunyai staf seramai 15 orang.

Walaupun sibuk menguruskan perniagaan, Mary Anni tidak melupakan rutin kecantikannya.

Dia sangat rajin memakai produk penjagaan kulit agar sentiasa sihat dan cantik.

Di samping itu, dia juga akan meluangkan masa untuk berehat dan melakukan aktiviti kesukaannya.