Dimeriahkan pula dengan corak dan lencana kelab tertentu, ia nyata menjadi penyeri sesebuah acara sukan.

Meskipun begitu, penggunaan mafla tidak hanya terhenti sebagai sehelai kain yang menjadi tanda sokongan sesebuah kelab.

Mafla juga boleh dililit pada bahagian leher individu sekali gus menjadi aksesori tambahan menarik dalam bidang fesyen.

Ketika mula diperkenalkan dengan penggayaan mafla oleh seorang jurujual tudung yang dikenalinya sekitar Julai tahun lalu, Mohd. Marzuki Mohd. Salleh, 29, mengakui rasa tertarik untuk mencubanya.

Kata Mohd. Marzuki yang mesra disapa Mika Mikail, mengenakan mafla sebagai pelengkap aksesori disifatkan sebagai elemen penyerlah imej dirinya.

“Masa mula-mula pakai mafla, saya sedikitpun tidak berasa segan atau kekok kerana penampilan tampak lebih berkeyakinan, macho dan kemas.

“Mafla itu bukan sahaja saya gayakan semasa sesi fotografi, tetapi turut dibawa ke tempat kerja serta acara keraian tertentu.

“Menariknya, mafla yang saya gayakan itu pada asalnya hanyalah tudung biasa yang dilipat dan dililit pada bahagian leher,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Jelas pemuda kelahiran Kelantan itu, mafla pilihannya ialah keluaran Sira Anggun.

Sira Anggun merupakan syarikat pengeluar tudung dan selendang versatil yang mula diperkenalkan sekitar tahun lalu.

Fabrik berkait

Siti Rahmah Mustafa yang beroperasi secara online sepenuhnya pada awal 2017.

Jenama itu mempertaruhkan produk tudung yang diperbuat daripada fabrik berkait yang ditenun dari Jakarta, Indonesia.

Setelah hampir setahun bertapak secara maya, Sira Anggun berkembang ke dalam bentuk fizikal menerusi pembukaan butik di Tanah Merah, Jitra, Kedah pada awal Januari lalu.

Pengasasnya, Datin Siti Rahmah Mustafa berkata, fabrik berkait yang ditenun itu dilihat sebagai kekuatan utama jenama Sira Anggun.

Hal ini kerana tujuan utama fabrik itu diperkenalkan ialah bagi memudahkan golongan wanita menggayakan tudung dengan stail yang pelbagai.

Selain itu, fabriknya juga tidak panas dan mudah diurus.

“Minat yang mendalam terhadap bidang fesyen membuatkan diri saya bersungguh-sungguh bereksperimentasi dengan jenama Sira Anggun ini.

“Walaupun bermula dari bawah, Sira Anggun kini memiliki butik di Johor Bahru, Johor dan Jitra, Kedah,” ujarnya.

Objektif utama Sira Anggun untuk tahun kedua ialah memperkenalkan jenama itu ke seluruh Malaysia.

Bagi memastikan objektif itu tercapai, Sira Anggun memberi fokus terhadap prospek pasaran golongan lelaki dan wanita tempatan.

Penggayaan mafla

Sekiranya ia mendapat sambutan menggalakkan, Siti Rahmah menyasarkan untuk memperkenalkan jenama Sira Anggun ke Singapura pada tahun depan.

Tambah Siti Rahmah, tudung Sira Anggun boleh digayakan oleh golongan lelaki dalam cara yang pelbagai.

“Selain mafla, ia juga boleh dipakai sebagai selimut untuk dalam perjalanan yang jauh.

“Bagi lelaki yang menggemari fesyen bercirikan Islamik, tudung Sira Anggun itu juga boleh digayakan sebagai serban.

“Katanya, gaya serban urban itu boleh menggantikan serban biasa golongan lelaki yang tampak molek dipadankan bersama kurta mahupun jubah terutamanya pada musim perayaan ini,” ujarnya.

Selain itu, Siti Rahmah merancang untuk membuka butik Sira Anggun di Shah Alam ataupun Bangi.

Setiap rekaan tudung Sira Anggun boleh didapati pada harga mampu milik bermula RM55 dan paling mahal ialah RM65.

Selain menawarkan harga kompetitif, ia juga sesuai untuk golongan remaja berumur dari 20 hingga 60 tahun.

Sementara itu, perunding imej lelaki, Hairyzal Abdul Hamid yang mesra disapa Harry Hamid berkata, penggayaan mafla merupakan pilihan individu yang memiliki gaya personaliti dramatik.

Golongan tersebut mempunyai keberanian untuk menonjolkan kelainan berfesyen dan mahu tampil berbeza daripada orang lain.

Selain itu, ia sangat sesuai digayakan untuk golongan bertubuh besar.

“Mafla yang dililitkan pada leher dan panjang melabuh mampu membahagikan tubuh kepada dua bahagian sekali gus memberikan ilusi tubuh tampak lebih kecil.

“Bahkan, cara lilitan itu juga sebenarnya membantu memberikan ilusi tubuh kecil,” jelasnya.

Gaya lelaki maskulin lebih menyerlah dengan penggayaan mafla yang disimpulkan pada bahagian leher.