Gadis kelahiran Petaling Jaya, Selangor itu memiliki raut wajah yang lembut, berkulit sawa matang dan sentiasa melemparkan senyuman manis.

Bukan hanya kerana wajah, pesona gadis itu sebenarnya turut dipengaruhi oleh pemilihan gaya yang kelihatan sangat sopan meskipun berseluar jean.

Mengenakan jean rona biru laut potongan but longgar disulam dengan motif rekaan kekapis pada bahagian kaki, kontemporari gadis moden dan bercita rasa tinggi itu menyerlah tanpa perlu mengenakan celana ketat dan singkat seperti yang digayakan oleh kebanyakan wanita masa kini.

Kata Noraida, seluar merupakan aksesori utamanya sama ada ke tempat kerja mahupun bersantai dan ia perlulah selesa.

“Bagi saya, seluar yang selesa ialah apabila kita mudah bergerak sama ada untuk berlari, berjalan mahupun bersolat.

“Lebih daripada itu, ia haruslah memainkan fungsinya sebagai lapisan menutup aurat yang sebenar seperti tidak ketat dan seksi,” terangnya.

Cerita Noraida, dahulu dia sering berdepan masalah untuk membeli seluar termasuk jean dan slack yang menepati kehendaknya sendiri.

“Secara umumnya, tidak sukar untuk mencari seluar yang longgar. Saya hanya perlu mencari seluar bersaiz lebih besar daripada biasa.

“Malangnya, apabila mengambil saiz lebih besar untuk mengelak ketat, bahagian pinggang akan menjadi terlebih besar, sekali gus menyebabkan seluar yang dipakai kelihatan tidak kemas dan sangat buruk,” kongsinya yang berjaya menemui penyelesaian kepada masalah tersebut.

Solusi dimaksudkan ialah apabila Noraida bertemu dengan pakar seluar wanita Muslimah, Caca’s kira-kira setahun lalu.

Beroperasi secara online sebelum bertindak membuka butik fizikal di Pusat Konvensyen Petaling Jaya, Selangor, Caca’s merupakan jenama tempatan yang fokus kepada rekaan seluar sopan sederhana atau lebih tepat mesra Muslimah.

Konsep sederhana

Pengasas merangkap Pengarah Urusan Caca’s Sdn. Bhd., Muhd. Afiq Mohd. Dani, 27, berkata, pihaknya menyedari kekurangan dalam industri dan pasaran fesyen yang sedikit sebanyak tidak memihak kepada wanita yang mengimpikan celana bersifat moden, namun masih patuh syariah.

“Seperti yang dikongsi pelanggan setia Caca’s (Noraida) sebentar tadi, antara perkara yang menyebabkan wanita tidak selesa mengenakan seluar terutamanya jean ialah kerana sifatnya yang mencolok mata. Jika longgar ia pula kelihatan tidak kemas.

“Sebagai pengguna, kami sedar mengenai hal tersebut. Jean mahupun seluar kasual untuk wanita masa kini didominasi potongan ketat pada bahagian yang bermula dari lulut atau carrot fit.

“Justeru, timbul idea untuk memberi lebih pilihan kepada Muslimah agar turut sama bergaya dengan selesa,” kongsinya ketika ditemui di Butik Caca’s di Pusat Konvensyen Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Bermatlamat untuk membantu penggayaan sopan, elemen longgar dan selesa Caca’s sudah diterapkan seawal pengeluaran koleksi seluar pertama mereka lagi iaitu palazo Signature.

Buktinya, meskipun palazo sememangnya merupakan seluar yang berasaskan potongan but longgar, Caca’s mengambil masa sehingga dua bulan untuk meneliti graf saiz wanita di Malaysia agar seluar yang dikeluarkan tidak terlihat ‘sesak’ pada bahagian tidak sepatutnya.

Pengasas bersama Caca’s Shazlina Syakila Mohd. Hisham, 26, berkata, hasil penelitian, mereka mendapati lebih 60 peratus wanita di Malaysia akan mengalami kenaikan berat badan terutamanya pada bahagian pinggang dan punggung seiring dengan pertambahan usia.

“Daripada situ, kami tahu adalah penting untuk sesuatu seluar tersebut tidak dikeluarkan secara saiz bebas kerana ia tidak menyeluruh.

“Setelah mengambil kira purata saiz pinggang dan punggung, kami hapuskan saiz S dan terus bermula dengan M sehinggalah 3XL.

“Secara kiraannya, saiz paling kecil (M) adalah longgar satu inci (2.54 sentimeter) daripada saiz S seluar yang dijual di pasaran dan begitulah seterusnya,” terangnya yang juga merupakan isteri kepada Muhd. Afiq.

Getah berkualiti

Konsep saiz tersebut masih dikekalkan apabila Caca’s buat pertama kalinya mengeluarkan koleksi jean serta slack dan yang terbaharu skirt panel.

Menariknya, kekhuatiran pelanggan tentang saiz turut diminimumkan dengan aplikasi getah berkualiti pada pinggang seluar yang memudahkan pelarasan saiz.

Tidak hanya soal saiz, antara sebab celana keluaran Caca’s ini boleh dilabel sebagai mesra Muslimah ialah dari segi pemilihan stail rekaan dan material yang digunakan.

Tertumpu kepada dua jenis potongan iaitu longgar (loose), minimal but longgar (minimal bootcut) dan lurus (straight cut), seluar daripada Caca’s termasuk jean tidak akan mengikut bentuk kaki.

Pemilihan material turut dititikberatkan dengan tiada fabrik bersifat melekap pada tubuh yang digunakan.

Palazo menggunakan fabrik krep como berkualiti tinggi manakala slack daripada fabrik kapas wool untuk efek terletak kemas pada tubuh apabila digayakan.

Fabrik jean jenis memeri pula dipilih daripada jenis material yang paling terbaik dalam kumpulannya agar impaknya dirasai pengguna.

Tidak cukup dengan itu, elemen produk tempatan berkualiti setanding jenama antarabangsa turut dimiliki oleh Caca’s.

“Bagi kami, meskipun memasarkan jean bersama-sama pelbagai jenama besar di seluruh dunia bukanlah perkara yang mudah.

“Kami perlu memberikan yang terbaik kepada kumpulan sasaran. Disebabkan itu, kekemasan jahitan jean amat dititikberatkan.

“Di Caca’s, tukang jahit untuk koleksi jean adalah warga Bangladesh bertaraf pakar jahitan. Tidak cukup dengan itu, suka kami maklumkan bahawa, sehelai jean kami adalah disulam, dijahit dan direalisasikan menggunakan 13 jenis mesin dengan setiap fungsi berlainan,” ucap Shazlina Syakila.

Mesin tersebut antara lain merangkumi fungsi jahitan termasuklah pada bahagian pinggang, poket serta jahitan berganda sekitar kawasan zip jean.

Sehingga kini, terdapat tiga rekaan yang disediakan untuk koleksi jean termasuk Scallop (hiasan kekapis pada bahagian kaki).

Untuk kesempurnaan berganda, Caca’s turut menawarkan perkhidmatan jahitan seluar mengikut tempahan pelanggan atau custom made.

Caca’s Sdn. Bhd. yang beroperasi di Pusat Konvensyen Petaling Jaya, Selangor menyediakan varian seluar termasuk jean, seluar slack dan palazo mesra Muslimah.