Menyedari akan hakikat tersebut, Zarlith Events & Catering Sdn. Bhd. (Zarlith) membangunkan Laman Pengantin Zarlith yang terletak di Jalan Kuching, Kuala Lumpur bagi membolehkan pasangan pengantin mengadakan majlis perkahwinan mereka di sana.

Ketua Pegawai Operasi Zarlith, Zarinah Mohideen berkata, laman pengantin tersebut boleh memuatkan sehingga 2,000 orang tetamu, bergantung kepada jenis acara yang diadakan di sana.

Jelasnya, seramai 1,000 orang tetamu boleh dimuatkan pada satu-satu masa sekiranya majlis perkahwinan diadakan secara lengkap dengan meja makan.

“Jika ia diadakan secara bufet berdiri, seramai 2,000 orang tetamu boleh dimuatkan di dalam dewan berkenaan. Bukan itu sahaja, Laman Pengantin Zarlith turut didatangkan dengan beberapa infrastruktur yang lain.

“Antaranya kemudahan bilik menukar pakaian, tandas dan surau, malah kawasan dewan ini turut mempunyai 250 tempat letak kereta.

“Lokasi Laman Pengantin Zarlith juga begitu strategik kerana ia terletak di laluan utama untuk memasuki pusat bandar iaitu Jalan Kuching,” katanya kepada Aura Juita baru-baru ini.

Terdahulu, beliau menghadiri majlis perasmian Laman Pengantin Zarlith yang mula beroperasi sejak April lalu.

Hadir sama di majlis tersebut ialah Presiden Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Muslim Malaysia (Mimcoin), Datuk Jamarul Khan M.S. Kadir.

Mengulas lanjut, Zarinah memberitahu, selain menyediakan lokasi perkahwinan, Zarlith turut menawarkan beberapa pakej perkahwinan kepada orang ramai dengan harga bermula serendah RM28,500.

Bagaimanapun, katanya, mereka kini menawarkan harga promosi sehingga hujung tahun ini iaitu pada harga RM25,000.

“Yang pertama ditawarkan ialah Pakej Cattleya bagi pelanggan Melayu dan kedua ialah Pakej Bahubali (Cina, India, Sikh). Bagaimanapun, pakej yang kita tawarkan adalah terbuka kepada semua golongan pelanggan.

“Bagi Pakej Cattleya, antara hidangan signatur ditawarkan adalah beriani mongul dan rendang tok, manakala Pakej Bahubali menawarkan nasi ghee mongul dan lauk kambing berempah (mutton paratal),” katanya.

Dalam pada itu, Zarinah berkata, mereka juga menawarkan Pakej Promosi Zarlith kepada orang ramai iaitu pada harga RM11.50 seorang.

Ujarnya, mereka yang ingin mengambil pakej tersebut perlu mempunyai sekurang-kurangnya 1,000 tetamu.

“Ia merupakan pakej lengkap dan orang ramai yang ingin mengambil pakej tersebut atau mendapatkan maklumat lanjut mengenai kami boleh menghubungi talian 03-6270 9644,” katanya.