“Ia mempunyai varian corak, namun mata yang memandang pasti dapat mengenal bahawa ia merupakan batik, sekali gus dipandang tinggi oleh orang Melayu,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Butik Calice, di Bangi Sentral, Selangor baru-baru ini.

Merupakan pelanggan setia Calice, sebuah jenama tempatan yang memfokuskan pakaian wanita berunsurkan batik, Farah Liana mempunyai alasan yang cukup kukuh tentang apa yang digemarinya berkaitan label tersebut.

“Pada awalnya, saya memang tidak pernah tahu mengenai jenama ini, namun apabila melihat promosi salah satu koleksi jenama ini di Instagram, saya cukup tertarik dengan corak dan warnanya yang sangat menarik.

“Ia batik yang dicetak, namun coraknya terlihat sangat moden dan mampu menarik perhatian wanita, lebih-lebih lagi golongan muda.

“Selain itu, paling menarik sudah tentu dari segi potongan bajunya (baju kurung moden) yang sangat selesa dan sedap mata memandang,” ucapnya yang gemar datang ke butik dan memilih sendiri corak yang diingini.

Diangkat sebagai pemenang Anugerah Asia Pacific Top Excellence Brand 2018 sehingga 2020 baru-baru ini, Calice yang ditubuhkan pada tahun 2015 secara online pada awalnya tidaklah begitu dikenali.

Tampil dengan produk seperti tudung, kemeja dan baju kurung cetakan corak moden, kehadiran Calice dipandang sepi oleh pelanggan.

Batik kontemporari

Namun, segala-galanya berubah apabila jenama itu memperkenalkan rekaan baju kurung potongan moden dengan paduan cetakan corak batik kontemporari.

Ketua Pegawai Eksekutif Calice, Mohd. Faiz Fathil, 35, berkata, pihaknya sama sekali tidak menyangka keputusan untuk mempopularkan kembali motif batik yang pada ketika itu agak merudum permintaannya mampu membuahkan hasil sebegini.

“Dua tahun lalu, rekaan baju kurung sememangnya sudah terarah kepada fabrik kapas yang bercetak dengan corak geometri, flora, abstrak serta tropika.

“Mungkin disebabkan itu, apabila kami juga keluarkan produk yang lebih kurang sama, ia kelihatan sangat biasa, sekali gus kurang menyerlah.

“Akhirnya, kami mengambil keputusan untuk bertanyakan kepada orang ramai tentang corak yang mereka inginkan.

“Ternyata ramai yang meminati corak batik dengan sentuhan moden. Dari situ, tercetusnya idea mengeluarkan produk berasaskan cetakan batik kontemporari.

Coraknya tidak klise seperti bermotifkan haiwan, sebaliknya garapannya lebih kepada batik flora serta geometri,” ujarnya.

Secara umumnya, rekaan utama di Calice hanya terdiri daripada dua koleksi iaitu Lily Basic Kurung dan Lily Dolls Kurung.

Lily Basic Kurung menampilkan rekaan kurung pendek ringkas dengan kelebihan zip pada bahagian depan dan belakang, sementelah Lily Dolls Kurung direka mempunyai bahagian depan yang sedikit longgar khusus buat mereka yang gemarkan gaya selesa sepanjang hari.

Meskipun hanya dua rekaan, pelanggan pasti rambang mata memilih lebih 350 warna dan corak yang disediakan untuk kedua koleksi ini.

Istimewa untuk Hari Raya Aidilfitri, Calice akan mengeluarkan rekaan yang lebih unik berbanding koleksi sedia ada.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasinya, Mohd. Fazreen Fathil percaya, antara sebab kurung batik Calice cukup digemari adalah kerana kualiti fabrik dan keselesaan potongan rekaan yang cukup dinamik.

“Kami menggunakan fabrik kapas cetakan batik yang cukup berkualiti tinggi diimport khas dari luar negara termasuk Indonesia. Jaminan kami adalah, warnanya tidak akan pernah luntur. Jika luntur, kami akan pulangkan wang kepada pelanggan.

“Selain itu, kebanyakan pelanggan mengakui bahawa potongan saiz, terutamanya pada bahagian kain sangat selesa dan sesuai dengan kebanyakan wanita di Malaysia yang memiliki bentuk badan buah pir,” akhirinya.