Memandang tinggi sirah tersebut, jenama pakaian fesyen sopan, Hijrah Couture mengangkat kisah nabi Yusuf dengan memperkenalkan koleksi kurta baharunya iaitu kurta Yusoff.

Seindah namanya, sekacak wajahnya, kurta Yusoff itu merupakan garapan Hijrah Couture dalam menghasilkan busana yang memenuhi keinginan kaum Adam moden.

Pengasasnya, Roslina Ismail berkata, koleksi kurta tersebut menampilkan rekaan kurta unik yang berpotensi menambat hati sang jejaka.

“Kurta ini merupakan rekaan asli kami untuk jejaka yang mementingkan gaya dan nampak keunggulan apabila berfesyen.

“Ia menggunakan material fabrik yang berkualiti seperti kain kapas sakura yang sejuk dan selesa serta mudah digosok.

“Dari segi potongan pula, kurta Yusoff menampilkan potongan slim fit yang menyerlahkan rupa yang segak dan nampak terletak bila dipakai,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Selain itu, rekaan calf pada bahagian tangan serta butang tersembunyi pada leher membuatkan kurta Yusoff tampak lebih kemas serta bergaya.

Uniknya, kurta tersebut dihiasi kocek kecil berzip di bahagian lengan sebelah kiri dan kocek tersembunyi pada belah kanan.

Kedua-dua kocek berkenaan boleh digunakan untuk menyimpan item tertentu.

Kongsi Roslina, koleksi kurta tersebut disasarkan untuk individu berumur antara 25 hingga 60 tahun.

Hal ini kerana rekaan kurta tersebut memiliki potongan moden dan ringkas sesuai dengan golongan berkenaan.

Ia didatangkan dalam lima warna menarik iaitu biru gelap, merah hati, ungu, zaitun dan perang gelap.