Selebriti-selebriti ini sering dilihat menggayakan jaket kulit dalam penampilan gaya jalanan dan siri konsert mereka.

Jaket kulit adalah keperluan penting bagi menyuntik gaya urban pada penampilan yang biasa.

Seharusnya peminat fesyen memiliki paling kurang sehelai jaket kulit dalam almari mereka.

Pada musim ini terdapat pelbagai variasi jaket kulit di pasaran termasuk gaya saiz besar, bercetak atau bersulam, atau perincian lain yang lebih unik serta kontemporari.

Jaket kulit cukup hebat kerana ia boleh memberi transformasi mudah pada gaya anda pada pelbagai waktu dan acara.

Ia dapat menyuntik elemen segar, berani dan urban pada gaya sederhana. Penampilan jaket kulit cukup versatil serta hebat digayakan untuk hari bekerja dan hujung minggu.

Jaket kulit juga dapat memberi impak untuk gaya kasual, kemas, profesional dan canggih. Segalanya bergantung pada inspirasi, imaginasi serta eksperimentasi, bagi mendapatkan gaya paling sesuai dengan cita rasa ekspresi individualiti anda.

Untuk minggu ini, saya titipkan panduan menggayakan jaket kulit untuk pelbagai acara.

* Dapatkan jaket kulit yang mempunyai kelainan dari segi rona, reka corak ataupun gayakan jaket kulit klasik dengan cara lebih ceria dan lain daripada kebiasaan.

Ini juga waktu yang paling sesuai untuk memakai padanan jaket kulit dan gaun/ blaus/ top atau skirt dalam reka corak flora rona terang atau fabrik renda.

* Gayakan jaket kulit dengan menggantung ia hanya di bahu serta dipadankan dengan gaun pendek dan kasut tumit tinggi. Jika ada memakai gaun atau skirt yang mengikut bentuk badan, pilihlah jaket kulit yang bersaiz besar untuk elemen kontras yang cukup menarik dan cool.

Gayakan jaket kulit hitam bersaiz besar dan jean anda untuk gaya santai, edgy serta selesa digayakan dari pagi hingga ke malam.

* Jaket kulit boleh memberi mesej bahawa anda adalah seorang yang cukup yakin dengan penampilan sendiri. Dari segi padanan, pilih gaya yang paling anda selesa dan reka bentuk pakaian yang dapat menyerlahkan personaliti selain memberi impak memikat serta positif.

* Gabungan pakaian formal dan jaket kulit sememangnya bawa kelainan yang tidak dijangkakan. Dapatkan jaket kulit potongan cropped yang dipadankan dengan gaun. Lebih hebat jika anda gayakan jaket kulit dan gaun dalam rona senada. Kontras dalam bentuk dan tekstur pada penampilan pakaian pasti menjadikan anda tumpuan di majlis/ acara tersebut.

* Bergantung kepada tempat anda bekerja, mungkin ada yang beranggapan jaket kulit agak sedikit kasual dan tidak sesuai untuk pejabat. Tetapi bagi anda yang masih mahu mencuba, dicadangkan untuk memilih jaket kulit yang sedikit mengikut bentuk badan (slim cut), dan fabrik kulit yang ringan. Padanan jaket kulit dengan kemeja putih dan seluar atau skirt potongan pensil pasti memberi penampilan keseluruhan yang cukup bergaya. Apa yang pasti, jaket kulit adalah alternatif menarik bagi blazer yang selalu anda gayakan.

* Kunci utama dalam gaya ini adalah elemen kontra dalam pemilihan pakaian (Contoh: Jaket kulit saiz besar yang digabungkan dengan siluet feminin/ kewanitaan atau padanan jaket kulit potongan minimal dan mengikut bentuk badan yang hebat digayakan dengan pakaian inspirasi maskulin seperti seluar potongan aliran terkini).

* Selain daripada padanan jaket kulit dan gaun, gayakan ia dengan seluar kulit untuk gaya edgy. Untuk kelihatan stailo aliran gaya terkini, padankan jaket kulit saiz besar dengan seluar potongan besar dan anting-anting gelung (hoop).