Pendek kata, athleisure menyaksikan pakaian yang direka untuk aktiviti sukan atau olahraga dipakai untuk tujuan lain seperti bekerja atau menghadiri acara sosial.

Merancakkan aliran fesyen tersebut, Caroline Wass bersama suaminya, Mark Westwood memperkenalkan jenama Carro yang mendukung konsep segar dalam identitinya sekali gus merai dan menggalakkan gaya hidup aktif dalam kalangan pengguna.

Gemar bereksprimentasi dengan garisan dan corak geometri, kesemua rekaan dihasilkan Caroline yang cenderung bermain dengan pelbagai warna daripada rona cerah hinggalah gelap.

“Proses kreatif dan inspirasi datang hasil daripada pemerhatian suasana sekeliling dalam mood yang berbeza dan saya menyukai kepelbagaian kombinasi warna dalam setiap helaian rekaan tersebut.

“Saya berharap kehadiran Carro dapat mendorong pemakai lebih teruja melakukan aktiviti kegemaran masing-masing seperti berbasikal, golf, larian atau sekadar bersantai bersama rakan-rakan,” ujarnya kepada Stailo di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Wass, 38, yang berasal dari Sweden tetapi telah menetap di negara ini selama 19 tahun menyifatkan Carro ialah jenama Malaysia.

Dia berhasrat membawa produk itu setaraf dengan jenama antarabangsa seperti Lacoste, Ralph Lauren dan jenama yang lebih sinonim dengan segmen pakaian sukan seperti Nike, Adidas serta Under Armour.

Sejak diperkenalkan pada tahun 2017, beliau telah menghasilkan lebih 30 rekaan meliputi baju-T, kemeja polo dan singlet.

“Ia diperbuat daripada 100 peratus poliester dengan ciri-ciri seperti mudah kering dan tidak perlu diseterika.

“Ia juga amat ringan ibarat kulit kedua buat mereka yang memakainya,” tutur bekas penuntut sebuah akademi fesyen di ibu negara itu.

Berbeza

Bercerita lanjut, Westwood, 41, menjelaskan, beliau dan isteri bergiat dalam bidang fesyen lebih 16 tahun dan bekerja di sebuah syarikat yang sama sejak tahun 2003 sebelum mendirikan rumah tangga.

Pada tahun 2005, pasangan tersebut tekad memulakan perniagaan sendiri dengan menawarkan rekaan baju korporat setelah syarikat tempat mereka bekerja berhenti beroperasi.

“Carro merupakan sesuatu yang baharu dan berbeza dengan apa yang kami lakukan sebelum ini. Disebabkan rekaannya yang unik dan menonjol, ia mungkin membuatkan pengguna berasa ragu-ragu untuk memakainya.

“Tetapi percayalah, sekali mengenakannya pengguna akan terus tertarik untuk menyarungkannya berkali-kali. Itu antara respons yang banyak kami terima,” kongsi anak kelahiran Kuala Lumpur itu.

Beliau berkata, Carro yang boleh didapati secara online menerima sokongan baik daripada pelanggan di luar negara seperti Amerika Syarikat, Singapura, Sweden selain tempatan serta bakal dijual di Zalora tidak lama lagi.

Tambahnya, secara peribadi, menjadi rutin pasangan itu mengunjungi gimnasium secara konsisten beberapa kali seminggu di samping kedua-duanya mengutamakan berjalan kaki berbanding menggunakan kenderaan. Justeru, spesifikasi rekaan Carro begitu bertepatan dengan gaya hidup mereka.

“Saya berharap kehadiran jenama ini dapat memberi inspirasi kepada orang ramai untuk lebih aktif sekali gus memudahkan pergerakan mereka,” katanya.