Menurut anak kelahiran Taiping, Perak itu, pada masa tersebut tidak banyak butik atau pusat beli-belah berhampiran menawarkan produk fesyen ternama dan setanding seperti yang dijual di kedua-dua tempat tersebut.

Justeru, enggan berdepan dilema pilihan pakaian terhad termasuk corak dan motif rekaan yang kurang memuaskan hati, mereka sekeluarga rela menempuh perjalanan jauh demi memenuhi cita rasa gaya masing-masing.

Mengenang momen itu membuatkan Mohd. Nor Nizam dan rakan kongsinya, Norazura Posdzi, 35, yang juga anak jati Ipoh, Perak gigih membangunkan butik vendor dikenali sebagai Gondola31 pada tahun 2015.

“Gondola merupakan kenderaan air berbentuk seperti perahu. Ia merupakan simbolik hasrat kami yang ingin mengemudi butik ini perlahan-lahan tetapi bertahan dalam industri ini untuk jangka masa panjang.

“Ia dinamakan sebegitu kerana sewaktu mula-mula berkecimpung dalam perniagaan ini, saya dan rakan kongsi berusia 31 tahun,” ujarnya ketika ditemui Stailo di butik tersebut baru-baru ini.

Jenama tempatan

Gondola31 menawarkan sebanyak 70 jenama fesyen popular tempatan antaranya Jannahnoe, Bainy, Cotton Metaphore, NaelofarHijab, Bokitta, Batik Dia dan pengeluar kasut wanita yang dikenali sebagai Madre di bawah satu bumbung.

Istimewanya, apa sahaja perkembangan berkaitan kempen promosi atau rekaan terkini yang diperkenalkan oleh jenama klien turut akan dilancarkan serentak di Gondola31.

Inisiatif itu bertujuan memastikan pencinta jenama tersebut tidak berasa ketinggalan atau bersusah payah mendapatkan produk serupa di butik utama yang berpangkalan di Kuala Lumpur, Selangor atau Johor.

Bapa kepada tiga cahaya mata itu turut melihat faktor kedudukan butik yang terletak bersebelahan Lebuh Raya Utara-Selatan adalah strategik kerana merupakan laluan utama ke negeri lain sebelah utara seperti Kedah, Pulau Pinang dan Perlis.

“Kami mempunyai puluhan ribu stok pelbagai jenis pakaian yang sesuai untuk majlis keramaian, formal, santai, pejabat atau ke kuliah bagi golongan pelajar.

“Dalam hal ini, kami sentiasa berhubung dengan vendor mengikut keperluan termasuk memberi cadangan produk fesyen yang menepati keinginan pelanggan di sini,” jelasnya menambah butik itu turut mendapat permintaan pembelian secara online dari Sabah dan Sarawak.

Sementara itu, pemilik jenama AinaHariz dari Kuala Lumpur yang sering menduduki carta jualan tertinggi Gondola31, Muhammad Hariz Zakwan berkata, setiap bulan pihaknya akan memberikan variasi produk berbeza meliputi persalinan kasual, blaus, baju kurung, seluar dan skirt.

“Setiap dua minggu kami akan datang ke Ipoh untuk menguruskan stok bersesuaian dengan cita rasa pelanggan di sana.

“Kami lihat warga Utara turut bijak bergaya dengan penggayaan suai padan kerana ia lebih mudah digayakan pada majlis rasmi atau santai,” tuturnya.

Dalam pada itu, bagi label Sashwear yang baru diperkenalkan November tahun lalu, rekaan segar dan berani seperti jaket dan blaus yang diketengahkan membantu si pemakai menjadi versi terbaik diri mereka.

“Elemen ringkas namun tampak feminin dengan warna-warna pastel dilihat menjadi kegemaran pelanggan di Gondola31,” kongsi pengasasnya, Suhana Abu Bakar.