Kebiasaannya, ungkapan itu dizahirkan dengan perasaan penuh kesyahduan.

Pereka fesyen terkemuka tanah air, Ridzuan Ismail mengolah ekspresi dan emosi itu menerusi koleksi busana pengantin baharunya, Koleksi Pengantin Wanpa 2017.

Koleksi itu menampilkan sebanyak 11 persalinan busana pengantin wanita yang mempertaruhkan rekaan moden dan kontemporari.

Rekaan itu mampu menyampaikan bisikan romantis lamaran dengan keyakinan yang tinggi dan sotisfikated, berbeza daripada senario lamaran zaman dahulu.

Ridzuan berkata, koleksi itu bertemakan Amour Blanc, White Love yang mengangkat elemen kesucian dan kemurnian cinta.

Dominasi



Koleksi Pengantin Wanpa 2017 menampilkan 11 busana untuk pengantin wanita.

"Dengan menggunakan warna putih sebagai warna dominasi koleksi ini, ia dilihat mampu menguatkan lagi idea kesucian cinta.

"Dari segi rekaan pula, koleksi kali ini menampilkan gabungan rekaan ala duyung dan lipatan (draping) yang romantis.

"Rekaan itu membezakan ia dengan busana perkahwinan boxy cuts yang lain," jelasnya ketika ditemui Kosmo! pada pertunjukan fesyen The Wedding KL 2017 di Hotel Mandarin Oriental, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Fabrik yang diketengahkan pada setiap busana itu bersesuaian untuk setiap wanita iaitu dengan menampilkan fabrik les, tulle dan satin.

Malah, koleksi itu juga sesuai untuk digayakan pada majlis-majlis istimewa seperti keraian, perkahwinan serta parti resepsi gilang-gemilang.

Ridzuan yakin, pengantin moden masa kini ialah individu yang berani mengemudi bahtera cinta mereka dengan cara yang elegan.

Justeru, menyarungkan busana persandingan daripada Koleksi Pengantin Wanpa 2017 semestinya suatu pengalaman yang berbaloi bagi kebanyakan pasangan bakal pengantin.