Sekitar hampir empat tahun lalu, Suriani hilang dalam radar fesyen tempatan, jenamanya sebelum ini sering menjadi penaja kepada selebriti tempatan juga semakin kelam. Tiada siapa yang tahu akan keberadaannya.

Menyingkap latar belakang Suriani, anak kelahiran Kamunting, Ipoh, Perak itu merupakan graduan Diploma Rekaan Fesyen, Politeknik Johor Bahru (kini dikenali sebagai Politeknik Ibrahim Sultan) pada tahun 2008.

Dibesarkan di Senawang, Negeri Sembilan, gadis ini mula mengorak langkah dalam industri fesyen tempatan dengan perkenalan jenamanya Suriani Hassan Kuala Lumpur empat tahun kemudian.

Diiktiraf sebagai Pereka Harapan pada tahun 2012 oleh Persatuan Pereka Bumiputera semasa debut pertunjukkan fesyennya di Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia, Kuala Lumpur, Suraini menjadi antara pereka yang kerap muncul dalam pelbagai acara fesyen termasuk Pertunjukkan Fesyen Islamik (2013) dan Minggu Fesyen Kuala Lumpur (2015).

Selain muncul di pertunjukan fesyen, Suriani merupakan antara pereka yang tidak asing dalam kalangan selebriti pada waktu awal kemunculannya.

Antara selebriti yang pernah menyarung rekaan Suriani ialah Shahrul Ridzwan, Shah Iskandar, Diana Amir, Rozita Che Wan, Misha Omar, Ramlah Ram, Adira dan Idayu.

Membawa identiti pereka busana, Suriani seorang pereka serba boleh dengan menghasilkan pelbagai jenis koleksi seperti kasual, pakaian lelaki dan wanita, adibusana dan perkahwinan.

Pada tahun ini, Suriani kembali di persada fesyen dengan penjenamaan baharu buat jenamanya dan pada masa sama membuat pelbagai kolaborasi untuk koleksi pakaian.

Koleksi raya

Introduksi kemunculan semula pertamanya adalah bekerjasama bersama pereka Liyana Jafry iaitu bagi koleksi raya Yani Yana 2019.

Menurut Suriani, kolaborasi itu merupakan platform buatnya untuk kembali menyambung impian menempa nama dalam industri fesyen.

“Saya masih sayangkan industri ini dan ia telah menjadi sebahagian daripada diri saya sejak memulakan karier sebagai pereka fesyen.

“Hampir empat tahun saya mendiamkan diri atas sebab peribadi, 2019 adalah permulaan yang baharu untuk karier saya,” katanya ketika ditemu bual Stailo di Pejabat Kosmo! Kuala Lumpur baru-baru ini.

Tambahnya, selain kembali dengan koleksi kolaborasi, Suriani juga kembali aktif mengambil tempahan untuk rekaan dan menjahit pakaian secara eksklusif dan korporat menerusi laman sosial Instagram, suriani.hj.hassan_.

Berkisar tentang kolaborasi koleksi raya Yani Yana 2019, Suriani memberitahu, ia merupakan rangkaian pakaian sedondon sesisi keluarga yang dipasarkan secara sedia tempah.

Menampilkan enam rekaan, kesemua koleksi pakaian membawa estetik gabungan pakaian tradisional seperti kurung pahang, kebaya dan busana moden.

Koleksi ini juga direka dengan siluet dan penggunaan fabrik yang mesra tubuh badan selain praktikal serta ringkas untuk dipakai seharian pada harga berpatutan.

Antara rangkaian pakaian koleksi ini ialah vintaj, tiara, palyssa, tiffani, thalia dan tijani.

Setiap rangkaian juga direka menggunakan fabrik yang berbeza antaranya songket kapas cetak, sutera kapas egyptian, satin krep dolce cetak, Roberto Cavalli kosong, kapas baby dot, valentro Italian tiga dimensi.

Ia juga ditawarkan dalam bentuk kombo buat ibu atau bapa dan anak pada harga bermula RM280 hingga RM390 atau secara berasingan pada harga RM150 hingga RM200.