Sejak sekian lama, masyarakat mengambil pedoman daripada pepatah tersebut. Secara tidak langsung kita dididik supaya tidak melakukan perkara yang mengaibkan diri atau pun keluarga, mengelakkan wajah daripada dicalit.

Secara fizikal perumpamaan ini bermaksud contengan arang pada wajah itu membuatkan individu tampak hodoh dan memberi gambaran tidak senonoh dengan kotoran berwarna hitam.

Meskipun begitu, perkembangan teknologi kini menunjukkan sumber alam semula jadi yang lazimnya digunakan sebagai bahan bakar itu memiliki manfaat tersendiri khusus untuk rawatan kecantikan.

Setelah meneliti manfaat arang sebagai rejim kecantikan, jenama produk penjagaan kulit tempatan, Lovera, merebut peluang tersebut.

Setelah berkecimpung hampir empat tahun dalam industri kecantikan berasaskan alam semula jadi, Lovera memperkenalkan produk terbaharu iaitu penyental kulit dua dalam satu berasaskan arang aktif, Akar.Co.

Pengasas Lovera, Nor Dayana Mohd. Zaini Wong atau mesra disapa Diena berkata, Akar.Co merupakan campuran arang aktif, minyak jojoba, argan, pudina dan aloe vera.

“Arang aktif bertindak membersihkan kotoran, melembut, mencerah dan menyuburkan kulit secara semula jadi,” ujarnya.

Arang aktif merupakan karbon yang diproses sehingga halus bagi meningkatkan serapan dan tindak balas kimia. Kebiasaannya, arang aktif diperoleh daripada buluh, sabut kelapa, sekam kelapa, gambut dan arang batu yang diproses.

Bahkan, penyelidik pengarah pembangunan produk kecantikan global, Origins, Wendy Brooks menemui arang aktif mampu menyerap antara 100 hingga 200 kali ganda berat bendasing.

Karbon yang memiliki oksigen tinggi itu berkesan membantu membersih dan menyucikan kulit secara mendalam secara semula jadi.

Malah, rejim kecantikan tersebut disahkan selamat untuk digunakan pada seluruh wajah termasuk pada rambut.

Setelah hampir setahun menjalankan kajian terperinci berkenaan arang aktif tersebut, Diena yakin bahawa komponen itu selamat digunakan untuk jangka masa panjang.

Selain menggunakan arang aktif sebagai komponen utama, Akar.Co juga menggunakan pelbagai bahan semula jadi yang lain seperti minyak argan.

Menenangkan

Minyak argan terkenal dengan kesan luar biasa terhadap kulit kering, rosak dan berupaya melindungi serta mengekalkan keremajaan kulit.

Sementara itu, minyak pudina pula memberikan sensasi penyejukan dan kesan menenangkan pada wajah.

Menurut Diena, hasil penggunaan berterusan Akar.Co dapat menjadikan kulit lebih sihat, cerah berseri dan bebas daripada cela.

Menariknya, tekstur penyental kulit Akar.Co mudah dibentuk mengikut keutamaan pemakai.

“Hanya tambah lebih banyak air untuk tujuan pembersihan dan pengelupasan secara lembut.

“Bagi mendapatkan kesan skrub yang lebih berkesan, pengguna hanya perlu kurangkan air mengikut keselesaan.

“Pengguna tidak perlu takut untuk menconteng arang ke muka kerana ia mempunyai pelbagai manfaat khususnya terhadap kecantikan kulit,” jelasnya ketika ditemui Kosmo! di Sentul, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Penyental kulit arang dua dalam satu Akar.Co sangat sesuai digunakan oleh wanita dan lelaki.

Kongsi seorang pengguna, Izzyan Izzaty Isa, 30, menggunakan Akar.Co buat kali pertama memberikannya pengalaman yang sangat berharga.

Wanita kelahiran Batu Pahat, Johor itu mengakui, selepas menggunakannya sebagai topeng dan skrub muka, kulit wajahnya terasa begitu segar.

“Sejak memakai produk Akar.Co ini, kulit muka saya terasa lembut dan licin.

“Malah, ia juga mengeluarkan aroma yang menenangkan.

“Selain itu, sapukan pada badan sebagai skrub badan juga memberikan sensasi yang mendamaikan,” ujarnya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Tambah Izzyan Izzaty, menggunakan Akar.Co sedikit sebanyak membantu golongan suri rumah sepertinya untuk tampil cantik dengan rejim kecantikan yang lebih mudah.

Hal ini kerana sebagai seorang suri rumah, dia tidak mempunyai masa yang banyak untuk memanjakan diri.

Justeru, dia menyifatkan Akar.Co merupakan produk yang mesti dicuba untuk setiap golongan wanita.

Akar.Co boleh diperoleh pada harga hanya RM85 untuk kandungan seberat 100 gram.

Menariknya, Akar.Co akan dipasarkan menggunakan pelan pemasaran yang berbeza daripada produk Lovera sebelum ini iaitu menerusi e-Dagang.

Lovera merupakan jenama produk penjagaan kulit berasaskan tumbuhan semula jadi yang mula berada di pasaran sejak tahun 2014.

Ia diasaskan oleh Diena sendiri menerusi empayar syarikat niaga, DW Global PLT.

Sejak diperkenalkan kira-kira empat tahun lalu, Diena telah menghasilkan lima produk berasaskan aloe vera iaitu Lovera Magic Jelly, Lovera BB Cream, Lovera Day Cream, Lovera Complete Cleanser dan Lovera Glow Mist.

Ke luar negara

Sehingga kini, Lovera telah berjaya mengaut jualan tahunan sebanyak RM1.5 juta dengan jualan lebih 50,000 botol produk di pasaran.

Bahkan, jenama Lovera mendapat perhatian warganegara luar seperti Singapura, Brunei, Australia dan Arab Saudi. Bagi jurulatih pemasaran dan penjenamaan Geng Ultra, Ku Addy Fazly Ku Radin atau mesra disapa Broku berkata, idea menghasilkan produk berasaskan bahan semula jadi khususnya arang aktif seperti yang diperkenalkan Diena wajar dipuji.

Malah, Broku turut teruja apabila diperkenalkan dengan rejim kecantikan tersebut.

Katanya, kekuatan produk tersebut terletak pada fungsinya yang versatil dan yang pertama di Malaysia.

Lovera perkenalkan produk kecantikan berasaskan arang aktif, Akar.Co dengan pelan pemasaran menggunakan e-Dagang sehingga ke pasaran Eropah.