Keempat-empat musim tersebut memainkan peranan tersendiri dan pada masa sama memberi kesan kepada gaya hidup masyarakat setempat.

Dalam keempat-empat musim tersebut, musim luruh yang merupakan transisi peralihan daripada musim panas ke sejuk adalah antara yang sering dinanti-nanti oleh peminat fesyen global.

Disebabkan itu, setiap kali tibanya musim luruh, mereka akan mula mendapatkan koleksi pakaian baharu daripada material yang lebih tebal.

Antara trend pemakaian musim luruh yang popular ialah busana diperbuat daripada bebulu haiwan asli.

Bagaimanapun, trend busana fesyen yang diperbuat daripada bebulu haiwan asli itu kini dilihat semakin merudum.

Tahun lalu, Gucci mengejutkan fesyen dunia apabila Ketua Pegawai Eksekutif dan presidennya, Marco Bizzarri, mengumumkan jenama itu mahu menghentikan penghasilan produk berasaskan bebulu haiwan asli.

“Adakah anda rasa penggunaan bebulu pada zaman ini disifatkan sebagai moden?

“Saya rasa penggunaan bebulu pada zaman sekarang sudah ketinggalan zaman dan disebabkan itulah kami tidak menggunakan elemen tersebut dalam produk akan datang.

“Kreativiti boleh terhasil daripada pelbagai arah dan bukannya terhad pada bebulu semata-mata,” katanya yang turut mengikuti jejak langkah gergasi feysen dunia Kumpulan YOOX Net-a-Porter dan VF Corporation.

Sejak itu, jenama terkemuka seperti Versace, Furla, Michael Kors, Jimmy Choo, InStyle, Rent the Runway, Columbia Sportswear dan Donna Karan juga menghentikan penghasilan produk berasaskan bebulu asli.

Selain itu, Pengarah Kreatif Givenchy, Clare Waight Keller turut menyokong usaha untuk memboikot penggunaan bebulu asli.

Bahkan, negara pengeluar bebulu terbesar dunia seperti Norway dan Belgium sedang giat mengekang amalan tersebut kerana industri bulu asli disifatkan sebagai penindasan terhadap haiwan.

Kebiasaannya, bulu haiwan yang popular digunakan ialah mink, rubah, serigala, roden, cincila, arnab, kucing dan anjing.

Fesyen moden

Ia menjadi pilihan bagi kebanyakan pereka antarabangsa kerana bukan sahaja mampu menghangatkan pemakai malah tampak mewah serta eksklusif.

Antara produk yang dihasilkan daripada bebulu asli ialah kot, jubah, selendang dan topi.

Difahamkan, trend pemakaian bebulu asli haiwan itu dipopularkan sekitar tahun 1960-an sejak trend fesyen moden sedang giat berkembang.

Ketika itu, bebulu mewah yang sering mendapat perhatian ialah mink perang, rubah berjalur perak dan rubah merah.

Trend tersebut semakin berkembang sehingga akhirnya pada awal tahun 1990-an, gerakan menentang amalan penggunaan bulu haiwan asli dalam pakaian semakin tersebar.

Pakaian berasaskan bulu asli menjadi fokus boikot bagi sebahagian aktivis alam sekitar dan pencinta haiwan.

Hal ini kerana ia disifatkan sebagai kejam, tidak berperikemanusiaan dan tidak relevan.

Pengurus kanan polisi fesyen Pertubuhan Kemanusiaan Amerika Syarikat, P. J. Smith berkata, pemerdagangan bulu haiwan asli terjejas teruk apabila San Francisco, Berkeley, Hollywood Barat dan Sao Paulo mengharamkan penjualan bulu di dalam bandar tersebut berkuat kuasa Mac lalu.

Malah, Britain yang mengharamkan penternakan bulu haiwan pada tahun 2000 juga sedang merancang untuk mengharamkan penjualan produk berasaskan bulu dalam masa terdekat.

Justeru itu, Smith mencadangkan alternatif lain iaitu menggunakan bulu tiruan bagi menggantikan bulu haiwan asli dalam produk berasaskan fesyen.

Katanya, ia merupakan alternatif terbaik bagi menghalang siri kekejaman terhadap haiwan khususnya dalam industri fesyen.

Alternatif

“Kemajuan teknologi kini menyaksikan penambahbaikan kepada industri tanpa memberi impak negatif terhadap haiwan mahupun alam sekitar.

“Pengharaman amalan perdagangan bebulu haiwan asli akan menggalakkan lagi inovasi ke arah pembangunan mampan yang bebas material berasaskan haiwan.

“Dengan kesedaran yang semakin meningkat berkaitan penindasan terhadap haiwan, industri fesyen global akan menyesuaikan serta berkembang sehingga menjamin masa depan bebas bulu haiwan asli,” katanya.

Bagaimanapun, Ketua Eksekutif Persekutuan Bulu Kebangsaan, Mark Oaten menyelar penggunaan bulu tiruan berbanding bulu haiwan asli.

Hal ini kerana bulu tiruan itu akhirnya akan turut memberi kesan negatif terhadap kelestarian alam sekitar.

Ia disifatkan sebagai gunting dalam selimut bagi aktivis antibulu yang memperjuangkan hak berkaitan kelestarian alam selama ini.

“Kebiasaannya, bulu tiruan itu diperbuat daripada petroleum dan plastik yang tidak sedikit pun memberi manfaat terhadap alam sekitar.

“Serat mikro bulu tiruan itu akhirnya akan mengalir ke dalam sumber air seperti sungai sehingga menjejaskan hidupan laut.

“Malah, bulu tiruan itu tidak boleh terurai secara semula jadi sebaliknya bulu haiwan yang asli itu mudah untuk terurai,” ujarnya.