Bukan sahaja terkenal dengan signatur berkaca mata, penyanyi yang mula dikenali menerusi lagu Terakhir ini juga mempunyai beberapa sentimen penataan yang sering dipamerkan dalam gayanya.

Menurut Sufian item fesyen pilihan utamanya adalah pakaian luar. Sama ada blazer atau jaket ia memberikan sentuhan lebih bergaya khususnya buat sosok tubuh yang kecil sepertinya.

“Berbanding kasut atau kemeja, saya gemarkan pakaian luar. Kadangkala saya akan mengenakan jaket jenis bomber, denim atau kulit untuk melengkapkan gaya keseluruhan tidak kira pada hari biasa atau bekerja.

“Selain mengenakan jaket, saya juga kerap mengenakan sut penuh lebih-lebih lagi ketika melakukan persembahan pentas atau ke majlis formal kerana ia memberi visual positif dan kemas,” katanya kepada Stailo pada sesi fotografi di Studio Utusan, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Tambahnya, dia menggemari fesyen yang ringkas dan seimbang antara santai dan kasual kerana itu lebih ideal buatnya sebagai seorang selebriti.

Antara label yang menjadi pilihannya adalah Topman, Zara dan Ralph Lauren.

Selain gemarkan jaket, Sufian seorang peminat kasut Nike jenis Air Max dan jelasnya dia mempunyai beberapa koleksi kasut berkenaan yang menjadi pilihan untuk dipadankan bersama gayanya.

Bagi pilihan aksesori, Sufian memberitahu, dia gemarkan jam tangan dan gelang. Menurutnya, itu merupakan aksesori wajib yang akan dipakai ke mana sahaja.

“Dalam mengenakan aksesori saya tidak memilih untuk tampil begitu sarat, namun gelang dan jam tangan dan gelang adalah sesuatu yang wajib digayakan terutama bagi lelaki,” ujarnya.

Sebagai selebriti, penjagaan diri juga menjadi salah satu perkara utama kerana ia juga menjadi visual yang ditatap umum.

Jelas Sufian, selain melakukan rutin penjagaan wajah, dia turut menjaga kesihatan rambut dengan melakukan rawatan sekurang-kurangnya sebulan sekali.

Bagi minyak wangi, Sufian mempunyai pilihan yang berbeza untuk wangian siang dan malam.

Dia memilih wangian yang lembut untuk aktiviti pada siang hari dan pada sebelah malam pula Sufian akan mengenakan minyak wangi dengan bauan lebih maskulin.

Pilihan minyak wangi yang digemarinya adalah Dior Sauvage, 212Men, Dunhill dan One Million Paco Rabanne.