Kerjasama kedua Sophia Webster bersama PUMA merupakan ilham tarian daripada koleksi musim luruh/sejuk.

Koleksi kasut itu didatangkan dengan sentuhan inspirasi warna-warna pelangi yang ceria dan ranggi.

Anak kelahiran Afrika Selatan yang berusia 32 tahun itu terkenal dengan rekaan feminin dan sofistikated. Pereka tersebut mengasaskan jenamanya pada tahun 2012.

Kasut, tas tangan dan koleksi mini rekaannya terkenal di seluruh dunia malah banyak mewakili gedung beli-belah terkemuka.

Pun begitu, ia masih mengekalkan ciri wanita yang aktif tetapi dengan sentuhan warna-warna lembut seperti pastel dan rekaan lebih berani.

Kolaborasi ini merupakan satu tradisi dalam meletakkan PUMA di hati semua orang termasuk wanita.

Sophia Webster menghasilkan rekaan khas untuk koleksi inspirasi kasut tarian, pakaian dan aksesori bersama PUMA.

Santai

Di samping kasut yang menawan terdapat beberapa koleksi lain seperti jaket kulit metalik dengan grafik bersulam logam.

Kasut-kasut tersebut direka dengan gaya milenium dan menggunakan fabrik khas untuk tahan lasak ketika persembahan.

Bukan hanya digunakan untuk tujuan pergerakan lasak, kasut itu juga boleh dipakai secara santai.

Terkenal dengan sentuhan femininnya, Sophia Webster meletakkan perincian dengan corak kasut berbentuk sayap rama-rama bagi menggambarkan kebebasan dan kecantikan wanita.

Kasut yang bercorak rama-rama itu didatangkan dengan rona lembut dan garang seperti gabungan oren serta hitam.

Selain kasut bertutup, koleksi ini juga menampilkan sandal tapak tebal yang stabil dan selesa serta selipar ringkas dengan rekaan menawan.

Menariknya, sandal tersebut ditambah dengan perincian bintang yang menggambarkan potensi seorang wanita.

Sandal itu sangat selesa, ringkas, elegan dan tidak terlalu berat agar mereka boleh melangkah dengan penuh yakin. Semua koleksi ini boleh didapati semua cawangan PUMA di seluruh Malaysia.