Penampilan wanita kelahiran Kota Bharu, Kelantan bersama dres labuh dengan material renda berwarna hitam itu cukup mempesonakan.

Ditambah pula dengan lilitan turban kemas sebagai pelengkap gaya majlis makan malam mewah yang dihadirinya pada hari tersebut.

Sekali pandang, pasti ramai menyangka fesyen hijab yang digayakannya adalah hasil daripada lilitan selendang.

Tidak kurang juga yang berpendapat, ia merupakan turban sedia dipakai yang banyak terdapat di pasaran sekarang.

Namun, telahan tersebut salah kerana turban hitam yang meliputi bahagian rambut Bada sebenarnya adalah daripada tudung bawal.

Kata Bada yang gemar berekperimentasi dalam penggayaan hijab, berturban adalah salah gaya yang kini menjadi pilihan utamanya untuk menghadiri majlis.

Untuk merealisasikan gaya Muslimah urban itu, Bada selesa memilih tudung bawal kerana baginya hijab tersebut cukup praktikal bukan sahaja sebagai turban malah pelbagai lagi gaya.

“Tudung bawal adalah salah satu reka cipta yang sangat unggul dan hebat. Bentuk empat seginya mungkin dilihat ringkas, namun ia boleh dipendekkan, dilabuhkan, dipusing, dililit kemas sekali gus mencipta varian gaya termasuk turban.

“Paling penting, fabrik tudung bawal sangat sesuai digayakan wanita lebih-lebih lagi di negara bercuaca panas seperti Malaysia,” kongsinya ketika ditemui pada Majlis Ulang Tahun ke-20 Bawal Exclusive di Hotel St. Regis baru-baru ini.

Sebagai sebuah negara yang majoriti penduduknya adalah Muslim, sudah pasti fesyen berhijab antara yang sentiasa berevolusi.

Singgahlah di mana sahaja baik di gerai kecil, pasar malam, butik, sehinggalah pasar raya besar, pasti terdapat tudung dengan pelbagai corak dan bentuk dijual.

Selain itu, wujud kerudung bersifat segera yang boleh disarung sepantas seminit dan juga tudung tanpa pin yang sangat praktikal.

Menariknya, dalam kemeriahan industri hijab di Malaysia, setiap seorang daripada wanita di negara ini pasti memiliki sekurang-kurangnya sehelai tudung bawal.

Malah ada wanita termasuk Bada yang setia menjadikan tudung bawal sebagai pilihan utama bagi melengkapkan gaya moden mereka.

Menurut sejarah, tudung bawal dipercayai mula memasuki pasaran Malaysia dari negara Perancis pada tahun 1980 melalui negeri Kelantan.

Ia kerana, wanita Kelantan merupakan antara yang paling ramai bertudung pada waktu itu.

Salah faham

Pengasas Bawal Exclusive, Haliza Maysuri berkata, ramai orang tersalah faham mengatakan bahawa kesemua tudung berbentuk segi empat ialah tudung bawal.

Sebaliknya, nama tudung bawal adalah merujuk kepada fabrik yang digunakan iaitu voile, sejenis kain kapas yang nipis dan lembut dan popular disebut orang tempatan sebagai kain kasa rubia.

“Perkataan ini kemudian dipercayai dimelayukan sebagai bawal kerana sebutannya yang hampir sama dengan voile.

“Bawal pula terdiri dalam beberapa kategori seperti Japanese Voile atau Bawal Jepun, Korean Voile (Bawal Korea) dan juga Siam Voile (Bawal Siam).

“Di antara semua, Bawal Jepun lebih popular dan dianggap premium kerana kainnya yang tidak berbulu walaupun kerap dipakai dan dicuci,” katanya yang anggun bergaya bersama tudung dan busana berwarna nude pada majlis ulang tahun tersebut.

Tambah Haliza, lantaran sifatnya yang ringan dan selesa, tudung bawal pernah menjadi kerudung utama di negara ini pada sekitar tahun 1980 hingga lewat tahun 1990.

Menjelang tahun 2000, fesyen wanita terutamanya Muslimah mula terarah mengikut gaya dari negara Arab. Dari situlah hijab seperti selendang, pashmina, tudung crepe, tudung satin dan sebagainya hadir sekali gus membuatkan tudung bawal hampir dilupakan oleh masyarakat kita.

Kristal asli

Pernah suatu ketika, tudung bawal dilabel sebagai kekampungan dan tidak sesuai digayakan mengikut perkembangan semasa.

Mujurlah, wujud pengusaha seperti Bawal Exclusive. Segah namanya, produk tudung bawal jenama ini tidak mungkin diragui lagi.

Menggunakan perincian kristal berkualiti tinggi dari Swarovski, Bawal Exclusive adalah antara pelopor utama kemunculan inovasi tudung bawal yang lebih mewah dan moden sekali gus menarik kembali minat Muslimah di negara ini untuk menggayakannya.

“Saya tahu akan kekuatan tudung bawal kerana pernah berniaga di Jalan Tuanku Abdul Rahman sebelum terciptanya Bawal Exclusive. Ia digemari kerana fabriknya yang ringan dan selesa.

“Justeru, sewaktu tudung bawal mula mengalami kejatuhan, saya dan suami terfikir untuk menghasilkan tudung bawal berperincian kristal asli agar ia bukan hanya selesa malah cantik digayakan seiring perubahan kehendak pemakai,” ujarnya yang menjalin kerjasama dengan pihak Swarovski yang berpangkalan di Austria sejak tahun 1998.

Ternyata tindakan berani Haliza untuk mengeluarkan tudung bawal dari stigma hijab ketinggalan zaman membuahkan hasil.

Termahal

Jenama tempatan itu kini menjadi buah mulut ramai serta terkenal sebagai pengeluar tudung termahal di Malaysia.

Pada tahun 2017, Bawal Exclusive berjaya menjual sehelai tudung berharga RM21,600 kepada seorang usahawan dari Kelantan.

Pada tahun ini juga, mereka muncul sekali lagi sebagai pengeluar tudung termewah dengan harga lebih tinggi iaitu RM33,000 juga kepada usahawan yang sama.

Sementara itu, pemilik As Galleria, Butik Premium Bawal Exclusive di Kota Bharu, Rabiatu Hasmak Ghani, 40, berkata, antara sebab jenama tersebut popular adalah kerana varian harga yang ditawarkan.

Jelasnya, ramai beranggapan bahawa Bawal Exclusive hanya mampu dibeli oleh orang tertentu lantaran harganya yang mencecah puluhan ribu ringgit.

Bagaimanapun, sebenarnya, ia adalah tudung bawal mewah yang direka khas untuk digayakan oleh semua peringkat umur termasuk kanak-kanak sehinggalah kenamaan.

“Harga kami tidak semuanya mahal. Ia bergantung kepada bilangan, bentuk dan saiz kristal Swarovski yang ada pada tudung tersebut.

“Pelanggan masih boleh menikmati tudung bawal premium voile Jepun dengan butiran Swarovski asli kami serendah RM60. Jadi ia sebenarnya mengikut kehendak dan kemampuan pembeli itu sendiri,” katanya selaku penerima Anugerah Butik Premium Terbaik pada malam itu.

Tambahnya, paling penting, penggemar fesyen bawal kini semakin meluas.

“Kuasa pembeli wanita semakin kuat dengan kebanyakan mereka tidak kisah untuk berbelanja besar demi sehelai tudung bawal asalkan mendapat rekaan yang diingini.

“Ini menunjukkan tudung bawal juga tidak ketinggalan dalam budaya fesyen masa kini.

“Saya percaya, selagi Bawal Exclusive menampilkan kualiti dan ciri unik tersendiri mengikut kehendak masyarakat, tudung bawal pasti kekal dijadikan koleksi sepanjang zaman,” kongsinya.

Tudung bawal digemari wanita kerana fabriknya ringan, selesa dan boleh dieksperementasi kepada pelbagai gaya mengikut kehendak pemakai.