Begitulah gambaran tepat spesies primat, ungka tangan putih (Hylobates Lar) yang dahulunya mudah ditemui di kawasan hutan tropika dan hutan hujan di Malaysia serta kawasan hutan sekitar Asia Tenggara.

Ironinya, Kesatuan Antarabangsa bagi Pemuliharaan Alam Semula Jadi (IUCN) menyenaraikan spesies itu sebagai haiwan terancam pada tahun 2009.

Spesies tersebut terpaksa berhadapan dengan pelbagai ancaman. Antaranya diburu untuk dimakan, ditangkap sebelum dijadikan haiwan peliharaan serta kemusnahan habitat alam semula jadi.

Keadaan semakin membarah apabila kerakusan pembalakan hutan digiatkan demi mengejar ideologi pembangunan.

Sadis. Hanya itu perkataan yang terpacul pada bibir gadis kelahiran Ayer Keroh, Melaka, Rosnani Ismail, 24, setelah mendapat tahu spesies ungka itu yang semakin berkurangan kini.

Memori dibawa ke zoo untuk melihat ungka spesies tersebut bersama keluarga pada zaman kanak-kanak masih mekar lagi dalam ingatannya.

“Telatahnya begitu comel, lebih-lebih lagi melihat mereka bergayut-gayut dan bermain bersama ungka yang lain.

“Sayangnya, populasi haiwan tersebut semakin diancam kepupusan.

“Kalau ada inisiatif untuk memulihara haiwan ini daripada diancam kepupusan, saya tidak akan sesekali melepaskan peluang untuk turut serta,” ujarnya ketika ditemui Kosmo! di Zoo Negara, Hulu Klang, Selangor baru-baru ini.

Ungka tangan putih merupakan spesies beruk kecil tidak berekor yang berbulu halus dan lebat.

Ia menetap di atas pokok dan gemar bersantai di atas kanopi pokok-pokok hutan belantara.

Memiliki sepasang tangan yang panjang merupakan sebahagian daripada kebolehannya. Haiwan tersebut boleh bergayut dengan mudah dari satu pokok ke pokok lain.

Istimewanya ungka tangan putih ini merupakan antara yang terpantas dalam keluarga primat lain ketika bergayut dengan purata kepantasan mencecah 56km sejam.

Dengan kelajuan tersebut, ia mampu menangkap burung yang sedang terbang dan memakannya sambil mendarat di dahan-dahan pokok.

Sebagai memelihara populasi haiwan arboreal tersebut, jenama beg fesyen dari Belgium, Kipling mengumumkan kolaborasi bersama Zoo Negara di Hulu Klang, Selangor baru-baru ini.

Kipling Malaysia telah bersetuju untuk menanggung kos pemeliharaan sepasang ungka spesies tangan putih bernama Dan dan Cutie di Zoo Negara.

Kata Pengarah Eksekutif Ram Pacific Distribution Sdn. Bhd. selaku Pengedar Rasmi Kipling di Malaysia, Tan Seong Teck, pihaknya begitu teruja untuk bekerjasama bersama Zoo Negara dalam memelihara spesies terancam itu.

Kegunaan harian

“Kipling akan terus menyokong dari segi penjagaan kesihatan dan melestari populasi ungka tangan putih iaitu haiwan yang semakin pupus ini.

“Misi Zoo Negara dalam memelihara hidupan liar adalah selari dengan usaha pemuliharaan dan inisiatif pendidikan yang selama ini kami terajui.

“Justeru, kerjasama ini disifatkan sebagai langkah kanan buat Kipling lebih-lebih lagi menerusi aktiviti bersifat pendidikan untuk dinikmati rakyat Malaysia,” jelasnya ketika ditemui Kosmo! pada majlis pengumuman kerjasama Kipling dengan Zoo Negara di Hulu Klang baru-baru ini.

Pada majlis tersebut, turut diadakan pelancaran koleksi kapsul Basic Plus edisi terhad secara eksklusif untuk pasaran Asia.

Istimewanya koleksi ini, ia menampilkan fabrik nilon kalis air yang sesuai untuk kegunaan harian yang lasak. Malah, gayanya yang versatil juga sesuai untuk dipakai dalam pelbagai acara keraian.

Ia selari dengan penubuhan Kipling yang komited dalam melaksanakan hasrat menghasilkan beg pelbagai fungsi dan tahan lasak untuk para pelanggan.

Koleksi kapsul Basic Plus edisi terhad menampilkan lima jenis rekaan beg yang menarik seperti beg galas, selimpang, tas tangan dan dompet.

Ia didatangkan dalam warna Belgian Blue, Brilliant Blue dan Purple Garden yang cukup versatil untuk dipadankan dengan pelbagai tema fesyen.

Setiap satunya disertakan dengan pemegang kunci ungka tangan putih yang comel pada bahagian zip.

Koleksi tersebut boleh didapati pada harga antara RM159 sehingga RM839.

Pengarah Urusan Kipling Malaysia, Derek Seow berkata, koleksi tersebut mempunyai daya tarikan yang tersendiri. Konsep yang ditampilkan bagi koleksi tersebut nyata berbeza daripada konsep beg yang ditampilkan sejak tiga dekad lalu.

Menurutnya, ia telah melalui fasa evolusi dari segi rekaan yang memberi fokus terhadap selera golongan belia, sekali gus melengkapi gaya era milenium.

“Rekaan koleksi istimewa ini tampak lebih comel dengan paduan warna ceria, sesuai dengan golongan pencinta fesyen dalam kalangan belia.

“Selain itu, logo Kipling itu juga lebih besar, selari dengan cita rasa trend beg berjenama terkini.

“Kami memberi fokus terhadap golongan muda kerana Kipling berhasrat mengembalikan kecintaan golongan tersebut terhadap alam sekitar menerusi sentimen fesyen,” ujarnya.

Tambah Seow, alam semula jadi memberi manfaat yang sangat besar terhadap perkembangan fesyen. Justeru, Seow berharap pelancaran koleksi tersebut berupaya menjentik kesedaran dalam diri masyarakat demi memulihara alam sekitar.

Anda boleh mendapatkan koleksi itu di rangkaian butik Kipling seluruh negara seperti di pusat beli belah Mid Valley, 1Utama, Aeon Tebrau City dan Queensbay Mall.

Untuk maklumat lanjut, layari laman facebook KiplingMalaysia dan instagram @KiplingMalaysia.

Jenama beg fesyen dari Belgium, Kipling memperkenalkan koleksi kapsul Basic Plus edisi terhad secara eksklusif untuk pasaran Asia demi memulihara populasi ungka tangan putih yang semakin terancam.