Bukan sahaja kerana penyampaiannya yang menusuk di hati tetapi juga penampilannya di pentas dan karpet merah.

Mendapat sentuhan daripada pereka fesyen terkenal, Hatta Dolmat, pelantun lagu Di Matamu itu telah melangkah ke fasa baharu dengan penampilan lebih glamor dan gaya maskulin.

Mengupas tentang pakaiannya di karpet merah AJL33, Sufian muncul berbeza daripada kebiasaan dengan mengenakan jaket kulit buaya berona emas dengan kemeja putih, sekali gus penyanyi berasal dari Mersing, Johor ini tampil dengan sisi lebih edgy namun masih mengekalkan identiti signaturnya.

Menurut Hatta, bagi busana karpet merah itu, padanan tersebut dilakukan sesuai dengan tema AJL tahun ini iaitu Supernova selain siluet longgar jaket itu yang sesuai dengan tubuh Sufian yang kecil.

“Saya mahu mengetengahkan kelainan dalam penampilan Sufian dan jaket kulit adalah persalinan yang jarang kita lihat digayakan oleh penyanyi itu.

“Oleh itu padanan jaket kulit memberikan nafas baharu selain mengekalkan imej kasual dengan kemeja putih, seluar slack serta sepatu kulit yang menjadi signatur dalam gaya Sufian,” katanya ketika ditemu bual Stailo di Studio Utusan, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Bagi penataan gaya di pentas pula, Hatta memberikan sentuhan ikonik dengan terjemahan broken heart (patah hati) yang menterjemah bait-bait lirik Di Matamu yang melankolik.

Konsep

Dengan siluet sut yang padan dengan sosok tubuh Sufian, perincian yang diilhamkan Hatta memainkan peranan penting dalam menghidupkan gaya pentas berkenaan selain melengkapi konsep persembahan.

Jelas Hatta setiap pemilihan dari segi warna, fabrik dan perincian yang melengkapi keseluruhan gaya dipilih atas perbincangan dan ideanya serta Sufian.

“Busana pentas Sufian adalah terjemahan lirik puitis lagunya. Bagi gaya pentas, pemilihan fabrik sut berkilat berona hitam dipadankan dengan kemeja hitam adalah ideal bagi memberikan impak sekali gus menonjolkan lagi sosok Sufian semasa membuat persembahan.

“Perinciannya pula menggunakan teknik kemasan berlian menerusi taburan manik berlian berkilat berona merah bagi memberi kontra serta menimbulkan efek hati berkecai seperti lirik hati yang telah dilukai. Memandangkan latar dan prop pelamin ditampilkan dengan rona cerah, pakaian ini membantu dalam menjadikan Sufian sebagai tumpuan di atas pentas,” jelasnya.

Tidak dinafikan fesyen menjadi salah satu aspek penting dalam menghidupkan persembahan dan Sufian turut mengakui, persalinan yang diolah oleh Hatta membantu menvisualkan jiwa lagu ini selain emosi yang disampaikan olehnya.

Identiti

Jelas Sufian, gaya karpet merahnya sebelum ini sering bermain dengan kepelbagaian jenis sut dan gaya yang diterapkan Hatta adalah berbeza dengan kebiasaan gayanya.

“Saya terbuka bermain dengan gaya dan majlis anugerah adalah salah satu peluang untuk mencuba variasi yang dapat memberikan nafas baharu dalam identiti fesyen.

“Hatta memahami idea dan visual yang saya mahu ketengahkan termasuk untuk persembahan di atas pentas selain memberikan sentuhan yang memberikan impak tersendiri selepas AJL,” ujarnya.

Di sebalik lensa glamor, terjemahan fesyen Sufian lebih berkonsepkan selesa, ringkas dan kemas.

Visual fesyen itu sedikit sebanyak menjadi sebahagian daripada imej selebritinya menerusi beberapa perincian seperti mengenakan kasut sniker dan kemeja-T.

Bagaimanapun, nama Sufian lebih menyerlah dengan imej kaca matanya.

“Selain itu, di atas pentas saya lebih gemar mengenakan sesuatu yang santai tapi masih kemas dan kasual. Antara gaya pilihan adalah padanan blazer dengan kemeja-T serta sniker atau kemeja lengan pendek dengan warna pastel.

“Kebanyakan gaya saya banyak merujuk kepada gaya selebriti dari negara jiran iaitu Afgan namun yang berbeza adalah imej kepelbagaian kaca mata dan itu adalah signatur dalam penataan saya,” jelasnya.

Tambahnya lagi, dalam menentukan gaya semasa, dia juga mengambil inspirasi mengikut lagu yang dibawanya pada ketika itu dan menerusi single Di Matamu, Sufian mengetengahkan imej berjambang yang menonjolkan sisi matangnya.