Ditambah pula dengan rekaan yang terhad untuk segmentasi fesyen tersebut, golongan lelaki sukar menterjemah personaliti yang dimiliki dalam aspek pemakaian.

Bagaimanapun, jenama pakaian lelaki, Benua Clothing (Benua) mempunyai cara tersendiri memecah kepompong tersebut.

Ia dizahirkan menerusi koleksi busana sedia pakai baharu mereka iaitu B+R seperti yang dipamerkan pada acara Minggu Fesyen Kuala Lumpur 2018 di pusat beli-belah Pavilion Kuala Lumpur baru-baru ini.

Saat barisan model berjalan memperagakan busana tersebut, aura pakaian Benua itu dilihat cukup mempesonakan.

Rata-rata set busana korporat yang dipamerkan di atas pentas peragaan jauh sekali daripada yang dibayangkan di dalam kepala.

Menurut Pengasas Bersama Benua, Mohd. Nizar Manaf, pakaian tersebut dizahirkan sebagai pakaian korporat yang cukup versatil.

Imej kemas

“Pakaian ini sesuai untuk golongan lelaki yang bekerjaya dan mahukan imej kemas dalam sektor korporat.

“Bagaimanapun, kami hasilkan busana berimej formal dengan cetusan elemen moden yang berani sekali gus keluar daripada kebanyakan gaya fesyen kebiasaan.

“Antara busana yang kami pamerkan ialah baju-T Polo, jaket, blazer, kemeja dan jump sut,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Kongsi Mohd. Nizar, koleksi B+R diinspirasikan daripada fenomena kebangkitan rakyat.

Selain itu, ilham busana yang dihasilkan diambil daripada imej Perdana Menteri ke-7, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Ia disempurnakan pula dengan perincian elemen fesyen gaya tahun 70-an.

Selain bermain dengan elemen fesyen unik, Mohd. Nizar turut memberi penekanan pada aspek pemilihan fabrik.

Katanya, koleksi tersebut menggunakan fabrik seperti kain oxford, viskos, kapas dan poliester.

Ia sesuai digayakan setiap hari untuk ke pejabat, kilang mahupun gudang walaupun dalam cuaca panas.

Koleksi baharu B+R itu menampilkan sebanyak 12 set pakaian dan dijual secara eksklusif di laman fesyen FashionValet.

“Segmen pakaian korporat ini merupakan salah satu cabang baharu buat jenama Benua.

“Ia merupakan salah satu usaha kami untuk mempromosikan pakaian berimej korporat kepada golongan lelaki bekerjaya,” jelasnya.