Majlis meraikan kejayaan pembukaan yang dikenali sebagai Pop-Up Store Amaxmall tersebut diadakan dengan penuh besar-besaran.

Orang ramai yang berada berdekatan tidak melepaskan peluang untuk meninjau sekali gus memenuhi ruang pekarangan kedai yang menyajikan lebih 20 kategori produk termasuklah makanan, produk kesihatan, barang elektrik dan elektronik, fesyen serta kelengkapan ibu dan anak.

Tidak kurang juga yang mengambil kesempatan untuk merakam kenangan bersama barisan selebriti yang hadir seperti Maria Tunku Sabri, Sharifah Shahora, Kenchana Devi dan Faezah Elai.

Namun, dalam kerancakan tersebut, ada susuk tubuh seseorang yang cukup menarik pandangan.

Berada dalam kalangan vendor yang turut sama meletakkan produk di Amaxmall, figura berkulit cerah dengan imej botak itu tampak cukup menyerlah.

Mengenakan sut lengkap fabrik baldu berwarna coklat dengan kemeja corak monokrom merah dan putih, personaliti dan aura lelaki bernama Nur Iman Shah Mohd. Najib itu sememangnya mampu membuatkan banyak mata memandang ke arahnya.

Lebih dikenali sebagai Abang Don, pengasas dan pemilik jenama gincu tempatan, Nur’Asia itu mengakui, pemilihan gaya fesyennya, sering mendapat pujian sekali gus membantu memperkenalkan jenamanya kepada umum.

Katanya, imej lelaki berkepala botak yang gemar memakai sut itu sememangnya merupakan sebahagian daripada rancangan memperkenalkan jenama Nur‘ Asia, gincu dengan kebaikan kolagen di pasaran.

“Produk pertama kami dikeluarkan kira-kira dua tahun lalu. Pada waktu itu, terdapat terlalu banyak jenama kosmetik di pasaran yang lebih popular dan sudah lama bertapak dalam industri sekali gus membuatkan saya mencari cara terbaik untuk mudah dikenali pengguna.

“Daripada pemerhatian saya, kebanyakan jenama kosmetik terkenal kerana mereka menggunakan khidmat duta seperti selebriti. Memandangkan saya bercadang menjadi duta merangkap jurucakap Nur’ Asia sendiri, timbullah idea untuk mengubah penampilan dengan identiti yang menarik dan senang diingat,” katanya ketika ditemui pada sesi temu bual di Studio Kosmo!, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Tambah Abang Don, memandangkan dia sebelum itu hanya bekerja sebagai seorang eksekutif jualan di syarikat swasta, beliau langsung tiada ilmu mengenai ciri-ciri penampilan menarik dan sesuai dibawakan oleh seorang usahawan kosmetik lelaki.

Kontra

“Hendak ke kelas berkaitan rundingan imej pun, saya rasakan tidak patut memandangkan kekangan wang yang tidak berapa mengizinkan pada waktu itu. Jadi, saya ambil tindakan sendiri dengan mencuba untuk bereksperimentasi dengan kecenderungan untuk bergaya dengan produk yang ingin dipasarkan.

“Melihat kepada gincu yang lebih sinonim dengan wanita dan feminin, tercetus idea untuk saya sebagai duta membawa impak kontra daripada sifat itu iaitu maskulin. Sebut sahaja maskulin, saya terus terbayangkan imej Pitbull, penyanyi rap terkenal yang bagi saya sangat macho,” cerita lelaki berasal dari Alor Setar, Kedah itu.

Mengagumi fesyen minimal maskulin Pitbull yang sentiasa memakai sut dilengkapi dengan tali leher atau tali leher kupu-kupu pada setiap persembahannya, Abang Don turut mengambil langkah drastik membotakkan rambutnya persis penyanyi kacukan Cuba dan Amerika Syarikat itu.

Dia kemudian mula meninjau butik yang menyediakan perkhidmatan sut. Antara yang menarik perhatiannya ialah butik Emin Madrosa yang terletak di Medan Mara, Kuala Lumpur serta yang terkini, butik King House Apparel juga di ibu negara.

Bertuah kerana memiliki saiz badan standard saiz sederhana atau M, Abang Don tidak perlu berbelanja keterlaluan menyediakan sut buatan tangan mengikut saiznya. Sebaliknya, dia bebas memilih sut siap dipakai tanpa sebarang masalah.

Menggemari sut jenis moden Inggeris dengan potongan kemas mengikut bidang dada serta sut jaket (vest), percaturannya untuk tampil dengan imej sebegitu berjaya membuka mata ramai pengguna untuk sekurang-kurangnya tahu mengenai gincu Nur’Asia walaupun tidak membelinya.

Sut senada

Gemar mengenakan sut senada daripada warna yang menyerlah seperti biru kelasi, hijau zamrud, merah jambu, coklat malah kuning, sisi lelaki maskulin yang datang mempromosikan produk gincu di media sosial hinggalah ke majlis jemputan membuatkan ramai jatuh hati.

Serlahan imej tersebut malah membuatkan Nur’Asia yang kini mempunyai lebih lima rangkaian gincu seperti Magic Lipsmatte, Love At First Sight (gincu dan edisi cecair matte) serta Lipstick Collagen 2 in 1 berjaya menembusi pasaran luar termasuk Thailand dan Singapura.

Tidak pernah malu untuk menggayakan gincu formulanya sendiri terutamanya yang mesra dipakai lelaki, di mana ciri warnanya tidak terlalu terang, penjagaan peribadinya malah menjadi inspirasi kepada lelaki metroseksual yang gemar bergaya kemas.

Paling membanggakan, anak kedua daripada lima beradik ini juga boleh dikatakan cukup berjaya dengan kehadiran beberapa perniagaan baharu termasuk kilang memproses ayam di Bedong, Kedah.

Terbaharu, Abang Don turut mengalu-alukan anak muda yang mahu terlibat dengan apa jua perniagaan namun, tiada modal dan sokongan untuk melibatkan diri dalam inisiatif The Entrepreuner Circle anjurannya.

Ditanya mengenai kelebihannya yang memiliki raut wajah berseri dan sentiasa segar, Abang Don berkata, beliau sentiasa mengamalkan untuk meminum air putih secukupnya bagi memastikan tekstur kulitnya sentiasa kekal hidrat.

“Selain itu, penting sekali untuk kita sama ada lelaki mahupun perempuan untuk memastikan kulit wajah terutamanya sentiasa dicuci bersih bagi mengelak masalah seperti jerawat, penuaan dan sebagainya.

“Untuk itu, saya cukup menitikberatkan soal penjagaan muka seperti rejim penggunaan pencuci muka yang bersesuaian dengan wajah, krim serta pelembap setiap malam serta topeng wajah sekurang-kurangnya tiga kali seminggu.

Sempat berkongsi amalannya sejak remaja kepada Kosmo!, Abang Don berkata, beliau gemar mengamalkan petua orang dahulu untuk membuat masker wajah semula jadi menggunakan campuran telur putih dan gel aloe vera yang disejukkan dalam peti ais.

Menyifatkan cermin mata hitam sebagai aksesori wajib pelengkap ciri kelakiannya, Abang Don mengingatkan para usahawan kosmetik terutamanya untuk sentiasa mencari identiti sendiri dan berfikir di luar kotak jika ingin berjaya.

“Pandangan pertama orang terhadap kita sangat penting. Bukan sekadar pada luaran, namun dari segi karakter serta cara pembawakan diri juga sebenarnya sangat penting bagi menentukan hala tuju perniagaan kita.

“Dunia persaingan kosmetik ini luas. Tanpa identiti dan imej yang kukuh, kita akan ketinggalan. Namun, dalam kita mencari identiti tersebut, janganlah keterlaluan hingga melanggar batas-batas norma seorang yang mempunyai agama dan bertamadun,” akhirinya.

Sentiasa tampil dengan imej maskulin lengkap bersut serta berkepala botak, kehadiran pengusaha produk gincu Nur’Asia, Nur Iman Shah Mohd. Najib bukan sahaja menjadi perhatian ramai, malah menjadi faktor pemangkin kejayaan jenama tersebut di dalam dan luar negara.