Ia merupakan visual yang dipersembahkan daripada idea individu ke dalam pelbagai bentuk karya termasuk fesyen.

Sempena pameran Ceritera Kita yang dianjurkan oleh Galeri Petronas baru-baru ini, sebuah pertunjukan fesyen iaitu Art to Wear telah diadakan.

Ia dikendalikan oleh tenaga pendidik, perunding dan penulis fesyen terkemuka tanah air, Faizal Hamid.

Selaku kurator pada pertunjukan itu, Faizal menjelaskan, koleksi yang diketengahkan oleh lapan orang pereka muda itu menampilkan karya seni eksklusif yang diterjemah ke dalam bentuk busana.

“Koleksi yang terpilih merupakan ilustrasi karya terbaik dan contoh kegigihan hasil rekaan pereka muda.

“Setiap koleksi itu menampilkan cara unik pereka bermain dengan jalur, tekstur, perhiasan, lisu, draping, illusi dan drama bagi mengangkat nilai fesyen ke tahap seni ulung.

“Pertunjukan ini memartabatkan amalan dan pemikiran tajam dalam fesyen yang membentuk hala tuju seni boleh dipakai di negara ini,” jelasnya semasa merasmikan pertunjukan fesyen itu di Galeri Petronas, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Inspirasi

Antara koleksi dan tema pada pertunjukan fesyen itu ialah gaya jalanan Tokyo, gula-gula kapas, seni Harley Davidson, seni naif Yusof Gajah, topeng buluh puak Bena Biombo, kereta futuristik Ed Torq, manipulasi fabrik dan teater opera Kabuki.

Koleksi gaya jalanan Tokyo itu dibawakan oleh Dayang Intan Almurid yang diinspirasikan daripada gaya jalanan Harajuku dan Shibuya, Tokyo.

Tema gula-gula kapas itu dipersembahkan oleh Lydia Natasha Azmi yang mendapat inspirasi daripada rona pastel, segar dan muda serta nostalgia kanak-kanak yang menikmati manisan tersebut.

Pereka, Faiz Ripin pula tampil dengan tema seni Harley Davidson yang menggabungkan gaya kontemporari motosikal ranggi, unik, segar dan garang.

Bagi peminat artis seni naif, Eliyana Erni Yusoff membawakan koleksi busana yang diinspirasikan daripada lukisan bertajuk Ibu dan Anak.

Koleksi penulis dan jurugaya, Arie Sampornak bertajuk The Mask yang mengangkat topeng buluh puak Bena Biombo dari Afrika juga tidak kurang hebatnya.

Ia merupakan topeng yang dahulunya digunakan untuk ritual puak dan medium hiburan, namun kini dipersembahkan ke dalam koleksi busana istimewa.

Pereka, Ixora Kamarulbaharin pula tampil dengan tradisi futuristik dalam bentuk busana yang diinspirasikan daripada kereta lumba tanpa pemandu pertama iaitu Ed Torq.

Manipulasi fabrik semestinya kekuatan Aida Ismail apabila pereka itu hadir menggabungkan elemen lisu dan fabrik berkait dalam siluet serba unik.

Koleksi penutup dipersembahkan oleh Naim Hasbullah dengan temanya yang mengangkat gaya busana teater opera Kabuki.