Memandangkan fesyen bersifat universal dan terbuka, konsep rekaan berulang-ulang seiring ligatnya peralihan waktu.

Ia sejajar dengan bait kata pereka fesyen ternama, Carolina Herrera yang pernah mengungkapkan: “Fesyen merupakan pengulangan idea, tetapi apa yang membuatkan ia menjadi sesuatu baharu ialah cara kita menggayakannya.”

Pandangan itu senada dengan pereka dan pengarah filem popular, Tom Ford yang berkata: “Fesyen mungkin akan menjadi barang terbuang tetapi ia akan kembali. Jadi, jangan buang kesemuanya.”

Berhubung hal ini juga, sebuah majalah fesyen antarabangsa, Glamour Magazine menyenaraikan trend-trend popular yang dijangka menjadi ikutan ramai pada tahun ini.

Antaranya, rekaan pleat yang berbentuk lipatan seragam bergaris lurus. Ia memberi ilusi pergerakan mengembang dan mengecut serta kesan langsing pada tubuh.

Selain itu, fesyen ikat dan celup yang mula popular pada era 80-an dijangka kembali dengan membawakan palet warna-warna pelangi yang ceria serta diaplikasikan pada blazer, palazo, kemeja dan denim.

Kasut tapak rata turut dijangka mencuri lampu sorot gaya terkini. Ia dapat dilihat menerusi rekaan dikeluarkan Valentino Roche dan Simone Rocha yang cenderung bermain dengan elemen seperti jalinan tali dan rambu sebagai penambah aksesori kasut rata musim ini.

Selain itu, gaya pemakaian jean klasik juga dipercayai akan kembali mewarnai pentas peragaan. Fesyen tahun ini juga menonjolkan aspek keselesaan seperti pemakaian fabrik kait.

Dari aspek penataan warna, rona neon dilihat mempunyai pengaruh tersendiri yang membawa manifestasi jiwa muda dan moden.

Warna ceria seperti merah jambu dan hijau pudina antara palet warna yang menjadi pilihan pereka.

Sementara itu, dalam landskap fesyen tempatan, penata gaya yang juga pereka fesyen, Krishan Bahadur Darji melihat trend warna tahun 2019 lebih menjurus kepada warna-warna pastel dan semula jadi berbanding rona terang atau garang.

Tambahnya, seseorang itu juga tidak perlu bimbang bereksperimen dengan warna yang dianggap mewah seperti rona emas.

“Warna emas merupakan satu daripada warna semula jadi yang akan menyerlah dengan gabungan tona lebih gelap seperti merah, ungu manggis dan coklat,” jelasnya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Dwifungsi

Berkongsi tip pemilihan warna juga, Krishan menyarankan mereka yang berkulit gelap mengenakan warna-warna pastel dan senyap seperti warna ros debu dan kuning langsat.

Beliau turut mencadangkan agar pemilihan busana yang bersifat dwifungsi dapat dipraktikkan pada tahun ini.

Misalnya pemakaian dres yang bersifat dinamik serta mudah diubah suai boleh dimanfaatkan untuk gaya tradisional atau moden mengikut tema sesuatu majlis.

“Misalnya, ia mempunyai ciri yang boleh dilabuhkan atau disingkap menjadi dua pakaian yang tampak berbeza. Rekaan sedemikian masih tidak diterokai begitu meluas di negara ini,” ujarnya.

Selain itu, pereka dan pengasas label Lily&Orkid, Nuriylia Insyirah Azhar pula berpendapat, rekaan berciri fleksibel atau jahitan dua muka yang boleh dipadankan mengikut situasi sama ada kasual atau formal dapat dipraktikkan sebagai gaya pada tahun ini.

“Ia mungkin boleh dipakai di kedua-dua belah sama ada depan atau diterbalikkan, selain dijadikan pakaian luar seperti jaket atau diintegrasikan bersama denim mengikut kreativiti pemakai.

“Selain itu, ia juga haruslah mudah disuai padankan sama ada dengan skirt atau seluar, sekali gus boleh digayakan untuk jangka masa panjang tanpa perlu terikat dengan gaya yang sama,” jelasnya.