Karakter wanita golongan kenamaan yang dibawakannya kelihatan cukup versatil dan elegan dengan santunan dres hitam labuh.

Rantai mutiara bergemerlapan dengan sarung tangan panjang ke siku tona hitam senada melengkapkan gaya bintang Hollywood bertubuh genit itu.

Ikonik kesempurnaan busana yang digelar Little Black Dress yang digayakan pelakon itu menyebabkan ramai wanita pada era tersebut tidak betah duduk diam.

Mereka juga mahu kelihatan anggun dan memiliki sekurang-kurangnya satu dres hitam sesempurna rekaan Hubert De Givenchy khas untuk Hepburn dalam filem itu.

Garapan minimal elegan yang diperkenalkan oleh aristokrat fesyen daripada Perancis itu berjaya mencetus revolusi baharu dalam dunia fesyen pada era tersebut.

Impaknya kekal sehingga ke hari ini. Seluruh dunia mengiktiraf dres berwarna hitam sebagai lambang keanggunan wanita yang tidak pernah lapuk ditelan dek zaman meskipun hampir enam dekad gaya tersebut dipelopori.

Tidak hanya itu, kerjasama Givenchy dengan Hepburn berjaya mempopularkan pelbagai lagi gaya romantis elegan untuk wanita.

Ia termasuk dres putih dengan tenunan bunga di bawah serta dres perkahwinan minimal potongan kembang yang masih ideal digayakan sehingga ke hari ini.

“Busana rekaan Givenchy adalah satu-satunya rekaan yang membantu saya mengeksperesikan diri dalam pelbagai watak.

Bangsawan

“Dia bukanlah sekadar pereka fesyen. Sebaliknya dia adalah pencipta kepada karakter dan personaliti saya sebagai pelakon,” kata mendiang Hepburn ketika menghadiri majlis penyampaian Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat California kepada Givenchy pada tahun 1988.

Terkenal dengan gelaran Giant of Haute Couture, rekaan Givenchy turut digemari wanita-wanita hebat seperti aktres Elizabeth Taylor, Grace Kelly dan balu Presiden Amerika ke-35, Jacqueline Kennedy.

Baru menyambut ulang tahun kelahiran ke-91 tahun pada 21 Februari lalu, dunia fesyen dikejutkan dengan berita kematian pengasas label pakaian dan produk Givenchy itu.

Beliau dilaporkan meninggal dunia ketika sedang tidur di kediaman mewah yang dikongsi bersama seorang pereka fesyen, Philippe Venet pada 10 Mac 2018.

Ketua Pegawai Eksekutif Moet Hennessy Louis Vuitton (LVMH), Bernaud Arnault ketika memberi ucapan takziahnya menyifatkan, Givenchy sebagai pereka yang tiada galang ganti.

“Dalam beribu pereka fesyen yang membawa nama Paris sebagai kota fesyen pada era 1950-an, Givenchy adalah permata yang paling bersinar.

“Rekaannya daripada dres kembang indah sehingga busana harian yang menghimpunkan dua kualiti unik iaitu inovatif dan tidak lapuk ditelan dek zaman sangat sukar dicapai pada masa ini,” katanya penuh emosi.

Pengguna laman sosial seperti di Twitter, Facebook dan Instagram turut melahirkan rasa duka selain menyifatkan kematian Givenchy sebagai kehilangan besar kepada dunia.

Pemilik nama penuh Hubert James Marcel Taffin de Givenchy ini mula menanam minat terhadap fesyen seawal usia kanak-kanak lagi.

Dia yang dilahir dan dibesarkan di kota Beauvais, utara Perancis beruntung kerana lahir daripada keluarga bangsawan.

Ibunya, Beatrice Badin merupakan anak pemilik industri tekstil tenunan yang hebat di Perancis manakala ayahnya adalah seorang bangsawan Perancis dengan gelaran Marquis.

Bagaimanapun, pada usia dua tahun, anak bongsu daripada dua adik-beradik itu kehilangan ayahnya akibat demam panas.

Givenchy kemudian berpindah ke rumah mewah datuknya dan mula didedahkan dengan tekstil berkualiti tinggi sejak usia tiga tahun lagi.

Pada usia 10 tahun, keluarganya dijemput untuk menghadiri satu pertunjukan fesyen bagi jenama Chanel dan Elsa Schiaparelli di Paris.

“Itulah permulaan saya sebagai seorang pereka fesyen. Saya bermula dengan bermimpi menghasilkan pakaian hebat seperti yang dilihat pada pertunjukan penuh gilang-gemilang dan meriah itu.

“Pulang daripada pertunjukan itu, saya memberitahu ibu untuk menghasilkan pakaian wanita yang cantik.

Debut

“Dia bersetuju tetapi memberikan syarat agar saya cemerlang dalam pelajaran jika ingin menjadi pereka fesyen,” imbasnya sewaktu dijemput memberi motivasi kepada pelajar di Oxford University Union, England pada tahun 2010.

Pada usia 17 tahun, meskipun layak menyambung pelajaran dalam bidang undang-undang seperti yang dikehendaki oleh ibunya, Givenchy bertekad untuk menceburi bidang fesyen.

Akhirnya, dia berjaya menyambung pelajaran di sebuah sekolah seni berpengaruh di Paris, Ecole des Beaux-Arts pada tahun 1945.

Karier Givenchy kemudian mula berkembang apabila dia menjadi perintis kepada Jacques Fath, satu lagi nama besar dalam dunia fesyen Perancis.

Gurunya itu merupakan antara tiga nama pereka paling berpengaruh selepas Perang Dunia Kedua selain Christian Dior dan Pierre Balmain.

Dia kemudian bekerja sebagai pengarah artistik untuk butik Elsa Schiaparelli sebelum mengambil keputusan menghasilkan koleksinya di bawah jenama sendiri, House of Givenchy.

Pada tahun 1952, debut Gavenchy berupa pakaian kemeja wanita dengan skirt potongan pensil telah dikeluarkan.

Menggunakan khidmat model terkenal Perancis, Bettina Graziani, koleksinya mencetus fenomena yang luar biasa.Menurut majalah Chicago Tribune, rekaan Givenchy tidak hanya memperagakan model di atas pentas tetapi glamor dan elegan digayakan oleh wanita kebanyakan.

Kemasyhuran rekaannya melangkaui Perancis dan sampai ke pentas-pentas peragaan di New York, Amerika Syarikat (AS).

Antara koleksi yang mendapat perhatian ialah The Bettina Blouse, kemeja berwarna putih dengan ropol pada tangan digayakan bersama skirt warna coklat keperangan bawah lutut.

Seperti dilaporkan akhbar The New York Times, peruncit dari AS pada ketika itu sanggup membayar sehingga $2,800 (RM10,810) sebagai bayaran kepada Givenchy untuk membeli paten kemeja tersebut sebagai koleksi jualan mereka.

“Bagi saya, definisi fesyen adalah potongan yang ringkas tetapi sempurna kepada si pemakai.

“Perincian yang berlebih-lebihan mungkin mengganggu estetika rekaan itu. Atas sebab itu, saya percaya kurang adalah lebih baik dalam bergaya,” ucap lelaki berketinggian 1.96 sentimeter itu pada sesi wawancara yang pertama dengan majalah fesyen dari AS, Life Megazine bertarikh 3 Mac 1952.

Sejak itu, koleksi House of Givenchy sentiasa mendapat perhatian dunia.

Paling menggembirakan, kecemerlangan dalam berkarya telah memperkenalkannya secara peribadi dengan ‘dewa fesyen’ kegemaran, Cristobal Balenciaga.

Kerjasama dengan pengasas label Balenciaga itu berhasil memperkenalkan satu lagi ikonik rekaan kepada dunia.

Ia adalah blaus longgar tidak bertulang ataupun sack blouse yang sehingga kini digayakan oleh wanita di seluruh dunia.

Mencapai usia 61 tahun, Givenchy yang tidak pernah berkahwin menjual labelnya kepada kumpulan LVMH. Namun, perjuangan dalam dunia fesyen masih diteruskan selama tujuh tahun sebagai ketua pereka kreatif bagi kumpulan tersebut.

Koleksi terakhirnya dikeluarkan pada tahun 1995 sebelum bersara pada usia 68 tahun.

“Kehidupan adalah seperti sebuah buku. Seorang manusia harus tahu bilakah masa yang terbaik untuk membuka halaman seterusnya.

“Namun, saya gembira kerana saya berusaha mencapai impian dunia kanak-kanak saya dengan jayanya.” katanya pada pameran koleksi sepanjang zaman miliknya di Museum for Lace and Fashion di Calais, Perancis pada tahun lalu.

Perkhabaran mengenai kematian mendiang Hubert De Givenchy pada usia 91 tahun pada 10 Mac 2018 disifatkan sebagai duka lara dalam dunia fesyen.