Sentuhan kreatifnya bukan sahaja menjadikan peragawati ternama seperti Naomi Campbell, Cindy Crawford dan Linda Evangelista sebagai ikon gaya rambut tetapi turut menjenamakan persona selebriti terkenal, Jennifer Lopez, Rihanna serta Scarlett Johansson.

Mendiang Oribe Canales merupakan seorang legenda dalam dunia dandanan dan jurugaya rambut di arena fesyen serta hiburan antarabangsa.

Perginya merupakan satu kehilangan besar dalam arena fesyen dan kecantikan di Amerika Syarikat. Dia disahkan meninggal dunia pada 16 Disember tahun lalu pada usia 62 tahun selepas didiagnosis dengan tiga tumor di hati.

Pengalaman

Anak kepada pasangan Oribe Juan Canales dan Gladys Miranda Canales itu dilahirkan di Havana, Amerika Syarikat pada 13 September 1956.

Keluarganya berpindah ke Charlotte, New York ketika dia berusia enam tahun. Dia yang juga merupakan anak kedua daripada tiga beradik berpindah ke Miami pada usia 16 tahun untuk menjadi pelakon.

Dua tahun kemudian, dia berpindah ke Buffalo untuk mencari pengalaman sebagai pendandan rambut dan memperoleh lesennya. Pada usia 20 tahun, dia berpindah ke bandar New York untuk bekerja dengan jurugaya rambut terkenal, Garren di salun Plaza Hotel.

Menurut Garren, Oribe merupakan seorang pekerja yang berdedikasi dan sentiasa menjadi kegemaran pelanggan.

“Dia sangat peka dan mahir mendandan rambut. Malah, sentuhan magisnya sesuai dengan imej pelanggan.

“Pelanggannya terdiri daripada golongan model dan selebriti, malah dia menjadi kegemaran ikon era 1980-an, Brooke Shields dan Farrah Fawcett,” katanya dalam satu temu bual bersama portal Voque.

Hasil dandanannya menjadi sebutan ramai, sehingga menjadi jurugaya rambut pilihan untuk jenama besar seperti Versace dan juga pasukan kreatif untuk muka hadapan majalah GQ.

Pada tahun 1980-an, menjadi titik tolak dalam perkembangan karier Oribe. Dia menjalin kerjasama dengan jurugambar, Steven Meisel dan jurusolek François Nars yang membentuk trio kumpulan kreatif untuk kempen majalah Vogue, W dan Harper’s Bazaar.

Karier Oribe terus berkembang pada tahun 1990-an menerusi pembukaan salun sendiri dengan modal AS$3 juta (RM12.6 juta) yang menjenamakan semula Venetian palazzo di Fifth Avenue.

Trend

Bermula daripada itu, dia melebarkan kreativitinya dengan menjadi pelopor kepada trend gaya rambut seterusnya mencipta identiti nama-nama besar seperti Naomi Campbell, Cindy Crawford, Christy Turlington dan Linda Evangelista.

Dengan signatur rambut yang bermain dengan volum, Oribe juga amat disenangi dan menjadi idaman ramai selebriti.

Jennifer Lopez merupakan antara selebriti yang amat mengagumi trend rambut yang dicetuskan oleh Oribe menerusi sentuhan kreatifnya di majalah.

“Ketika berusia 16 tahun, saya tertarik dengan majalah Vogue. Saya menaiki tren sambil membaca majalah dan melihat semua imej supermodel dan kagum dengan rambut mereka.

“Ketika saya melihat gambar berkenaan, saya akan memeriksa siapa jurugayanya dan selalu ada nama Oribe,” tulis Lopez di Instagram selepas kematian Oribe.

Selain Jennifer, selebriti lain yang pernah mendapatkan khidmatnya adalah Cher, Rihanna, Lady Gaga, Meghan Markle dan ramai lagi.

Perjalanan Oribe dalam mencipta nama berhadapan dengan jatuh bangun.

Meskipun mempunyai perniagaan salun yang berkembang dari New York ke Hollywood, dia juga berhadapan dengan pelbagai kontroversi daripada masalah penggunaan dadah sehingga kehilangan rangkaian produk rambut.

Namun ia tidak menggugat pengaruhnya sebagai seorang jurugaya rambut yang mencetuskan fenomena dengan pelbagai trend rambut yang menjadi ikutan ramai.

Kehilangannya amat dirasai oleh ramai pihak, namun ideologinya dalam seni penggayaan rambut kekal hidup untuk rujukan generasi akan datang.