Merupakan debutnya dalam industri fesyen, situasi yang dihadapi oleh peneraju drama Cik Reen Encik Ngok Ngek itu dijadikan sebagai idea yang membawa kepada pembukaan kedai gunting rambut atau barber shop Hair Feeks awal Ogos lalu.

Merupakan pusat perapian dan rawatan rambut khusus buat golongan lelaki, Fikry berkongsi cerita bahawa ia adalah pelan jangka panjangnya dalam mempelbagaikan karier selain berdiri di atas landasan sebagai anak seni.

“Saya tidak merancang untuk membuka barber shop tetapi sejak mula aktif dalam dunia seni, penjagaan rambut menjadi rutin utama. Sebagai lelaki saya agak segan untuk ke salun memandangkan rata-ratanya bukan sahaja dikendalikan oleh golongan wanita tetapi pelanggannya juga tidak ramai kaum lelaki.

“Daripada itu, saya terfikir kenapa tidak ada satu pusat kecantikan khususnya rambut yang khusus untuk lelaki. Selepas beberapa perbincangan dan memandangkan saya pernah terlibat dalam dunia perniagaan sebelum ini maka tertubuhlah Hair Feeks pada 1 Ogos lalu,” katanya ketika ditemui Stailo pada majlis pelancaran Hair Feeks Barbershop di Setapak, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Tambahnya, idea pembukaan barber shop ini bukan sekadar mengikut trend mahupun mengikut jejak sesiapa, tetapi asas penglibatannya dalam perniagaan adalah untuk memberi nilai tambah baharu kepada orang ramai.

Perkhidmatan

Jelas Fikry lagi, menerusi Hair Feeks, dia bukan sekadar menawarkan khidmat gunting rambut tetapi terdapat juga lima perkhidmatan istimewa yang juga merupakan keperluan buat golongan lelaki.

Ia membezakan Hair Feeks dengan mana-mana barber shop yang lain. Lima perkhidmatan berkenaan adalah skrub muka, rambut, rawatan rambut, kulit kepala, mask muka hitam dan putih.

Dengan tiga kakitangan yang berpengalaman dan terlatih, Fikry memberitahu, semua perkhidmatan yang ditawarkan ini memenuhi keperluan golongan lelaki masa kini yang sudah mula menitik beratkan soal penjagaan diri.

“Kita menawarkan perkhidmatan secara berasingan atau pakej untuk pengantin, pelajar atau kanak-kanak. Semuanya pada harga berpatutan bermula RM15 hingga RM130.

“Dengan keluasan kedai kira-kira 15 meter persegi, kita membawakan gabungan konsep santai dan retro selain perkakasan berteknologi terkini bagi memberikan kesan terbaik buat pelanggan yang mendapatkan rawatan penjagaan diri Hair Feeks,” jelasnya.

Tambahnya lagi, setiap rawatan hanya memakan masa antara 30 hingga 40 minit bagi satu sesi malah setiap produk yang digunakan juga berkualiti selain sesuai untuk semua jenis kulit.

Tambahnya, Hair Feeks menghimpunkan pelbagai perkhidmatan di bawah satu bumbung yang merupakan satu kemudahan untuk golongan lelaki tambahan pula terletak di kawasan perniagaan strategik di Setapak.

“Pemilihan lokasi ini merupakan yang paling ideal selepas beberapa penilaian dilakukan di lokasi berbeza. Lokasi ini juga merupakan tumpuan orang muda dan skop pelanggan daripada berbilang bangsa,” katanya yang merancang untuk membuka cawangan khusus buat pelanggan wanita dan mesra Muslimah tidak lama lagi.