Meskipun majlis itu hanya akan bermula pada pukul 8 malam, para jemputan yang terdiri daripada barisan tetamu kehormat, selebriti terkenal negara, penulis blog dan pencinta fesyen sudah berada di lokasi tersebut.

Kesemua mereka tidak sabar untuk menyaksikan pelancaran Koleksi Raya 2018 daripada hab fesyen terbesar negara, Primavalet.

Pelbagai himpunan jenama fesyen terbaik termasuk Arjuna, Meylana, YoumeAndHunny, Nur Aishah, Shasya Habib, Ezuwan Ismail dan koleksi pertama Primavalet sendiri iaitu PV Man, PV Woman serta PV Kids diperagakan satu demi satu.

Penonton bersorak riang melihat kelibat artis kesayangan seperti Zul Ariffin, Alif Satar, Asad Mowtah, Janna Nick dan Shaheizy Sam berada di atas pentas sambil menyarung pakaian jenama Primavalet.

Para hadirin membuat pilihan sambil membayangkan busana indah yang bakal digayakan pada hari lebaran ini.

Suasana sama juga boleh dilihat pada pembukaan cawangan terbaharu Primavalet di Wangsa 118, Wangsa Maju, Kuala Lumpur pada 5 Mei lalu.

Orang ramai sanggup beratur tiga jam lebih awal semata-mata mahu mendapatkan barangan istimewa seperti kurta PV Man.

Walaupun baru beroperasi pada Mei 2017, nama Primavalet meledak dengan begitu gah dalam dunia fesyen glamor tanah air.

Insan yang paling gembira di sebalik kejayaan itu sudah pasti Pengasas dan Pengarah Urusan Primavalet, Arshad Beg Mirzsja Hanjuan yang lebih dikenali sebagai Dr. Arshad.

Baginya, memiliki sebuah empayar perniagaan berkaitan fesyen adalah sesuatu yang tidak pernah dijangkakan.

Berkelulusan dalam Ijazah Perubatan dari Crimea State Medical University, Rusia, lelaki kacukan Arab di sebelah ayah dan Melayu di sebelah ibu itu menghabiskan masa selama tujuh tahun di Rusia sebagai seorang pelajar perubatan yang sangat sibuk.

Beliau terikat dengan tugasan harian sehingga tidak berkesempatan memikirkan perkara lain termasuk pemilihan fesyen untuk dirinya sendiri.

Begitupun, dek kerana Rusia merupakan negara pengeluar rekaan fesyen dunia, Dr. Arshad, 32, tidak dapat lari daripada menyaksikan kepelbagaian busana unik dan cantik yang berkembang pesat di negara berkenaan.

“Jika ditanya tentang minat terhadap fesyen, ia bermula ketika saya masih belajar lagi. Saya kagum melihat fesyen yang bertukar dengan pantas di Rusia. Lebih penting, pakaian yang berkualiti tinggi dan sangat murah berbanding di Malaysia.

“Oleh kerana saya seorang yang sangat berjimat-cermat ketika berbelanja, terdetik dalam minda saya ketika itu tentang keinginan mewujudkan jenama berkualiti dan ternama yang mampu dimiliki oleh orang kebanyakan.

“Pada waktu itu, ia sekadar cetusan rasa saya sebagai seorang pemerhati dan saya sama sekali tidak pernah terfikir untuk mengasaskan sebarang perniagaan bagi memberi fokus kepada pengajian serta cita-cita saya sebagai seorang doktor,” kongsinya ketika ditemui Kosmo! pada majlis pelancaran cawangan Primavalet keempat di Wangsa 118, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Hadiah

Kemuncaknya ialah ketika anak kelahiran Temiang, Negeri Sembilan itu pulang ke tanah air dan bertugas sebagai doktor di Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan.

Bersempena ulang tahun perkahwinan kedua-dua ibu bapanya, Dr. Arshad membelikan hadiah berupa sehelai jubah dan sepasang telekung untuk ibunya pada tahun 2014.

“Saya masih ingat, telekung dengan rekaan ringkas itu berharga RM349, manakala jubah berwarna hijau zamrud berharga RM269. Bagi saya selaku penjawat awam ketika itu, ia sangat mahal dan membebankan.

“Daripada situlah tercetusnya ilham untuk menubuhkan perniagaan telekung jenama Nur Aisha yang merupakan pemangkin kepada kewujudan Primavalet pada hari ini,” cerita anak bongsu daripada lima adik-beradik itu.

Untuk merealisasikan impian menyediakan keperluan telekung yang berkualiti dan mampu milik, Dr. Arshad menyerahkan tugas itu kepada abangnya, Mirza Elyas Baig bagi melakukan kajian tentang material dan fabrik selama hampir tiga tahun.

Pada November 2016, Butik Nur Aisha di Bandar Baru Bangi, Selangor dibuka dengan koleksi telekung dan seterusnya jubah wanita setelah beberapa bulan beroperasi.

Kebetulan, Butik Nur Aisha ketika itu berada bersebelahan dengan butik jubah dan kurta terkenal, Elrah Exclusive.

Hasil perbincangan antara Dr. Arshad dan pemilik Elrah Exclusive, El Azman iaitu selepas enam bulan kewujudan Nur Aisha, mereka bersepakat untuk bergabung memasarkan produk di bawah satu jenama iaitu Primavalet bersama empat lagi jenama termasuk Umiey Hani serta Altelia Amani.

Mengaplikasikan teknik pemasaran menggunakan artis ternama seperti Fattah Amin, Fazura, Anzalna dan Amira Othman, kemunculan Primavalet pada Ramadan tahun 2017 ternyata meninggalkan kesan dalam hati peminat, sekali gus menjulang jenama tersebut.

Bermula dengan hanya empat jenama, ia kini berkembang sehingga sembilan jenama dalam masa kurang setahun.

Menariknya, meskipun ia merupakan hab fesyen dengan pelbagai jenama dan rekaan busana, Dr. Arshad menetapkan standard bahawa ia mestilah sopan dan tidak keterlaluan.

“Bagi saya, definisi pakaian yang cantik ialah selesa dan tidak terdedah sehingga mengganggu pandangan seseorang.

“Disebabkan itu, saya turut melantik pereka fesyen seperti Ezuwan Ismail sebagai konsultan yang menentukan sama ada potongan baju rekaan kami sesuai untuk dipasarkan di bawah Primavalet,” katanya yang turut memasarkan jubah dan kurta daripada penceramah bebas, Ustaz Azhar Idrus.

Ubah kehidupan

Tambah Dr. Arshad, perniagaan itu merubah kehidupannya sebanyak 360 darjah. Beliau yang mahu fokus terhadap perniagaan memilih untuk berhenti berkhidmat sebagai seorang doktor tiga bulan sebelum Primavalet ditubuhkan.

Namun, suami kepada Zarina Mohd. Jakel itu juga enggan mensia-siakan pengetahuannya dalam bidang kedoktoran.

Disebabkan itu, beliau masih meluangkan masa sekurang-kurangnya sekali seminggu untuk memeriksa pesakit di klinik miliknya di Puchong, Shah Alam bagi memastikan lesen kedoktorannya masih aktif.

Menguruskan Primavalet secara mutlak selepas Elrah Exclusive menarik diri pada awal tahun lalu, Dr. Arshad mengakui beliau sangat sibuk terutamanya pada musim perayaan.

Namun, beliau sentiasa berusaha mencuri waktu untuk diluangkan bersama isteri dan satu-satunya cahaya mata kesayangan, Maheen Zehra, 2.

“Kebiasaannya, tiga bulan menjelang hari raya, tenaga akan dikerah sepenuhnya untuk memikirkan konsep, promosi, persembahan pakaian dan beberapa aspek lain agar koleksi kami menjadi perhatian ramai.

“Kalau terlalu penat dan ingin menenangkan fikiran dalam tempoh itu, saya akan bawa keluarga ke tempat tinggi serta sejuk seperti Genting Highlands atau Cameron Highlands di Pahang. Pada hari biasa, kami sekeluarga memang gemar melancong ke luar negara bersama-sama,” jelasnya.

Akhir sekali, Dr. Arshad menasihatkan para peniaga terutamanya orang Melayu supaya bijak dan berani ‘melabur’ jika ingin berjaya dalam apa juga perniagaan termasuk berkaitan fesyen.

“Lihat sekeliling dan buat perbandingan antara produk kita dan pesaing.

“Jangan bimbang untuk melabur sejumlah wang bagi mempromosikan produk kerana dunia teknologi kini memungkinkan anda mendapat pulangan lebih besar daripada modal yang dikeluarkan jika strateginya ‘menjadi’,” pesannya sekali gus menutup perbualan.