Meskipun sudah menginjak usia 45 tahun, pelakon dan model terkenal kelahiran Sepanyol, Penélope Cruz Sánchez atau lebih dikenali dengan nama Penélope Cruz masih menjadi tumpuan terutama mengenai penataan fesyennya.

Mula menempa nama di Hollywood, Amerika Syarikat, pada tahun 1998, Penélope mengecap populariti sebagai pelakon menerusi lakonan hebat dalam filem Vanilla Sky dan Blow pada tahun 2001.

Sejak itu, namanya mula menjadi bualan ramai, bukan sekadar muncul sebagai penghias muka depan majalah tetapi turut diberi kepercayaan sebagai duta untuk pelbagai produk fesyen dan kecantikan.

Tidak ketinggalan, Penélope juga merupakan antara selebriti yang paling dinanti pada acara karpet merah. Dia yang merupakan ibu kepada dua cahaya mata itu sering tampil anggun dan sofistikated dengan gaya klasik Hollywood menjadikannya sebagai ikon fesyen yang masih relevan sehingga kini.

Idola

Memiliki ketinggian 168 sentimeter, Penélope dalam temu bual bersama majalah W memberitahu, dalam penampilan dan fesyen dia mengidolakan selebriti legenda seperti Audrey Hepburn, Anouk Aimee serta Sophia Loren.

“Ketiga-tiga mereka mempunyai penampilan ikonik yang pada masa sama tidak lapuk dek zaman. Saya gemar berfeysen dan ketiga-tiga legenda fesyen ini merupakan rujukan utama saya.

“Dalam berfesyen, saya gemarkan tema klasik Hollywood kerana era ini lebih sofistikated, anggun dan mewah. Ia juga menjadi identiti fesyen saya terutama semasa acara karpet merah atau majlis anugerah berprestij,” katanya dalam temu bual tersebut.

Tambahnya, dalam berfesyen, dia turut menitik beratkan elemen praktikal terutama selepas bergelar ibu. Malah, dalam pemakaian kasut, dia juga gemar mengenakan tumit tinggi namun mengikut kepada keadaan.

Bercerita tentang gaya fesyennya ketika remaja, Penélope menyifatkan dia cenderung mengikut gaya penampilan pelakon popular, Julia Roberts dan wanita yang ditampilkan dalam muzik video Michael Jackson, The Way You Make Me Feel.

Baginya, ketika itu, gaya yang diketengahkan merupakan trend semasa dan dia sebagai generasi muda tertarik untuk menjadi seperti mereka. Malah, Penélope juga mahir menjahit yang juga diwarisi daripada neneknya.

Menggemari rekaan fesyen pereka prolifik seperti Versace, Chanel, Vintage Balmain dan John Galliano, Penélope juga merupakan selebriti pilihan yang menjadi duta untuk aksesori barang kemas mewah.

Penélope merupakan wajah untuk kempen terbaharu koleksi barang kemas John Hardy dan juga Atelier Swarovski menerusi kolaborasi rekaan koleksi bersama iaitu Atelier Swaroski by Penélope Cruz.

Diangkat sebagai selebriti yang memberi inspirasi dan mencerminkan kriteria jenama, penampilannya pada Festival Filem Venice baru-baru ini amat memukau ramai apabila Penélope Cruz mengenakan salah satu rekaan barang kemas bertatahkan berlian buatan Swarovski 18 karat.