Julung-julung kali membuat percubaan menjengah pasaran Malaysia, teknologi laser dikenali sebagai Sistem Picoplus (Picoplus) oleh syarikat berasal dari Korea Selatan, Lutronic, hadir menawarkan alternatif penyelesaian masalah kulit yang lazim dialami masyarakat Asia.

Dalam hal ini, kulit yang terdedah secara konsisten kepada cahaya ultra ungu akan mengalami penuaan lebih awal dengan perubahan pada tekstur kulit.

Selain itu, masalah pigmentasi dikenali sebagai melasma atau jeragat diklasifikasikan sebagai masalah kulit yang sukar dibendung. Dianggarkan 90 peratus wanita berusia 30-an dan ke atas terjejas dengan isu tersebut.

Platform kecantikan premium itu turut menangani masalah kulit lain seperti jerawat, kedutan, masalah kemerahan dan penyingkiran tatu. Mengulas lanjut, pakar dermatologi, Dr. Hew Yin Keat berkata, teknologi laser konvensional menggunakan tenaga haba untuk merawat kulit bermasalah.

Jaminan

“Biarpun haba yang digunakan terkawal, ia cenderung menyebabkan rasa sakit, kemerahan, panas selain mendatangkan ketidakselesaan selama beberapa hari.

“Ia sangat jauh berbeza dengan teknologi laser terkini misalnya Picoplus yang menggunakan gelombang cahaya laser dengan lebih selamat selain risiko kesan sampingan yang lebih rendah,” katanya kepada Stailo ketika ditemui pada majlis pelancaran Picoplus di Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Yin Keat menambah, pihaknya sering ditanya mengenai jaminan yang boleh diberi kepada pengguna untuk mendapatkan keputusan yang diharapkan sementelah prosedur laser menelan kos tinggi.

Dalam hal ini, katanya, memberi jaminan 100 peratus itu agak mustahil namun menegaskan, setiap prosedur yang dijalankan dikendalikan oleh doktor terlatih, mahir dalam bidang diceburi dan memahami peralatan yang digunakan membuatkan peluang memperoleh hasil yang bagus lebih tinggi.

Berdaftar

Selain itu, jelasnya, keberangkalian membuat kesilapan juga lebih rendah. Justeru, beliau mengingatkan orang ramai supaya memastikan doktor dan tempat mereka menjalani prosedur laser berdaftar.

Yin Keat yang juga ahli pengasas Persatuan Perubatan Estetik Malaysia menjelaskan, Kementerian Kesihatan mempunyai garis panduan berhubung praktis prosedur melibatkan kecantikan wajah.

Sementara itu, Pengurus Perubatan Estetik, IDS Medical Systems (idsMED), Jess Kong berkata, teknologi Picoplus mampu mengimbas secara mendalam sehingga tiga lapisan kulit dan menembusinya tanpa mencederakan epidermis (lapisan kulit luar) dan dermis (lapisan sebelah dalam kulit).

Dalam hal ini, idsMED merupakan syarikat yang mewakili jenama peralatan perubatan bertaraf dunia sepeti Lutronic.

“Ia juga menghantar laser dengan kelajuan picosecond iaitu 1,000 kali lebih pendek daripada laser tradisional yang membolehkan kawasan pigmentasi dan masalah kulit bermasalah seperti tatu dipecahkan kepada pigmen yang lebih kecil dan menghapuskannya secara berkesan,” ujarnya.