Bagi Yana, 24, yang berkhidmat sebagai pramugari di sebuah syarikat penerbangan tempatan, selain penjagaan wajah dan badan, rambut merupakan antara aset paling berharga buat dirinya.

“Saya selesa berambut panjang dan boleh dikatakan saya akan ke salun setiap dua bulan sekali untuk merapikan rambut termasuk memperbaharui warnanya yang telah luntur.

“Saya rasa lebih selamat jika ia dilakukan oleh golongan profesional kerana mereka lebih memahami keadaan rambut yang diuruskan,” ujarnya kepada Stailo baru-baru ini.

Raut wajah

Anak bongsu daripada empat beradik itu secara peribadi turut berpendapat, cara penggayaan rambut boleh mempengaruhi mood dan mengubah raut wajah seseorang.

“Misalnya, ada rakan menegur wajah saya kelihatan garang jika saya membuat sanggul pada rambut. Jadi, saya memilih untuk membiarkan rambut mengurai ke bahu tanpa diikat.

“Selain itu, saya akan menggunakan penyembur rambut bagi memastikan stail rambut kekal sehingga lapan jam sepanjang bertugas di awan biru,” kongsinya.

Sementara itu, Hanisah yang berkecimpung dalam bidang dandanan rambut hampir 10 tahun mengakui, teknik penggayaan rambut boleh memberi ilusi bentuk wajah yang diinginkan oleh seseorang.

“Misalnya, seseorang yang berwajah bulat kurang sesuai menggayakan rambut yang terlalu pendek kerana ia akan membuatkan muka mereka kelihatan besar. Golongan tersebut juga lebih sesuai memiliki rambut panjang melepasi bahu dan dibentuk sedikit ikal dan tidak terlampau lurus.

“Bagi yang mempunyai bentuk muka bujur sirih, rambut panjang atau pendek adalah sesuai, cuma dicadangkan ia perlu digunting membentuk layer di bahagian hadapan untuk menonjolkan bentuk wajah supaya tampak lebih menarik,” katanya.

Anak kelahiran Melaka yang juga pemilik Cover Hairstudio itu turut menambah kesilapan lazim yang sering dilakukan dalam rutin penjagaan rambut ialah mengikat rambut terlalu ketat terutamanya bagi Muslimah berhijab kerana ia akan menyebabkan rambut rosak.

Serum air

Dia turut menyarankan wanita bertudung memilih serum berasaskan air berbanding serum minyak kerana ia cenderung membuatkan rambut mudah gugur dan berkelemumur.

Dalam pada itu, Hanisah turut menasihati mereka yang gemar mewarnakan rambut supaya memastikan kulit kepala dan rambut berada dalam keadaan sihat sebelum berbuat demikian.

“Lebih baik rawat dahulu masalah rambut dengan melakukan sentalan untuk masalah kelemumur atau melakukan teknik rawatan yang dipanggil keratin bagi mereka yang kerap bertukar warna rambut.

“Bagi teknik keratin, krim yang digunakan perlu dilakukan oleh mereka yang pakar kerana ia tidak boleh terkena kulit kepala dan hanya boleh disapu pada rambut lapisan demi lapisan,” tuturnya.

Beliau berkata, ada ketikanya, pengguna tidak menyukai rupa rambut mereka selepas diwarnakan dan cenderung menambah warna baharu seperti hitam untuk melindungi warna yang digunakan pada peringkat awal.

Namun, tindakan itu hanya akan merosakkan rambut dan mereka sewajarnya mengikuti proses melunturkan rambut sebelum mengaplikasikan warna rambut baharu.

“Ini biasanya berlaku bagi mereka yang mewarnakan rambut sendiri di rumah. Kesilapan teknik mewarnakan rambut boleh menyebabkan kulit kepala mengelupas terutamanya kepada mereka yang berkulit sensitif,” tuturnya.