Selama 44 tahun kehadirannya dalam dunia animasi menjadikan wataknya digemari bukan sahaja kanak-kanak malah orang dewasa.

Imej kucing berwarna putih dengan reben merah jambu di atas kepala itu bermula dengan inspirasi gaya.

Karakter comel itu muncul sewaktu golongan wanita di Jepun mula didedahkan dengan fesyen dan gaya dari Eropah.

Disebabkan itu, Hello Kitty diceritakan tinggal di London walaupun lahir di Jepun.

Menyelami pengaruh karakter tersebut dalam gaya, jenama barangan sukan terkenal, Puma tampil merebut peluang. Koloborasi diberi nama Puma X Hello Kitty For All Time itu membabitkan barisan koleksi terkenalnya, Puma Suede.

Terdapat tujuh barangan ditawarkan termasuk sneaker, jaket berhud, beg galas, beg jerut, baju-T, topi dan seluar sukan bermotifkan kucing comel itu.

Sejak 50 tahun Puma Suede diperkenalkan, Puma X Hello Kitty dianggap kolaborasi paling unik pernah dihasilkan jenama tersebut.

Manakan tidak, Suede dahulu yang dilihat sebagai berimej lasak dan sporty kini muncul dengan siluet paling comel.

Menariknya tentang koleksi kali ini adalah, segala-galanya daripada warna dan perincian adalah berkisarkan Hello Kitty.

Setiap rekaan menampilkan warna terang seperti merah dan putih disusuli konsep nakal dan ceria sebagai tarikan.

Puma X Hello Kitty Suede Classic Toebox menampilkan sneaker dengan tali, lidah dan tumit serta formstripe berwarna merah terang dan putih.

Menarik

Ia kemudian dihiasi dengan corak kecil Hello Kitty di bahagian tepi. Tambah menarik, kolaborasi ini turut menghasilkan sneaker bersaiz dewasa, kanak-kanak, prasekolah malah bayi.

Tidak kurang hebat, koleksi Puma X Hello Kitty Tee yang menampilkan baju-T putih berlogo Hello Kitty bersama botol susunya di bahagian dada.

Ia pastinya tampak lebih menarik jika digayakan dengan set T7 menampilkan hoodie dan seluar berjalur T7 berwarna merah.

Ikon Hello Kitty kecil di kaki sebelah kanan dan belakang pinggul kiri tampak cukup santai digayakan.

Sebagai pelengkap gaya, koleksi ini turut menampilkan beg galas dan beg jerut gabungan warna merah dan putih lut sinar yang cukup menawan.

Gaya aktif anda juga pastinya lebih menonjol jika digayakan bersama Puma X Hello Kitty Cap yang menampilkan topi merah dengan bil lut sinar juga berwarna merah.

Koleksi berharga antara RM210 hingga RM510 kini sudah memasuki pasaran Malaysia. Ia boleh didapati di beberapa rangkaian terpilih Puma di seluruh negara.