Lagu romantis yang menjadi muzik latar video pratonton busana pengantin rekaan Suffian Tugiman pada petang itu membuatkan hadirin larut bersama emosi watak sang pengantin saat menempuh detik bahagia bersama insan yang dicintai.

Pada edisi keempat TWKL itu, Suffian, 31, mengetengahkan 20 rekaan busana pengantin eksklusif dengan sentuhan gaya perkahwinan Inggeris yang mengambil masa kira-kira tiga bulan untuk disiapkan.

“Paling istimewa ialah dres rona putih suci meleret mencecah lantai yang diinspirasikan daripada gaun perkahwinan Bella dalam babak filem Twilight. Lokasi video berkonsepkan hutan pokok pain juga mengambil mood daripada cerita tersebut.

“Rekaan-rekaan yang ditampilkan tampak moden, seksi dan menonjolkan ciri-ciri elegan khas buat ratu sehari,” ujarnya kepada Stailo di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Pemuda yang memulakan karier dalam rekaan fesyen sejak 2014 itu mengetengahkan layah atau kelubung dengan jahitan sulaman penuh di sekelilingnya. Tampak sedikit sarat, namun ia beralun indah dan cantik yang menjadi tirai menutupi wajah si mempelai.

Membawa sedikit kelainan, graduan jurusan Seni dan Sains Sosial daripada Universiti Malaya itu turut menampilkan empat sut lelaki bertemakan flora menggunakan fabrik jacquard.

Fabrik tersebut mempunyai motif yang ditenun di atas kain.

Hitam dipilih sebagai rona asas yang menonjolkan sisi maskulin pengantin lelaki, manakala corak bunga yang besar turut menyerlahkan penampilan dengan suntikan unsur kemewahan menerusi sulaman benang berwarna keemasan.

Platform

Sementara itu, pengasas TWKL, Andrew Tan berkata, acara berprestij tersebut sebagai tanda penghormatan buat pemain-pemain utama industri fesyen tanah air dalam mengetengahkan trend terkini busana pengantin.

Ia melibatkan pereka fesyen yang baharu dan lama.

“Kami akan sentiasa menyokong pereka fesyen berbakat tempatan yang tidak jemu-jemu berusaha melakukan yang terbaik untuk industri ini. Justeru, TWKL turut berperanan sebagai platform meraikan koleksi-koleksi mereka,” ujarnya.

Acara yang berlangsung bermula Jumaat hingga Ahad lalu itu membariskan 22 pereka berbakat besar termasuk pereka fesyen terkenal seperti Rizman Ruzaini, Fiziwoo, Hatta Dolmat dan Mimpi Kita.

Turut mencuri perhatian dalam TWKL 2019 ialah pendatang baharu, Emma Wedding yang mengetengahkan 16 rekaan busana yang memperincikan rekaan berkilauan untuk si pengantin perempuan tampak glamor bak puteri dalam kisah dongeng.

Tonggak jenama tersebut yang hanya ingin dikenali sebagai Emma, 31, dan Megan, 24, berhasrat menunjukkan mutu kerja tangan mereka dengan rekaan potongan yang menyerlahkan bentuk tubuh menawan si pemakai.

Menurut pasangan sepupu itu, kesemua koleksi yang dihasilkan akan dipamerkan di butik mereka yang terletak di Damansara Utama, Petaling Jaya, Selangor.

“Ini merupakan kemunculan sulung kami dalam acara pertunjukan berprestij seperti TWKL dan kami begitu teruja dapat memperagakan koleksi kami kepada khalayak.

“Label kami memfokuskan pasaran pengantin berkonsepkan perkahwinan Melayu dengan kebanyakan rekaan menutup tubuh dan sesuai digayakan dengan tudung.

“Tidak terikat dengan warna putih yang lebih menjadi pilihan, kami turut menghasilkan busana pengantin berwarna pastel dan neutral seperti merah jambu, biru dan kelabu untuk disarung pada majlis resepsi,” kongsi Emma.